Filem & Drama Islamik Melayu: Patuh Syariat Atau Bersifat Kosmetik?
Filem dan drama sebenarnya adalah satu medium massa yang bercerita dengan gambar dan berkata dengan rasa. Medium ini juga boleh mencapai berjuta-juta penonton dalam satu masa.
Jika baik atau buruk kandungan filem tersebut, maka baik atau buruklah apa yang akan diterima oleh penonton, dan hal ini bergantung kepada pemahaman individu kerana ia bersifat subjektif.
Kebelakangan ini Malaysia semakin kaya dengan filem dan drama yang bercorak Islamik, dihidangkan kepada penonton tempatan untuk penghayatan umum, seperti Suami Aku Ustaz terbitan Karya Seni dan Bila Hati Telah Hitam terbitan Astro.
Perkara ini bagus sebenarnya kerana terdapat usaha-usaha untuk berdakwah dalam pelbagai aspek tetapi persoalan sebenar – adakah ianya setakat bersifat kosmetik atau benar-benar patuh dan dikaryakan berdasarkan syariat?
Persoalan ini terjadi apabila kadangkala adegan-adegan yang dipaparkan tidak masuk akal dan seakan tidak realistik kepada syariat islam itu sendiri. Sebut sahaja filem dan drama Islamik, masih lagi terdapat adegan berdua-duaan, bersentuhan bagi yang bukan muhrim dan banyak lagi. Hal ini seolah-olah ia hanya berdiri di atas genre filem dan drama Islamik sahaja tetapi kandungannya seperti sifat kosmetik yang mencantikkan luaran wajah individu dan tidak mencerminkan langsung sifat dalaman yang masih tidak diketahui.
Masalah utama sub-industri terbitan Islamik
Jikalau hendak diikutkan, syariat itu bukanlah setakat aurat dan muhrim tetapi ia menyeluruh kerana Islam itu sendiri bersifat menyeluruh. Agama itu sendiri adalah bersifat fitrah dan Alam, dan alam tidak berpisah dengan sifat Islam.
Jadi, permasalahan sebenar di sini mungkin pemahaman: yakni bagaimana seseorang pengarah dan penulis skrip itu hendak menghasilkan sebuah filem dan drama Islamik jika mereka sendiri tidak berapa faham akan konsep Islam tersebut? Boleh dikatakan masalah industri ketika ini adalah kegagalan dalam memahami bentuk; jika gagal memahami bentuk, maka sudah tentunya gagal menghasilkan formula.
Hal ini diperakui sendiri oleh Encik Zabidi Mohamed, seorang penulis skrip yang sudah berpengalaman lebih 10 tahun dalam industri. Pemahaman adalah asas bagi sesuatu perkara dalam kehidupan kita. Jika gagal memahami, maka berlakulah adegan-adegan yang tidak masuk akal tersebut.
Seni bukan sesuatu yang dipinggirkan dalam Islam
Perlu diingatkan seni tidaklah dipinggirkan dalam Islam, jadi tidak perlulah apabila sebut sahaja filem Islamik mesti serban di atas kepala, jubah putih dipakai 24 jam, tasbih tak lekang di tangan dan dialog pak Imam yang berbahasa ana anta. Nilai seperti ini tidak semestinya ada dalam berkarya, malah filem yang santai dan bersahaja yang mempunyai mesej Islamik yang mendalam boleh jadi lebih mengesankan malah lebih digalakkan kerana itulah yang lebih menarik.
Paling tidakpun, filem atau drama yang plain entertainment, maksudnya buatlah filem atau drama apa pun asalkan ianya tidak bertentangan dengan syariat islam. Terdapat banyak contoh yang boleh diambil di negara kita sahaja, seperti filem yang bernilai kritikan sosial yang pernah dibikin oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan filem daripada negara jiran Islam kita seperti Iran – lihat sahaja filem Children of Heaven mereka yang sangat hebat dan tidak terlalu agresif, tidak dihasilkan dari perasaan ketakutan sesuatu yang sebenarnya kurang difahami.
Pendek kata, kepada orang industri perfileman tempatan, ciptalah filem yang boleh membebaskan penonton daripada fikiran yang jumud dan lebih mencerdikkan.
*Seminar Nilai-Nilai Murni Dalam Filem & Drama Menurut Pandangan Islam telah berlangsung pada 21 Mei di Pawagam Mini P.Ramlee, FINAS. Ahli panel seminar itu termasuk penulis skrip, Zabidi Mohammed, serta Mufti Perlis Dato’ Dr. Mohammed Asri Zainal Abidin.
Leave a Response