Prev
FFM27: Pelakon Lelaki Terbaik – Meraikan Citra Sebenar Manusia
Salah satu faktor yang memberi kita semua yang setia menonton karya-karya tempatan adalah para pelakon yang wujud pada waktu ini. Tiada siapa yang menafikan kebolehan para pelakon di sini, dari pelakon teater hinggalah para pelakon filem-filem besar. Mereka berjaya menjiwai watak dengan mendalam dan tidak pernah timbul perasaan hampa bahawa mereka pada suatu hari, mampu menyentuh perasaan hati kita semua.
Secara jujurnya, kebanyakkan masalah yang hadir di dalam industri perfileman adalah kurangnya penghargaan yang diberi kepada para pemikir, maka yang disajikan adalah skrip-skrip yang kurang menyelerakan dan babak-babak yang sedikit sebanyak memualkan para penonton. Tetapi hasil karya pembikin filem akhirnya diselamatkan oleh hasil natural para pelakon yang ada, sekaligus membuktikan bahawa kredibiliti mereka sebagai satu aset yang tidak boleh dipandang enteng.
Jadi untuk artikel ini, mari kita melihat para pelakon lelaki yang dicalonkan untuk Pelakon Lelaki Terbaik bagi Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM27). Anugerah yang meletakkan harapan yang tinggi kepada kesinambungan tenaga pelakon di negara kita yang turut memberi makna yang mendalam kepada kita semua.
Lee Sai Peng untuk The Journey
Alangkah jelasnya kebolehan uncle comel ini dicalonkan untuk anugerah pelakon lelaki terbaik. Filem ini merupakan lakonan pertamanya dan siapa yang sangka filem inilah yang mengaut untung paling tinggi di pawagam tempatan. Kesemua penonton di negara kita berjaya menjadi saksi bahawa sifat perkauman yang tebal itu mampu diatasi.
Di dalam filem ini, beliau membawa watak Uncle Chuan, bapa kepada Bee (Joanne Yew). Lee Sai Peng membawa karakter lelaki tua yang perengus, yang gusar akan pilihan anaknya memilih lelaki luar daripada latar belakang etnik. Meskipun begitu, beliau secara alamiahnya tanpa penat lelah berjaya membawa watak kebapaan yang disenangi oleh para penonton. Tiada siapa yang dapat membenci watak beliau, sebaliknya kita terus tersenyum sewaktu naratif filem ini berlangsung.
Begitulah, watak kebapaan yang perengus dan sekaligus penyayang. Dan siapa yang sahaja yang tidak tercuit hatinya melihat gelagat beliau sewaktu diusik kawan-kawannya? Ditambah lagi beliau bersama rakan-rakannya yang lain berjaya memaparkan keadaan senang hati dan mampu melalui layar filem, menghidupi nostalgia fiksyen yang dikongsi oleh watak-watak yang ada.
Wan Hanafi Su untuk Lelaki Harapan Dunia
Salah seorang pelakon veteran yang tetap aktif di dalam industri, Wan Hanafi Su terkenal dengan watak-watak yang serius. Mungkin bagi kami anak muda, beliau adalah salah seorang pelakon Melayu yang sering membawa aura lelaki tua yang berhikmah (harus dinyatakan, kelebihan jambang dan rambut putihnya yang penuh itu juga dilihat sebagai aset hikmah).
Untuk filem ini beliau membawa watak Pak Awang, lelaki desa yang terdesak ingin menjalankan tradisi angkat rumah – memindahkan rumah lama di dalam hutan untuk dibawa ke kawasan perkampungan untuk didiami anak perempuannya. Sepanjang perjalanan naratif filem ini, Pak Awanglah satu-satunya yang membawa simbol rasionaliti di kalangan penduduk desa. Sama ada didorong oleh keinginan membawa rumah itu ataupun tidak, watak beliau pada babak awal dan pertengahan berjaya melaksanakan suasana tenang dan tidak langsung dipengaruhi keadaan huru-hara yang mulai dicetuskan penduduk-penduduk kampung disekelilingnya.
Beliau dibuai dua perasaan yang ekstrem: watak serius yang memandang keadaan yang berlaku dengan penuh syak wasangka dan watak yang benar-benar terdesak sehingga mampu melakukan kerenah yang tidak langsung disangka oleh orang ramai. Wan Hanafi Su berjaya membuktikan kebolehan beliau membawa dua watak yang berbeza, yang inginkan misi berjalan dengan lancar dan pada akhirnya melakukan sesuatu yang benar-benar bercanggah.
Awie untuk Dollah Superstar
Awie, seorang rockstar dan juga pelakon yang berjaya. Seperti apa yang ditulis pada pengenalan diatas, tiada siapa yang menafikan kebolehan para pelakon di negara kita. Begitu juga dengan sosok yang berasal daripada latar belakang medium seni yang lain.
Dia bermula dengan filem Pemburu Bayang pada tahun 1992, dan kemudian terus berlakon di dalam filem-filem besar sehingga sekarang. Kali ini beliau dicalonkan untuk pembawaan watak seorang gangster yang mendambakan untuk menjadi seorang pelakon. Kami melihatnya sebagai karakter yang santai: dengan berbaju putih, beg silang, seluar pendek dan selipar sepanjang berlangsungnya filem tersebu. Filem komedi ini turut dimeriahkan lagi dengan lenggok brader samseng yang seperti biasa sahaja dimainkan oleh beliau.
Tetapi ada satu faktor yang terpaksa diambil kira. Penggunaan sunnies sepanjang naratif filem ini. Mungkin penggunaan prop ini dilihat sebagai suatu keperluan untuk menjayakan watak Dollah, tetapi ini juga mungkin dikirakan sebagai sebab utama para juri tidak dapat menghakimi keberkesanan watak Awie. Siapa sahaja yang dapat merasakan kejujuran dan riak wajah seseorang yang melibatkan perubahan kerut dahi dan emosi tanpa mempertontonkan perubahan pergerakan matanya?
Bront Palarae untuk Terbaik Dari Langit
Bermula aktif di dalam bidang lakonan pada tahun 2000, anak kelahiran Thailand ini dilihat sebagai salah satu harapan untuk industri perfileman negara, seangkatan dengan pelakon lelaki muda yang lain seperti Beto Kushairy, Farid Kamil, Adi Putra dan banyak lagi.
Bront Palarae membawa watak Berg, seorang pembikin filem amatur yang mengajak teman-temannya pergi berjalan sekeliling semenanjung mengejar UFO dan membuat dokumentari mengenainya. Beliau berjaya membawa watak penggemar kehidupan yang autonomi, dan bersemangat bebas. Untuk hasil kerjanya, beliau telahpun memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di ASEAN International Film Festival & Award tahun ini.
Tidak dapat dinafikan, pembawaan watak yang mampu meyakinkan para penonton akan pentingnya nilai kehidupan yang membumi (ditingkatkan lagi dengan skrip yang ampuh) adalah aset yang harus diambil kira untuk pencalonan ini.
Que Haidar untuk Ophilia
Bermula menempa nama dengan pembawaan watak Ku di dalam filem KL Menjerit, beliau kemudiannya terus aktif di dalam gelanggang industri. Anak muda yang bermula daripada bidang teater ini telah melibatkan diri di dalam 22 filem.
Beliau membawa watak Ozi Gandum, seorang anak muda yang meraikan waktunya bersama-sama teman-temannya, menghidupi sub-budaya skinhead di negara Kuala Lumpur. Karakter yang delinkuen, dipengaruhi oleh keadaan keluarga yang huru-hara dan tidak menentu berjaya ditonjolkan oleh Que dengan jayanya.
Sama seperti watak Pak Awang yang dimainkan oleh Wan Hanafi Su, beliau juga berjaya memaparkan keadaan psikologikal yang bertentangan. Pada awalnya memaparkan watak yang nakal, dengan karenah yang tidak menentu dan pada bahagian klimaks pula dia berjaya menunjukkan watak yang lemah, bingung dibelenggu oleh masalah bapanya yang menganiaya keluarga sendiri. Tidak mudah untuk membawa watak seperti ini, peralihan diantara dua suasana karakter yang ekstrem.
Pilihan Daily Seni
Jadi siapakah yang bakal meraih anugerah kategori ini? Siapakah yang mampu diangkat sebagai citra utama pelakon filem tempatan kita? Untuk kali ini, secara jujurnya kami merasakan watak Pak Awang yang dibawa oleh Wan Hanafi Su mampu memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik.
Beliau berjaya membawa watak yang begitu jelas dibelenggu oleh suatu masalah yang tidak dapat ditanggungnya. Secara awalnya, para penonton menyaksikan sikap tenang Pak Awang yang merasa gembira dengan proses angkat rumah.
Tetapi kesemuanya hancur berkecai apabila Wan (Sofi Jikan), kutu dadah desa ternampak suatu lembaga hitam. Bermula dari situlah segala hiruk pikuk keadaan bermula.
Dari plot itulah kita mulai lihat, kesinambungan watak Pak Awang yang mulai berubah dan beliau mulai menunjukkan reaksi yang beremosi dan terdesak dengan begitu jelas dan berhasil. Sifat ketenangan itu hampir tidak nampak lagi dan akhirnya mengakibatkan tragedi besar menimpa beliau. Kesinambungan perubahan raut wajah, tindakan drastik dan terdesak inilah yang menjadikan beliau sebagai seorang pelakon yang hebat dan menurut kami, layak memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik.
Leave a Response