Editorial
Now Reading
Buku ni ‘Berat’!
83 0

Buku ni ‘Berat’!

by Nazir HarithMarch 28, 2017

Bila ada seorang tua datang kepada Randal Jarrell dan menanyakan kepadanya apa yang dia harus buat untuk memahami puisi oleh Auden atau Dylan Thomas atau sesiapa saja pemuisi terkini ini? Jawabnya ringkas, kau mesti dilahirkan semula.

Saya pernah bertanyakan kepada seorang pak cik tua ketika menziarahinya – dia seorang pembaca kerana di ruang tamunya penuh dengan buku-buku – akan buku penulis terkini mana yang beliau suka baca? Dia menjawab dia tak ada membaca satu pun buku penulis baru. Pernah dia cuba tapi dia tidak dapat faham. Penulisan itu terasa sangat jauh dari-nya. Dia lebih selesa membaca Shahnon-nya, S. Othman Kelantan-nya dan A Samad Said-nya berulang kali.

Ini antara cerita-cerita yang kita dapat di pihak mereka yang sudah berusia. Mereka terperangkap dalam satu bilik masa dan enggan keluar. Mereka enggan untuk dilahirkan semula kerana kematian adalah sesuatu yang menakutkan.

Namun buat pembaca muda mereka juga punya kesukaran yang sama. Kesukaran dalam menalaah kembali karya-karya lama. Jangan terkejut jika kebanyakan pembaca muda tidak pernah langsung menjamah karya-karya lalu yang mapan. Sebabnya sama, sukar. Atau dalam bahasa mudanya, berat. Ini suatu kerugian kerana banyak perkara yang boleh dipelajari daripada karya-karya lalu.

‘Reading at a Table’ Pablo Picasso 1934

Apa sebenarnya kesukaran yang dimaksudkan oleh mereka ini? Apa yang ‘berat’ tentang sesuatu buku yang menjauhkan mereka untuk walau cuba membacanya daripada terus meninggalkan buku tersebut? Adakah dengan tidak terbacanya buku itu oleh orang ramai, status sukar terus di tempek padanya dan buku-buku itu tersumpah; kekal tidak dibaca?

Jika diteliti dengan lebih lanjut, kesukaran ini berbalik kepada jarak pembaca dengan teks. Dan jarak ini sebenarnya berlegar kepada beberapa perkara yang boleh dirumuskan kepada dua. Yang pertama, bahasa dan yang kedua pengalaman dengan bahasa.

Menurut George Steiner kesukaran ini terbahagi kepada empat yakni Contingent Difficulty, Modal Difficulty, Tactical Difficulty dan Ontological Difficulty.

Yang pertama ialah kesukaran yang paling asas. Ini berlaku kepada mana-mana pembaca. Bila seseorang membaca satu teks novel, cerita pendek, puisi atau artikel akan terdapat perkataan-perkataan yang dia tak faham dan dia harus mencari makna sebenar perkataan itu dalam konteks teks. Secara empirikalnya dia tahu akan makna perkataan itu – kalau dia tidak tahu dia boleh mencari makna itu dalam kamus – namun pemahamannya terhadap teks itu tetap tidak menembusi sanubarinya.

Mengetahui sesuatu dan memahami sesuatu adalah dua perkara yang berbeza. Ini terjadi kerana wujud jurang budaya dan masa. Contohnya seperti perbezaan dialek, perbezaan penggunaan kata yang sama tetapi pada masyarakat yang berbeza dan generasi yang berbeza.  Jadi aspek pencarian makna perkataan ini yang Steiner panggil contingent difficulty. Kesukaran ini dapat diatasi dengan cuba mencari maklumat lanjut daripada sumber-sumber lain seperti kamus khusus, dokumen sejarah, bertanyakan kepada orang yang bercakap akan dialek itu, membaca keseluruhan karya penulis, menyelidik latar belakang penulis dan lain-lain. Pokoknya kesukaran ini boleh diatasi dengan sedikit usaha lebih di pihak pembaca.

Dalam memahami teks kita akan mendapati diri kita terkandas lagi. Segalanya telah kita cari, maksud perkataan, konotasinya dalam budaya dan zaman, dan sebab pemilihannya oleh penulis. Kesukaran ini lahir kerana halangan citarasa peribadi. Sukar untuk saya menghargai penulisan Arena Wati yang banyak berlegar di daerah perlautan yang jauh benar daripada pengalaman diri saya. Walaupun segalanya telah difahami dalam erti kata perkataan, ayat, simbolisme dan sebagainya, masih ada tembok yang menghalang saya untuk sebenar menikmati, lantas membacanya terasa amat sukar. Kesukaran ini ialah modal difficulty. Apa yang boleh dilakukan ialah dengan kita melaraskan daya rasa kita agar dapat melabuhkan sedikit sebanyak tirai kesukaran itu.

Yang ketiga ialah tactical difficulty. Yang ini ialah kesukaran yang disengajakan oleh penulis. Penulis mungkin terpaksa menggunakan bahasa untuk menyembunyikan maksud sebenarnya atas sebab tekanan politik dan censorship. Boleh jadi juga ianya adalah permainan penulis untuk sememangnya menjadikan dirinya sukar untuk dicapai awam. Ataupun ianya ujian untuk pembaca yang mana hanya sebahagian sahaja yang dapat menangkap maksud sebenarnya.  Di sini eccentricity seorang penulis mungkin memainkan peranan. Perkataan-perkataan baru sengaja direka-cipta untuk memberikan simbolisme baru pada makna yang mahu disampaikan. Apa yang boleh dilakukan oleh pembaca ialah mengagak terhadap maksud penulis. Kekaburan inilah kenikmatan sebagai pembaca.

Ontological difficulty ialah kesukaran yang menanyakan kepada kita kembali persoalan paling asas berkenaan bahasa dan bentuk sastera. Kesukaran ini tidak dapat diatasi dengan mencari maksud perkataan, melaraskan daya rasa, dan mengagak maksud penulis. Ia perlu ditempuhi dengan berfikir kembali persoalan-persoalan asas ini secara mendalam. Apa itu bahasa? Apa itu puisi? Apa itu novel? Apa itu sastera? Dan lain-lain. Kesukaran ini selalunya adalah perubahan secara menyeluruh sesuatu tanggapan umum terhadap perkara-perkara asas itu. Di sini pergelutannya bukan untuk pembaca yang membaca sebagai hobi tetapi untuk pembaca yang membaca untuk kehidupan.

Membaca ialah suatu perlawanan. Ianya perlawanan dengan had dan kekangan diri, perlawanan dengan pegangan sedia ada pembaca, perlawanan dengan teks dan perlawanan dengan masyarakat secara umum. Seperti apa-apa perlawanan untuk meningkatkan prestasi diri dan cakupan citarasa diri seterunya haruslah sesuatu yang tingkatnya lebih tinggi daripada diri sendiri. Seperti kata Mortimer J. Adler, pembaca harus membaca sesuatu yang sukar sedikit daripada pembacaannya yang sedia ada. Kerana pembacaan yang sebenar adalah proses pembelajaran dan seharusnya dalam proses pembelajaran yang kurang upaya belajar daripada yang lebih upaya.

About The Author
Profile photo of Nazir Harith
Nazir Harith
Comments

    Leave a Response