Khalid Salleh ‘Jual Ubat’ di Pesantren Sunan Kalijaga
“SAYA tidak pernah studi (belajar) teater. Makanya, jangan ditanya saya mengenai method Stanilavski, Grotowski, Brecht, Elia Kazan dan segala macam lagi kerana saya tidak tahu,” jelas Khalid Salleh dengan jujur dan rendah diri kepada penonton-penonton Jual Ubat di Surabaya awal tahun yang lalu.
Dan apabila ditanya pula oleh santri (murid) di Pesantren Anuqqayah baru-baru ini: apa pengertian seni pentas, Khalid Salleh menjawab dengan tenang, “Pentas itu salinan kehidupan. Bagaimana kita layak menjadi penggiat pentas, jika kita sendiri tidak mesra dengan kehidupan?
“Seni pentas tidak akan terwujud hanya duduk di dalam kelas. Sebagai seorang aktor, mesti merasai pahit-manis kehidupan sebenar. Ibarat penulis puisi, puisinya tidak akan jadi puisi jika tiada mesra atau peka dengan rasa diri, alam dan Tuhan; kerana puisi itu sendiri sifatnya halus dan tinggi.”
Tiada seniman yang seberani beliau. Walaupun tidak bersenjatakan pedang atau senapang, beliau tekad untuk turun berjihad dengan menjual ‘ubat’nya. Kali ini, Khalid Salleh membawa pementasan monodrama Jual Ubat menjelajah ke Jawa Timur. Istimewa, Jual Ubat kali ini tidak dipersembahkan di gedung pementasan, sebaliknya di pesantren.
Pada 29 Oktober lalu, Jual Ubat dipentaskan di Pesantren Annuqayah Guluk Guluk, Sumenep-Madura. Dituruti pada 1 November, monodrama ini dibawa pula ke Pesantren Nurul Jadid, Probolinggo.
Kemudian, pada 12 November akan datang, Jual Ubat dipentaskan di Pesantren Sunan Kalijaga, Jogjakarta; dan pada 15 November, kembali semula ke Surabaya.
Anugerah
Nah, seniman kita di sini hari ini sibuk mengejar anugerah di festival-festival filem atau kesenian lain baik anjuran tempatan apa lagi antarabangsa, sibuk mengejar sebentuk piala yang tiada nilai.
Bagi Khalid Salleh yang pernah memenangi anugerah antarabangsa dan tempatan dalam pengkhususan lakonan, piala itu tidak bermakna apa-apa malah beliau bimbang akan membangkitkan fitnah di dalam dirinya.
Lantas itu, beliau menulis sajak Bukan Apa-apa, yang ditulisnya di tepi longkang, setelah membawa pulang piala Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Asia Pasifik. Bahkan, beliau sendiri pernah membungkus piala-piala itu untuk disimpan di bawah katil.
Dijemput untuk mementaskan Jual Ubat di pesantren-pesantren, ini adalah anugerah yang tidak ternilaikan.
“Wak merasa sebak apabila Jual Ubat diterima di sana (Indonesia), diterima oleh rumpun Melayu sana, lebih-lebih lagi diterima oleh Kiyai-kiyai. Mereka memahami apa sebenar ‘ubat’ yang Wak jualkan,” kata beliau lagi.
Peradaban pemikiran seniman
Seperti budaya dan peradaban di Barat, Indonesia juga mengamalkan peradaban yang sama iaitu mengupas, membentang, menghujah dan mendebatkan sesebuah karya atau tokoh seni dan sastera, demi menggali apakah pemikiran dan falsafah yang cuba dijuangkan oleh tokoh-tokoh tertentu.
Budaya itu tidak terhenti di situ sahaja. Natijah dari hujah dan debat itu kemudiannya didokumentasikan, untuk rujukan generasi akan datang dan panduan negarawan untuk menerajui negara.
Begitu tinggi penghargaan mereka berikan pada seni dan sastera. Bagi mereka (Indonesia), seni dan sastera itulah yang membentuk peradaban dan budi.
Pendapat peribadi saya, senario di sini sangat jauh berbeza. Selain mengejar anugerah, seniman di sini sibuk juga mengejar segulung ijazah dan gelaran. Jika ada kritikan yang ditulis, selain dari menghentam, pengkritik sibuk mencari kesalahan teknikal dan struktur pementasan yang sudah tentunya unsur-unsur itu hanya kosmetik naskah.
Pemikiran dan falsafah di sebalik naskah tidak pula digali.
Agamawan dan negarawan — jangan ceritalah. Sebelah mata pun mereka tidak memandang seni dengan pengertian sebenar. Bagi mereka, seni hanya hiburan kosong yang menjurus pada hedonistik. Mereka lebih gemar menghukum, menunjuk pandai, menindas, menjual agama, dan… menjaga KPI!
Kredit foto: Jamaluddin Md. Nor
Leave a Response