Film & TV
Now Reading
FFM27: Siapakah Yang Bakal Meraih Kemenangan Sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Tahun Ini?
Next
Prev
190 0

FFM27: Siapakah Yang Bakal Meraih Kemenangan Sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Tahun Ini?

by The Daily SeniAugust 20, 2015

Para pelakon yang dicalonkan di dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik tidak dapat dipandang remeh. Ianya tidak hanya dilihat sebagai watak kedua di dalam sesuatu naratif, sebaliknya suatu watak yang penting juga. Sebahagiannya menentukan momentum watak utama dan membantu merancakkan lagi klimaks, memainkan bahagian yang membentuk titik akhir sesuatu tragedi, komedi ataupun naratif drama.

Secara amnya, pelakon pembantu mampu memberikan sudut pandang yang baru kepada para penonton, dan bagaimana mereka melihat watak utama, samada dari segi kekurangannya ataupun kelebihannya.

Merekalah yang bertanggungjawab untuk menyatakan sesuatu yang penting, dan mereka jugalah yang dilihat sebagai penasihat ataupun penggerak yang menjayakan naratif yang diinginkan watak utama. Ada yang mematangkan watak progatonis dan ada pula yang mempengaruhi watak utama untuk melakukan kesilapan besar.

Jadi untuk pencalonan Festival Filem Malaysia ke-27 ini, ayuh kita menilai kebolehan dan kemampuan para pelakon yang dicalonkan kali ini.


Fizz Fairuz untuk Dollah Superstar

Gambar diambil dari laman web Mstar

Rumusan watak: Membawa watak sebagai teman kepada Dollah (yang dilakonkan oleh Awie), samseng veteran yang mulai merasa muak dengan kualiti karya samseng yang sering dihasilkan. Dollah teringin untuk menceburi bidang industri perfileman dengan harapan agar pengalamannya mengenai dunia samseng yang sebenar mampu memaparkan sedikit sebanyak elemen realisme di dalam karya yang menceritakan mengenai dunia samseng.

Pendapat kami: Didorong oleh kecekalan beliau, Fizz Fairuz selaku teman rapat yang diberi nama Lalat dilihat sebagai penasihat utama, dan sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan Dollah. Sepanjang berlangsungnya naratif Dollah Superstar, Lalat akhirnya memahami perasaan Dollah dan turut bersama menjayakan filem gangster yang ingin dihabiskan oleh teman rapatnya.

Fizz Fairuz berjaya membawa watak yang sesuai sebagai teman rapat watak utama, mampu membuktikan sifat agresif yang tidak menonjol, meletakkan posisi dirinya sebagai daya yang membelai watak Dollah yang tetap berkeras untuk melakukan sesuatu yang lain di dalam hidupnya. Tetapi ia tidak diberi suatu impak yang jelas terhadap jalan cerita tersebut, hanya wujud sekadar latar belakang yang malap.


Amerul Affendi untuk Terbaik Dari Langit

Gambar diambil dari laman web Astro Awani

Rumusan watak: Dilihat sebagai watak yang lurus bendul, beliau yang memainkan watak Toyu mengambil peluang untuk turut bersama teman-teman lamanya, Berg (Bront Palarae), Ijam (Iedil Putra), dan Ali (Megat Sharizal) untuk membikin filem mengenai UFO. Filem yang lebih menekankan perbalahan pelbagai watak yang wujud di dalam serangkai teman-teman sekolah, disertai pergelutan batiniah diantara perlakuan jujur terhadap diri sendiri dan tekanan prospek  kehidupan yang ditentukan oleh kondisi sekeliling.

Pendapat kami: Toyu merupakan watak jujur yang secara jelasnya mempunyai daya yang terpendam. Barangkali kondisi pembesaran membentuknya sebagai seorang lurus bendul, tetapi keadaan nalurinya sebagai manusia menunjukkan yang sebaliknya. Dunia kenaifan dan imaginasinya disalurkan kepada karya-karya yang dilukisnya.

Pada waktu hujung filem, beliau melaksanakan satu keputusan besar di dalam hidupnya, sekaligus berjaya untuk menyatakan keberaniannya pada babak-babak klimaks.

Dan lebih  menarik lagi, segala harapan kepada peleraian konflik diantara mereka bergantung kepada kekuatan beliau untuk membuat suatu keputusan yang telah mempengaruhi hati naluri dia selama ini.


Syazwan Zulkifly untuk Laga

Gambar diambil dari laman web Harian Metro

Rumusan watak: Menghormati Hassan (dilakonkan oleh Wan Hanafi Su) sebagai orang yang berpengalaman di dalam dunia laga ayam. Beliau membawa watak Sabri, anak muda dari desa yang merasakan bahawa dunia laga ayam adalah simbol kekuatan lelaki dan maruah sebagai sesuatu yang benar di dalam lingkungannya.

Pendapat kami: Sabri pada saat akhirnya memaparkan sifat berani, tulus dan jujur apabila akhirnya tidak kalah kepada sifat takut, tamak dan juga sifat mementingkan diri sendiri. Sebaliknya menunjukkan sifat sejati yang harus dipunyai oleh setiap anak muda iaitu pembelaan maruah dan prinsipal yang turut mendokong sikap jujur dan berhati-hati di dalam sesuatu konflik.


Nasir Bilal Khan untuk Laga

Gambar diambil dari laman web Maklumat

Rumusan watak: Watak tipikal orang kaya di dalam filem, buta dengan kekayaan materi dan lemas dibelenggu oleh egonya sendiri. Meneruskan aktivit berlaga ayam untuk menebus maruahnya yang kalah di dalam perlawanan laga ayam dengan Hassan selama bertahun-tahun. Melalui penipuan, taktik kotor dan rasuah, Dasuki meneruskan perlawanan laga dengan harapan agar maruah Hassan bisa dihancurkan.

Pendapat kami: Dasuki berjaya mengacau keseimbangan mental Hassan, walaupun beliau tidak sepenuhnya menang di dalam perlawanan laga ayam, tetapi sedikit sebanyak berjaya mempengaruhi jejak langkah dan keputusan yang dibuat oleh Pak Hassan. Ego, kekuatan materi dan nada kereknya mampu memberi tekanan yang kuat kepada watak lawannya.


Faizal Hussein untuk Manisnya Cinta Di Cappadocia

Gambar diambil dari laman web WordPress belacangirlcheeseboy

Rumusan watak: Membawa watak Bakhtiar, lelaki di tingkat pertengahan umur yang mulai berasa tanggungjawab terhadap keluarganya. Pada masa yang sama berusaha untuk bersatu dengan watak utama Ifti (yang dilakonkan oleh Fazura) sebagai penebusan silapnya yang lama.

Pendapat kami: Seperti mana-mana pelakon lama, beliau mampu menyatakan citra kebapaan yang penuh dengan kisah lampau yang membebani keberadaan hidupnya. Segala tindak tanduk dan kelembutan suara yang dilontarkan oleh beliau turut menunjukkan rasa bersalah yang kadang kala tidak dapat dikawal dan jelas ternampak oleh raut muka beliau. Lakonan dan wataknya mampu memberi impak besar kepada protagonis, dimana ianya mempengaruhi pilihan Ifti di dalam pemilihan pasangannya.


Pilihan Daily Seni

Jadi setelah berlangsungnya penerangan yang dinyatakan oleh pihak kami, tidak dapat menafikan kepentingan pelakon pembantu di dalam menjayakan sesuatu filem dan kepentingannya berdasarkan kekuatan impak watak itu sendiri, dan bagaimana ia secara jelas mempengaruhi separuh daripada naratif filem.

Bagi kami, watak Sabri yang dibawa oleh Syazwan Zulkifly layak untuk menang kategori ini. Kerana kewujudan wataknya bukan sahaja dilihat sebagai salah satu penggerak utama filem Laga, tetapi turut membawa simbol tenaga anak muda, kekuatan prinsip dan keyakinan terhadap sesuatu yang disayanginya secara telus. Beliau membawa simbol kenaifan dan kecerdasan pemikiran yang turut mempengaruhi keyakinan orang lain, lebih jelas terhadap keyakinan Pak Hassan, juara laga ayam sendiri.


Siapakah bakal pemenang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di FFM tahun ini?

Fizz Fairuz
Amerul Affendi
Syazwan Zulkifly
Nasir Bilal Khan
Faizal Hussein

Poll Maker

About The Author
Profile photo of The Daily Seni
The Daily Seni
The Daily Seni delivers news on local arts and culture, aiming to provide insight into Malaysia's ever-growing creative community as well as provoke thought and discussion.
Comments

    Leave a Response