Now Reading
5 pekerjaan ini mungkin jadi pekerjaan paling banyak ditawarkan di Malaysia untuk graduan. Jangan ambil mudah!
Next
Prev
1609 0

5 pekerjaan ini mungkin jadi pekerjaan paling banyak ditawarkan di Malaysia untuk graduan. Jangan ambil mudah!

by The Daily SeniNovember 23, 2017

Seringkali kita terdengar rungutan graduan susah mencari pekerjaan selepas tamat pengajian di Institut Pengajian awam. Kalau dapat kerja pun, selalunya lari jauh daripada bidang yang dipelajari di universiti. Bagi penulis, tahun pertama dan kedua selepas graduasi adalah normal untuk job hopping, iaitu bertukar pekerjaan demi mencari pengalaman dan peluang yang lebih baik. Penulis sendiri pernah bekerja di tiga organisasi berbeza selepas tamat program Ijazah Sarjana Muda.

Sebagai belia dan juga bekas graduan yang baru sahaja tamat pengajian kira-kira empat tahun lepas, penulis ingin berkongsi pendapat tentang lima pekerjaan yang paling banyak ditawarkan untuk fresh graduate dan kemahiran yang wajib dikuasai sebelum bekerja. Kebanyakan rakan-rakan penulis juga melalui pengalaman yang sama, jadi maklumat ini mungkin berguna kepada bakal mahupun bekas graduan yang ingin mencari pekerjaan.


Pengurus Peribadi

Jangan pandang enteng pekerjaan seorang pembantu peribadi. Dia sebenarnya orang paling kanan bagi seorang majikan atau paymaster. Selalunya, insan-insan terkenal seperti artis ternama dan usahawan berjaya mahukan seorang pembantu peribadi yang bijak. Bijak bukan sahaja dari segi akademik, malah pengurusan masa dan emosi. Kemahiran yang perlu dikuasai termasuklah kemahiran memandu, pengurusan masa dan kerja yang baik, juga cara anda menangani tekanan.

Biar saya berikan contoh seorang pembantu peribadi berjaya dan dipandang tinggi. Dia adalah Iman Azman, graduan jurusan wartawan yang menjadi pembantu peribadi kepada ikon fesyen dan usahawan, Vivy Yusof. Iman juga seorang kolumnis sebuah akhbar tempatan. She is the woman behind Vivy Yusof’s success.

Saya sendiri pernah bertemu Iman di acara yang dianjurkan Fashion Valet, syarikat Vivy. Orangnya cekap, friendly dan bergaya. Iman mengarkibkan catatan hidup dan pekerjaannya di blog peribadi serta sebuah kolum akhbar The New Straits Times. Bacalah dan ambil inspirasi daripada semangat wanita gigih ini.


Social Media Strategist

Rasanya tak perlu saya ulas betapa signifikannya kegunaan sosial media dalam kehidupan kita pada hari ini. Di alam pekerjaan juga ia telah digunakan sebagai alat pemasaran dan pengiklanan.

Jika anda seorang kaki sosial media tegar, gunakan kemahiran itu ke arah yang menguntungkan diri anda sendiri. Belajar kemahiran tarik pengikut atau jenis postings yang boleh menarik orang untuk membuka akaun sosial media anda.

Pengalaman saya bekerja di portal yang menularkan artikel telah membuka mata saya bahawa sebaik mana artikel yang ditulis, ia takkan dapat ramai pembaca kalau kita tak ada kemahiran untuk menarik pengikut ke akaun sosial media kita. Akaun yang ramai  pengikut juga boleh menarik ramai pengiklan. Oleh itu, kuasai kemahiran ini dan para majikan pasti mahukan anda di syarikat mereka.


Penulis Kreatif

Percaya tak kalau saya katakan, ramai orang ada idea yang gempak dan menarik tetapi tidak tahu untuk menggambarkannya dalam bentuk tulisan. Jika anda minat menulis, jangan hadkan kebolehan anda. Belajar dan teroka pelbagai jenis penulisan seperti berita, artikel tular, skrip iklan dan juga televisyen.

Tapi perlu diingat, tidak semestinya kalau anda jadi penulis, anda akan peluang untuk ketengahkan idea anda. Kadang-kadang anda lebih banyak menjadi medium untuk menzahirkan idea orang lain. Jika anda diberi creative control atau peluang untuk menyumbangkan idea, kelebihan akan diberi kepada penulis yang pandai bercerita dalam durasi panjang mahupun pendek dalam sesebuah naskhah.

Tiada cara lain untuk mahir menulis selain memperbanyakkan pembacaan, mendengar dan menonton bahan yang menggalakkan anda untuk berfikir dan berbincang secara kreatif dan kritis.


Penolong Penerbit

Jangan risau, graduan bukan jurusan Komunikasi Massa pun boleh jadi penolong penerbit sesebuah produksi, asalkan anda meminat bidang penyiaran. Pekerjaan ni akan sentiasa ada, sebab program rancangan televisyen, drama dan filem sentiasa berterusan permintaan dan produksinya.

Anda kena rajin buat panggilan telefon dan layan mesej di WhatsApp sebab anda akan berurusan dengan ramai orang. Semua urgent dan perlukan update segera. Jadi, telefon pintar kena hampir semua waktu di tangan. Anda juga perlu menguruskan jadual produksi dan mereka yang terlibat didalamnya. Kemahiran menggesa orang dengan cara yang sopan dan efektif sangat penting dalam kerja ini.

Menjadi penolong penerbit kepada sesebuah produksi akan membuka banyak peluang yang lebih luas kepada anda. Boleh kenal ramai orang dan buat banyak contacts itu sudah pasti, tapi lebih menarik ada pelakon, personaliti televisyen dan pengarah bermula dari jawatan ini! Sebagai contoh, Haiqal Hairuddin yang bermula sebagai penolong produksi Hlive! dan kini terkenal setelah mempunyai rancangan digitalnya sendiri bergelar Trollala. Rashid Sibir, pengarah senior tempatan yang diberi jolokan ‘Pengarah Air Mata Malaysia’ juga bermula sebagai penolong produksi sebelum berjaya menjadi nama besar industri hiburan hari ini!


Guru Kanak-Kanak

Ramai graduan IPT tempatan tidak melihat bidang pekerjaan ini dari perspektif yang lebih besar. Pekerjaan ini tidak terhad di dalam bangunan sekolah dan tadika semata-mata.

Tahukah anda, banyak institusi swasta menawarkan pekerjaan sebagai guru bahasa dan pertuturan kanak-kanak? Hal ini demikian kerana ramai ibu bapa zaman sekarang telah menyedari kepentingan mengajar pengucapan awam kepada anak-anak demi membina keyakinan mereka dari usia muda. Selalunya, ibu bapa yang menghantar anak ke kelas pengucapan awam atau drama adalah mereka dari golongan berada. Jadi, anda tak perlu risau tentang bayaran atau gaji anda. Pasti berbaloi. Apa yang penting, anda sendiri harus menguasai kemahiran berbahasa dan pengucapan awam yang baik selain mempunyai perwatakan yang ceria, menarik dan meyakinkan.

Macam mana? Ada yang anda rasa sesuai dan boleh buat? Pun begitu, sila maklum pekerjaan-pekerjaan yang disenaraikan di atas adalah untuk mereka yang lebih memilih untuk makan gaji daripada bekerja sendiri atau membuat bisnes. Peluang sentiasa terbuka kepada mereka yang berusaha, tetapi jangan mudah putus asa dan takut untuk bermula dari bawah. Rome was not built in a day, begitu juga dengan seorang insan berjaya di dunia ini.


Ditulis oleh Nell Hanan, illustrasi oleh Shufitri Shukardi. dipetik daripada Kool, majalah rasmi yang bakal diedarkan di Puteri Harbour, 25 – 26 November 2017. Hanya 1000 helai majalah 220-mukasurat ini akan dicetak. Muat turun Kool dalam bentuk .pdf hanya di www.iskandarputeri.com mulai 26 November 2017.

About The Author
Profile photo of The Daily Seni
The Daily Seni
The Daily Seni delivers news on local arts and culture, aiming to provide insight into Malaysia's ever-growing creative community as well as provoke thought and discussion.
Comments

    Leave a Response