KESEJAHTERAAN DALAM SENI ISLAM KONTEMPORARI
“Islam is an Abrahamic religion also known as a ‘heavenly’ religion apart from Judaism and Christianity. The word ‘Islam’ is taken from the three-consonant root word s-l-m and derived from the Arabic word; aslama, yuslimu and islaman. Besides that, another word that can be derived from the same root word is Salam which means ‘peace’. “
Petikan di atas menyambut aku sewaktu membaca pengenalan dalam buku program pameran ‘Faith: A Contemporary Islamic Art Exhibition’. Ia adalah teras kepada pameran yang kini sedang berlangsung di Galeri Prima, Jalan Riong. Dilancarkan pada 29hb May, ‘Faith’ meraikan semangat dan jiwa Islam sepanjang bulan Ramadhan dan Syawal dengan menampilkan karya-karya dari 19 artis dewasa dan muda. Karya-karya ini dipilih berdasarkan tema kesejahteran yang telah ditetapkan oleh kurator Amir Amin. Pameran ini dianjurkan bersama Galeri Artcube dan ia terbuka kepada khalayak umum sehingga 28hb Julai 2017.
Aku mulakan lawatan aku dengan bertanya mengapa faith dipilih sebagai tajuk pameran sambil Amir Amin, taulan seniku yang merangkap kurator dan artis pameran membawa aku ke karya-karyanya.
“Islam is a religion of peace, tapi ramai terlepas pandang yang perkataan peace (sejahtera) memang ada dalam perkataan Islam itu sendiri.” jawab Amir. Aku mengiyakan, menunggu penjelasan. “So our faith is actually peace; kesejahteraan. Biasanya pameran-pameran seni Islam di Malaysia akan tertumpu pada seni-seni dalam dunia Islam seperti seni khat dan senibina, ataupun tema-tema seperti sejarah dan ketuhanan. (Dengan pameran ini) Aku nak kita berbicara tentang Islam melalui sudut lain pula.”
Aku mengangguk sebelum mengalih perhatian ke karya Amir yang bertajuk ‘Lady: A Sea of Secrets’. Aku minta penjelasannya.
“Basically apa yang aku nak sampaikan adalah identiti kita sebagai seorang Islam di Malaysia ini ada berkait rapat dengan Jawi.” Karya Amir berbeza dari kebanyakkan karya-karya lain yang terpamer. Ia terdiri dari dua lukisan yang besar. Lukisan di sebelah kanan adalah sebuah susuk tubuh yang dibentuk oleh turutan huruf-huruf Jawi yang memenuhi ruang negatif (negative space). Lukisan di sebelah kiri pulak adalah susuk tubuh sama yang dilukis mengikut anatomi seorang wanita yang cukup sifat. “Lukisan kanan mewakili rohani kita, manakala lukisan kiri mewakili jasmani kita.”
“Sebenarnya tulisan Jawi adalah sebahagian dari sejarah dan identiti kita sebagai seorang Melayu Muslim. Pada zaman dahulu, saudagar-saudagar Arab menggelar rantau ini Jawadwipa. Diterjemahkan ia bermaksud Lembah Jawa. Dan penduduk Lembah Jawa dipanggil Jawi. Istilah Tanah Jawi berasal dari situ.” Amir menambah. Aku terdiam seketika, merenungkan perkembangan penggunaan abjad Roman di rantau ini di mana kemajuan dalam teknologi percetakkan dan penerbitan sekitar awal abad ke-19 mula menenggelamkan penggunaan tulisan Jawi.
“Jadi bagaimana karya ini membicarakan kesejahteraan? Bagaimana dengan lukisan anatomi wanita yang jelas menunjukkan payudara itu? ” aku mencabar. “Kita mudah mengaitkan tulisan-tulisan Jawi dengan ayat-ayat Quran hanya kerana kedua-duanya menggunakan huruf Arab. Sedangkan tulisan Jawi hanyalah tulisan sahaja; dalam karya ini aku tidak menggunakan ayat Quran pun. Malah di Tanah Arab huruf-huruf Arab ini ada di mana-mana – pintu, lapik kaki, tandas. Jadi perlu ada ketenangan dan ketajaman di sini untuk menyedari yang karya ini bukan mencemar atau merendahkan ayat-ayat Quran.”
Kami meneruskan lawatan dengan melihat karya-karya lain yang terpamer. Antaranya lukisan ‘Bacalah! Aku Tidak Tahu I’ karya Megat Zaim Zharif dalam Siri Iqra’-nya. Ini adalah lukisan seorang yang sedang mengaji di mana mukasurat-mukasurat kitab yang ditelaahnya kosong tanpa tulisan. Amir menjelaskan yang pada pelukis, kitab ini adalah simbolik kepada ilmu, teladan dan hidup kita – ia hanya akan penuh sekiranya kita belajar.
Seorang pelukis yang menarik perhatian aku adalah Syukur Rani. Dua lukisannya – ‘Cerita Dari Sebuah Kota I’ dan ‘Cerita Dari Sebuah Kota II’ terilham dari peperangan di Syria. Beliau mengambil dua gambar yang menggambarkan kesan-kesan peperangan di Syria dan melukis semula gambar-gambar tersebut dengan gaya pop art. Pilihan warna-warna cat serta motif-motif pop art yang digunakan seolah-olah melahirkan satu alam yang baru dari sebuah lanskap yang asalnya menyayat hati.
Ia membuat aku tersenyum berharap.
Galeri Seni NSTP adalah sebuah galeri tetap yang ditubuhkan pada 1994. Ia bertempat di lobi bangunan Balai Berita dan telah mempamerkan lebih 6000 karya-karya seni sepanjang penubuhannya. Pada 1hb Jun 2016 ia telah berpindah ke bahagian bangunan yang lebih baru dan telah diubah namanya ke Galeri Prima. Ruang baru ini mempunyai dua tingkat, dan merupakan kilang pencetak akhar NSTP sebelum operasi percetakkan terpaksa berpindah ke kilang yang lebih besar.
Biarpun usianya baru genap setahun, Galeri Prima telah menganjurkan beberapa pameran, baik solo mahupun berkumpulan, dengan usahasama dengan galeri-galeri atau badan-badan seni tempatan dan juga serantau. Ia juga menganjurkan acara-acara lain seperti bengkel seni dan lelongan seni.
Pameran ‘Faith’ ini adalah usahasamanya yang pertama dengan galeri tempatan yang lain. Ia dilancarkan sempena menyambut ulangtahun pertama Galeri Prima. Dalam usahasama ini Galeri Artcube telah menyumbang beberapa karya Husin Hourmain dari pameran solonya ‘Awal Hurouf Asal Hurouf’. Husin Hourmain adalah antara seniman seni Islam kontemporari Malaysia yang tersohor, menampilkan estetik seni yang bersandarkan huruf-huruf Jawi. Kemunculan beliau pada 2013 sering dikatakan telah menyegarkan arena seni Islam kontemporari mutakhir Malaysia.
Husin adalah salah seorang dari 4 artis dewasa yang menyumbang karya untuk pameran ini. Selainnya adalah Mohd Noor Mahmud (lebih dikenali sebagai Mat Nor), Md Fadli Yusoff dan Anniketyni Madian. Mat Nor menampilkan keseluruhan koleksi ‘Siri Rasa Bertuhan’nya yang terdiri daripada 20 karya media campuran bersandarkan tulisan Jawi. Md Fadli Yusoff menyumbang 3 lukisan yang berbicara tentang kekeliruan identiti Melayu dan Islam, kehambaan seorang sultan dan konsep dunia sebagai pasar. Anniketyni pula meyumbang 4 karya ukiran yang mempersoalkan pencemaran nilai-nilai konsumerisme ke dalam adat dan budaya asli.
15 artis muda lain yang terdiri dari pelbagai medium, gaya dan falsafah seni melengkapkan senarai artis untuk pameran ini. Semuanya telah dikenalpasti dan dipilih oleh kurator Amir Amin sebelum dipersetujui pengarah galeri. Proses pemilihan karya kebanyakkannya berlaku di studio-studio artis – Amir dan jawatankuasa pameran akan berkunjung ke studio-studio mereka untuk memilih karya-karya yang paling sesuai.
Kesemua karya-karya seni Islam kontemporari ini diharapkan mendukung tema kesejahteraan dengan baik dalam membicarakan perihal faith dalam hidup kita sehari-hari.
“Memang ada yang mempersoalkan pameran ini.” mula Amir, bersemangat apabila bicara kami masuk ke topik seni Islam kontemporari. “Mereka bertanya – apa yang Islamik? Apa yang kontemporari? Adakah ianya hanya zahiriah – setakat teknik dan penggunaan motif-motif Islam saja? Adakah ia hanya setakat lukisan-lukisan bergantung sahaja – kerana itu bukan kontemporari.” kongsi Amir.
Aku hanya mampu diam. Seni halus memang bukan kepakaranku. Aku cuma reti melihat, dan menikmati pemandangannya.
“Memang kalau diikutkan takrifan yang sebetulnya, karya-karya kontemporari tidak terhad kepada lukisan-lukisan bergantung. Ia lebih kepada instalasi, arca, seni jalanan – karya-karya yang bersifat post-modern. Ia tak terikat dengan takrifan seni klasik dan moden di mana seni itu perlu dipertontonkan di atas dinding, di dalam bingkai. Aku cuba penuhi takrifan itu – lihat karya ‘Islamik’ oleh Amin Harun contohnya, ataupun ukiran-ukiran Burhanuddin Bakri. Mungkin medium artis-artis muda lain pula masih lagi lukisan, namun topik, teknik dan falsafah mereka tetap mutakhir dan kontemporari. Dan pada masa yang sama pameran ini ada karya-karya yang tampak Islamik – penuh dengan motif-motif Islam seperti tulisan Jawi serta menggambarkan mercu tanda seperti Kaabah dan Masjid Al-Aqsa contohnya.”
Penjelasan Amir itu melengkapkan perbualan kami dan mengakhiri temujanji kami. Aku mengucapkan terima kasih dan membuka langkah pulang.
Sambil berjalan menuju stesen LRT Bangsar, aku renungi pameran tadi, mencari teladan yang boleh aku bawa pulang. Mengenangkan kekecohan di Twitter tentang Melayu dan kemelayuan serta isu halal/haram dalam menderma kurma di bazaar Ramadhan, aku teringat lukisan Allahyarham Tok Guru Nik Aziz karya Md Fadli Yusoff. Ia karya yang paling aku suka dalam pameran tadi.
Dalam lukisan ini pelukis memetik ceramah arwah, yang berbunyi:
“Yang patut kita banggakan adalah Islam, bukan Melayu. Jika kita bangga dengan Melayu kita, maka Cina akan bangga dengan Cinanya dan India akan bangga dengan Indianya. Sampai bila-bila kita akan bergaduh.”
Aku tersenyum. Pada aku itu sudah cukup Islam, dan sudah cukup kontemporari.
RALAT
Nama koleksi Mat Nor untuk pameran ini adalah ‘Siri Sifat 20’ dan bukan koleksi ‘Siri Rasa Bertuhan’. Siri Rasa Bertuhan adalah nama koleksi artis yang terdahulu. Kami meminta maaf di atas kesilapan yang tak disengajakan ini.
Leave a Response