Di Mana Pergi Pengkritik Sastera Kita?
Dalam adikarya Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh, Sajak-sajak Sejarah Melayu, tertera suatu bait yang masih menghantui duduk urus perkembangan hidup kita, “Musuh kita ialah diri kita sendiri”. Memang, bait yang bersahaja tetapi dalam maksudnya itu dapat ditafsirkan dalam konteks sejarah bagaimana orang kita sendiri, dalam lipatan peristiwa dan tragedi sejarah yang telah menjadi musuh yang menjatuhkan kewibawaan Empayar Melaka, yang sudah tentu merefleksikan duduk diri keadaan genting parti pemerintahan Malaysia sekarang (yang juga merefleksikan keadaan barisan alternatif pemerintah di negeri-negeri kekuasaannya) dalam ranah gerak dayung politik. Namun begitu, lebih terasa sekali adalah bagaimana nadi kesusasteraan perdana sekarang diayunkan dan di”main”kan oleh pemain peta sastera yang seakan-akan tidak pun peduli akan keadaan jatuh bangun atau kegentingan sesak nafasnya dalam hal pengapresiasi.
Pada 28 September 2014 yang lepas, timbul suatu cambahan Dialog Orang Muda antara tiga panel anak muda yang berlatarbelakangkan tanggungjawab yang berbeza, Saifullizan Yahaya (cerpenis, penyair, dan sarjana), Hafiz Jelir (cerpenis, penyair, eseis, dan editor jurnal Obscura), dan Zarif Hassan (sarjana dan pengkritik). Walaupun ketiga-tiganya membawa pandangan yang berbeza akan ruang epistemologi kritikan, kekurangan kritikan yang tampak, dan takrif sejarah kritikan sastera, ketiga-tiganya akur, sesuatu harus dilakukan terhadap gerak hambar ruang kritikan sastera yang dahulunya kelihatan mekar bergolak di tengah-tengah penelitian masyarakat.
Memang, realiti yang dinyatakan memang menyakitkan tetapi membuka persoalan yang besar, sandaran kita terhadap para akademik, manusia susastera yang telah melanjutkan dan memperkembangkan dunia kritikan sastera kita dengan pesat pada era 1970-an dan 1980-an, dan mencapai kemuncaknya pada awal tahun 1990-an, mengapakah begitu senyap sunyi dan bisu terhadap gerak siasat penulis muda kontemporari selepas era Zaen Kasturi dan SM Zakir? Malah, sehingga kini, kita bingit mendengar para sarjana kita yang masih mengutarakan penulis mapan, seperti SM Zakir, Rahimidin Zahari, Nisah Haron, Mawar Safei, Arif Muhammad, Shamsuddin Othman, dan Faisal Tehrani sebagai “penulis muda”! Seakan-akan penulis seterusnya (yang dahulunya muda dan kini sudah “tua”) seperti Sri Rahayu masih juga “muda segar-bugar”, keluar dari kandungan ibu sastera dan kononnya masih tidak matang untuk berencah dengan gelumang periuk susastera kebangsaan, suatu kekeliruan yang masih sengaja dijahilkan dan disenyapkan tanpa kepedulian sesiapa untuk membetulkannya.
Malah, para pengkritik kini seakan-akan terhenti bersuara sampai pada peringkat penulisan popular (yang seeloknya bukanlah diambil perhatian sangat, hanya karya yang tertentu sahaja kerana bentuk dan kandungannya yang selalunya serupa, klise dan diulang-ulang pengisian yang sama), dan tidak menyedari kehadiran penulis “indie” (takrifan ini harus diperbaiki dalam beberapa konteks atas sebab gerakannya yang menggunakan penerbitan dan pemasaran pesat, walaupun berstrategi gerila maya, kebanyakan buku bercetaknya terisi ISBN, yakni kuasa sah yang melayaknya disertakan dalam penjualan ruang kontemporari dan perdana, bukan seperti siapan hasil karya D.I.Y. golongan pengkarya Punk era 1980-an dan sekarang, gerakan karya awal penyair bawah tanah awal, seperti Marsli N.O, Rahimidin Zahari, dan cerpenis Azman Hussin, atau yang masih mengekalkan sikap indie yang sejati, seperti kumpulan Sindiket Sol-Jah) yang kini pesat menusuk dalam nadi pembacaan pembaca muda yang dahulunya melayani novel popular.
Betapa ketinggalannya sang pacar sarjana dengan teksi sastera yang sudah terus beredar tidak mempedulikan. Lalu, sikap ini yang kita gusari. Lebih-lebih lagi buat suara menarik selepas generasi Faisal Tehrani yang sedang menapak nama dalam persada sastera kontemporari sekarang, tetapi seakan-akan dibuat acuh tidak acuh oleh pengkritik sarjana.
Saya percaya, seperti Hafiz Jelir juga, jika hujah dan analisis negatif, contohnya, kepada para penulis angkatan indie yang sememangnya dialu-alukan, dan saya pasti, kalangan penulisnya pun mengalu-alukan. Maka, sudah semestinya timbul polemik dan wacana menarik, justeru kita akan lihat sikap matang atau emosional, besar atau angkuh, bijak atau bodoh yang akan datang daripada kalangan penulis muda ini melayani analisis hujah dan kritikan tersebut.
Sebenarnya, keadaan sastera kita sebenarnya sedang rancak, malah bernafas kencang (dan janggal dan peliklah bagi mereka yang menyatakan sebaliknya). Dalam keadaan sekarang, seperti yang diumpamakan oleh Wan Nor Azriq, hasil karya penulis sastera sedang melimpah ruah, melebih hasil kritikan. Sarjana kita yang sibuk mengejar ISI dan SCOPUS sudah meninggalkan keadaan yang seharusnya dilakukan, yakni memerhati dan menulis tentang pemecahan dan gerak kembang yang sedang berlaku, dengan rencam dan gagasan baharu dan pelbagai. Bagi saya sendiri, sindiran dan teguran kepada sarjana kita sekarang yang lesu dan terikut-ikut rentak birokrasi pentadbirnya elok sahaja disuarakan. Tetapi yang lebih penting adalah bagi golongan dan kumpulan kalangan itu sendiri, yang kononnya terpecah-pecah dan terkotak-kotak itu untuk menghadirkan kalangan pengkritik yang berwibawa dan dapat menyatakan kehadiran karya kalangan penulis itu dengan adil dan berwibawa. Saya sedar, hal ini sedikit “lesu” kerana ruang akhbar dan majalah sekarang yang tidak menginstitusikan pengkritik yang kita panggil “pengkritik populis” (jauh sekali daripada pengulas populis yang kita jumpai dalam Mingguan Malaysia dan Berita Harian Ahad sekarang) yang selalunya suaranya lebih tersebar terus kepada masyarakat (jika hendak dibandingkan dengan majalah Dewan Sastera atau jurnal universiti yang lebih akademik sifatnya). Akhbar dan majalah kita masih terikat dengan dikotomi sendiri-sendiri, yakni penerbit akhbar Sinar Harian, contohnya, hanya akan mengulas buku fiksyen terbitan syarikat naungannya. Sikap pecah dan perintah ini sudah membingitkan dan tiada sesiapa yang mempertikaikan.
Sebenarnya, atas desakan kekurangan itu, muncullah beberapa “pengkritik blog” yang menggunakan ruang blog dan web portal tertentu (seperti Jalan Telawi) untuk menyampaikan kritikan dalam ruang maya, kehadiran mereka yang selalunya tidak dipandang pun oleh kalangan pengkritik kontemporari. Masalahnya, keadaannya kini, dengan sikap penulis biasa kita yang terpaksa mengulangi sikap penulis kita yang terdahulu, yakni menjadi penulis yang terpaksa menulis segala-galanya, lantas ruang kritikan inilah suatu ruang yang akan ditinggalkan dahulu jika si penulis itu sudah ghairah bersyair atau berprosa. Jarang-jarang, kita ketemukan, pengkritik seperti Allahyarham Dr. Othman Puteh,.yang atas kecintaan hakikinya terhadap dunia persuratan, menyatakan secara tulus berkenaan kemunculan pelbagai ranah dan rentak penulis itu tanpa mengira kawan dan lawan. Pengkritik, seperti saya sendiri, dengan jujurnya, memilih SIAPA yang saya mahu bicarakan. Dengan kerja hakiki untuk memenuhi mulut isteri dan anak-beranak, tidak mungkin saya mempunyai ruang yang banyak untuk meneliti KESEMUA karya novel yang terbit pada tahun ini, misalnya. Dan hal seperti inilah, memakan diri kita dalam senyap. Musuh kita adalah diri kita sendiri. Kehancuran yang kita tidak pinta pun, dibuat oleh tangan kita sendiri.
– Ditulis oleh Fadli Al-Akiti
Leave a Response