Jelajah Budaya – Pupukan Cinta Terhadap Seni Dan Budaya Manusia
*Tulisan ini dihasilkan sebagai reviu kepada buku yang bertajuk “Jelajah Budaya” yang ditulis oleh En. Dinsman
Seni dan budaya, seperti objek-objek yang lain di dunia ini, telah hilang maksud fungsinya dan hampir tidak dipersoalkan dan dibincangkan lagi sesama kita. Seperti komoditi dan harta, ianya dimiliki ataupun dihidupi lebih kepada suatu permaknaan nilai, suatu perlambangan untuk dipertontonkan sebagai cara-cara bagi kita semua meneruskan kewujudan kita.
Tetapi seperti biasa, kita semua jarang benar mempersoalkan apa itu sebenarnya fungsi seni dan budaya, dan kenapa sebenarnya ia diwujudkan, kenapa ianya diperlakukan sebegitu rupa, dan adakah cara yang lain untuk kita menghidupi aktiviti seni dan budaya itu dengan pendekatan yang lebih membumi. Membumi disini bermaksud penjalinan diantara alam dan ruang buatan manusia, adakah seni budaya itu sendiri membawa fungsi untuk mendekatkan kita dengan alam, membawa peranan sebagai jambatan yang mampu mengangkat kesedaran kita semua tentang peri pentingnya jalinan keterasingan manusia itu dengan alam yang secara alamiahnya sebati dengan diri kita.
Bukankah selama manusia wujud, satu-satunya nilai keresahan yang ada diwujudkan oleh kesedaran kita tentang keterpisahan diri manusia (dari sudut pandang pemikirannya sendiri) dengan alam semesta? Keterpisahan inilah yang menjadi tunjang utama bagi setiap manusia, secara sedar atau tidak, merupakan peneraju utama kita menjalani kehidupan kita. Langsung bukankah fungsi seni budaya dan bagaimana untuk menjayakan aktiviti itu sendiri, harus berteraskan objektif sebegini? Agar sedikit sebanyak setiap keresahan yang wujud di dalam masyarakat kita mampu dikurangkan dan secara jangka lama berjaya membentuk suatu ritual seni budaya yang tidak lagi terasing dan sebati secara konkrit di dalam diri kita semua.
Rasanya begitulah tujuan ataupun objektif yang ingin dilakukan oleh kumpulan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) melalui aktiviti Jelajah Budaya mereka. Mereka berusaha untuk menggabungkan golongan massa dan golongan spesialis (budayawan, ahli akademik, seniman, ahli politik) agar bergabung tenaga untuk menjayakan suatu aktiviti yang berteraskan suatu nilai yang menjangkaui batas-batas individu, latar belakang, karier, dan juga agama.
Ia adalah suatu usaha untuk menjadikan seni budaya itu secara konsisten sebagai salah satu sendi masyarakat di Malaysia, dan dengan harapan agar ianya merupakan suatu perayaan yang menggabungkan dua elemen utama di bumi ini, dirinya dan dunia yang terasing darinya. Ianya adalah percubaan untuk membangkitkan cetusan kreativiti di dalam setiap individu yang tertanya-tanya tentang apa sebenarnya seni budaya itu, dan apakah definisi lain yang dapat diberikan oleh mereka, selain apa yang telah mereka lihat melalui media arus perdana. Adakah ianya sekadar hiburan semata-mata, sesuatu yang tidak pernah kekal, punah sebaik sahaja satu jam telah habis ditonton? Ataupun seni budaya itu merupakan sesuatu yang benar-benar besar kepentingan untuk kewujudan mereka sendiri sebagai spesis manusia yang unik?
Berbalik kepada apa yang utama – buku yang diberi tajuk Jelajah Budaya ini ditulis oleh budayawan dan aktivis, En. Dinsman. Ianya merupakan hasil kompilasi mengenai pengalaman beliau mengadakan acara siri Jelajah Budaya yang berjalan ke seluruh negara untuk membangkitkan tingkat kesedaran rakyat terhadap kepentingan seni budaya itu sendiri, dan bagaimana ianya merupakan kepentingan yang utama untuk meningkatkan tahap ketamadunan kita.
Menarik juga diperhatikan melalui hasil penulisan beliau, aktiviti Jelajah Budaya berjaya memulakan suatu usaha yang konsisten dan mampu untuk menarik perhatian beberapa kumpulan yang lain. Ada yang terdiri daripada golongan sasterawan dan ada juga dari kalangan intelektual. Dan mereka berjaya menukar haluan ataupun titik permulaan yang bermula daripada rakyat. Rakyat merupakan titik permulaan yang mampu mengubah sesuatu tamadun, mereka memberi hak kepada rakyat untuk mengembalikan nilai dan martabat seni budaya kepada orang ramai. Usaha seperti ini tidak harus dilihat sebagai sesuatu yang remeh, sebaliknya merupakan faktor ataupun daya utama yang penting. Seni-budaya harus diberikan definisi yang baru, nafas yang baru agar ianya mampu mengubah naratif rakyat dan sedikit sebanyak mampu meningkatkan tingkat pemahaman rakyat agar fungsi seni-budaya menjangkaui peranan klise seperti hiburan.
Melalui fungsi seni-budaya itu sendiri, mereka menghasilkan karya untuk berjuang demi kesusahan penduduk di negara Malaysia. Mereka melaksanakan program di sesuatu kawasan (sebagai contoh Felda Sg. Tenggi) sebagai usaha solidariti sesama seniman untuk menyokong dan berdiri kukuh disebalik perjuangan para penduduk felda yang bakal kehilangan hak ke atas tanah mereka seluas 360,00 hektar, kerana rancangan pihak pengurusan Felda yang ingin mengapungkan tanah-tanah itu di pasaran saham Bursa Malaysia. Mereka menyatakan alternatif bagi fungsi seniman, dan fungsi ini sama sahaja seperti fungsi golongan-golongan yang lain – iaitu menggunakan kebolehan kreativiti mereka untuk tujuan menolong rakyat dan mendukung semangat tolong-menolong sesama rakyat negara.
Akhir kata, buku Jelajah Budaya dapat juga dilihat sebagai suatu usaha dokumentasi oleh En. Dinsman. Usaha untuk menyatakan pengalaman dan harapannya terhadap usaha kumpulan PAKSI dan kumpulan-kumpulan yang lain untuk turut kembali menyatakan sokongan mereka terhadap kepentingan rakyat. Mereka berjaya melaksanakan peranan dan kewujudan mereka sebagai budayawan dan seniman – bukan melalui retorik dan gaya ahli politik, tetapi dengan menggunakan medium utama mereka iaitu melalui seni itu sendiri.
*Buku Jelajah Budaya boleh didapati di kedai buku Gerakbudaya.
*Kumpulan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) boleh dihubungi melalui akaun Facebook mereka.
Leave a Response