Reviews
Now Reading
KRITIK TEATER: ‘Mesin-gan’ jejaskan ‘sampai’ Shakespeare
Next
Prev
504 0

KRITIK TEATER: ‘Mesin-gan’ jejaskan ‘sampai’ Shakespeare

by Pribade Abdullah BongkokJanuary 14, 2016

TONTON filem Abang (1981), cuba perhatikan dengan teliti gaya lakonan Dato’ Rahim Razali dengan regunya yang serasi – Ahmad Yatim: dengan gerak lakon dan susun atur pemeran di dalam bingkai seolah seperti di atas pentas, sambut-menyambut dialog yang berjela seperti tidak tahu apa itu jeda dan jenak; maka gaya lakonan sebegitu dapat-lah di-ertikan sebagai gaya lakonan Shakespeare, gamaknya.

Lagak kedua-dua tokoh tersebut telah mencetuskan nilai klasik pada wadah lakonan Melayu. Lakonan mereka dalam filem Abang seperti batu tanda gaya lakonan baharu selepas zaman lakonan moden S. Kadarisman dan Nordin Ahmad.

Tidak hairan-lah jika kedua-dua tokoh ini telah menempa beberapa pelakon-pelakon berkarisma yang ada pada hari ini.

Ahmad Yatim, tentunya seorang guru lakonan yang menjadi sebutan pelakon-pelakon yang lahir dari kelasnya sama ada di Kumpulan Budaya Negara (KBN), Pentarama RTM, Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Kemuncak proses pembelajaran bagi seorang pelajar lakonan setelah belajar teknik, senaman dan riadah, ialah: berlakon untuk pementasan sebenar. Ketika berada di dalam latihan-lah pelajar itu akan ditegur, diberi nasihat dan tunjuk ajar oleh cikgu mereka.

Jika di dalam kelas Ahmad Yatim, beliau selalu ulangi ungkapan ‘sampai’ atau ‘tak sampai’, bererti keseronokan permainan pelakon itu memberi kesan rasa dan percaya atau tidak kepada penonton; kerana lakonan bukan sekadar hamburan dialog dan tayang muka sahaja. Perlu ditegaskan: lakonan adalah tanggungjawab.

Salah satu matapelajaran di Fakulti Teater ASWARA ialah kelas Produksi Teater Klasik. Kelas ini bertujuan memberi pendedahan dan cabaran kepada para pelajar akan naskah-naskah klasik Barat seperti karya Euripides, Sophocles, Aristophanes dan tentunya karya-karya William Shakespeare.

Oleh demikian, pada 8 – 10 Januari 2016 yang lalu, kelas Produksi Teater Klasik, Fakulti Teater ASWARA telah mementaskan naskah Macbeth, di bawah bimbingan Ahmad Yatim.


Kerja terjemahan

Sudah menjadi kelaziman perantau, takkan meninggalkan jatidiri bumi asalnya, lebih-lebih lagi perantau yang berniat menjajah. Inggeris menjajah ke benua Asia bukan sahaja membawa unsur-unsur peradaban bangsa seperti bahasa, pakaian, makanan, sukan dan muzik; tetapi mereka membawa sekali senjata, jentera, senibina dan sastera.

Naskah sastera Inggeris yang paling berpengaruh di seluruh Asia ialah karya Rudyard Kipling dan William Shakespeare. Karya Kipling kebanyakannya berlatarkan negara India, jadi ia lebih dekat dengan warga Asia. Lagipun, karya Kipling iaitu The Jungle Book telah diterapkan sebagai ‘cerita unggun api’ pasukan pengakap. Heh, siapa yang tidak mengenali budak India bernama Mowgli?

Tidak pasti pula halnya naskah Shakespeare, kenapa ia sangat berpengaruh. Apakah mungkin kerana cerita yang dibawa berkenaan kisah-kisah feudal patriak, kerana kebanyakan negara di Asia ketika era imperial itu masih diperintah oleh liga Raja-raja dan ia mudah diserapkan ke dalam sistem pendidikan sekolah Inggeris yang dihadiri oleh anak-anak Raja?

Di Semenanjung Tanah Melayu, pada tahun-tahun 1950-an, naskah-naskah Shakespeare mula menjadi pilihan panggung-panggung Bangsawan. Karya seperti Hamlet, Macbeth dan Romeo & Juliet adalah pilihan popular di pentas Bangsawan, dengan Bahasa Melayu.

Mungkin panggung Bangsawan ini mengambil naskah terjemahan Trisno Soemardjo, penterjemah Bahasa Indonesia.

Tidak berhenti di situ sahaja, karya-karya Shakespeare terus dipilih oleh kumpulan teater Bahasa Inggeris lewat 1960-an sehingga hujung 1970-an dengan pendekatan yang lebih moden dan ringkas berbanding pementasan Bangsawan.

Di era inilah, Universiti Malaya telah menerbitkan buku siri terjemahan Drama Klasik Shakespeare ke Bahasa Melayu dengan menampilkan lima tajuk iaitu: Hamlet (1973), Topan [The Tempest] (1974), Macbeth (1975), Saudagar Venice [The Merchant of Venice] (1975) dan, Impian Malam Di Tengah Musim Panas [A Midsummer Night’s Dream] (1976).

Tidak pasti sama ada kerja terjemahan tersebut diambil dari bahasa asal yakni Inggeris atau dari Bahasa Indonesia.


Shakespeare di Akademi Seni Kebangsaan

Ketika masih bergelar penuntut seni lakonan, Zul Huzaimy Marzuki pernah membawa peranan Hamlet, untuk kelas yang sama pada tahun 1999, di bawah bimbingan Dato’ Dr. Faridah Merican. Kemudian, beliau membawa peranan ini dalam versi yang lain: moden dan ujikaji. Untuk penilaian tahun akhirnya pada 2001, beliau telah berjaya membawa peranan Hamlet dengan ‘bahasa raban’ atau ‘gibberish’ bertajuk Tubik.

Begitu juga halnya pelakon Sobri Anuar yang pernah membawa peranan Macbeth. Ketika itu, Sobri dan rakan kelasnya tidak diberi kostum yang gah. Hanya seluar Randai dan baju Pagoda yang dicelup pewarna – itu sahaja; tetapi kesan yang mereka tinggalkan amat mendalam.

Tidak ketinggalan – Wan Kanari Ibrahim dan Hasmadi Hassan, masing-masing membawa peranan Cassius dan Brutus untuk penilaian tahun akhir mereka sebagai penuntut seni lakonan pada tahun 2000. Naskah Julius Caesar (terjemahan Asrul Sani) telah diolah oleh Hariry Jalil menjadi Episod Terakhir Caesar, yang disutradarai oleh Nam Ron, dengan mengangkat konsep ‘Skinhead-Kelantan’.

Pementasan ini seperti menjadi satu tanda teater era alaf baharu sudah bermula. Kemudian, naskah ini dipanjangkan lagi oleh Wan Azli Wan Jusoh lalu menukar tajuknya menjadi Gedebe. Sayangnya, pelakon asal tidak dapat terlibat dan digantikan dengan Zul Huzaimy bersama Eyzendy Aziz. Pada tahun 2002, Gedebe menjadi sebuah filem.

Mereka ini semua pelajar Akademi Seni Kebangsaan (kini ASWARA) dan lihat betapa serius dan gigihnya mereka mempelajari dan memahami naskah William Shakespeare.

Mereka tidak bergantung pada konsep, tetapi mereka cuba sedaya upaya menyampaikan apa yang tersirat di sebalik naskah Shakespeare ini. Dialog yang meleret dan puitis, dengan teknik-teknik tertentu seperti ke samping dan soliloki; namun ia tetap disampaikan dengan penuh maksud. Permainan sambut-menyambut mereka masih diberi ruang nafas.

Jika seseorang pelakon itu berdiri di atas pentas hanya dengan ‘persona’ yang bergantung pada unsur-unsur konseptuil seperti jambang, warna rambut, jaket dan but: hah, maka zat naskah Shakespeare ini tidak terzahirkan. Lebih-lebih lagi dialog yang dihamburkan umpama tembakan rambang mesin-gan – nah, hasilnya bising sahaja.

Seseorang pelakon itu mesti mengenali nafas dan rasa suatu watak yang hendak dibawa; dengan kata lain: mesti hadam betul-betul apa matlamat cerita dan watak. Apabila sudah dapat rentak nafas dan rasanya, dengan sendirinya gerak terzahir begitu sahaja dan nampak ia tidak direka dan dipaksa. Lafaz dialog pun akan dipercayai penonton dan yang penting – ada toma’ninah (jeda).

Bila sudah faham dan hadam, sarungkan kostum apa sahaja atau campaklah ke mana pun, ia tetap menjadi. Tidaklah wajar seseorang pelakon itu memikirkan pentas mana hendak bermain dan penampilan luaran watak terlebih dahulu kerana sikap begitu bisa menenggelamkan jiwa watak sekali gus menjejaskan cerita sepenuhnya.

Apakah Ahmad Yatim sudah malas, atau dia tahu pelajar-pelajarnya hari ini hanya nak glamor?

Pementasan Macbeth kali ini cuba mewujudkan latar mafia Scotland moden yang gelap, tetapi dalam pada masa yang sama cuba juga menonjolkan imej klasik feudal – tidak jelas yang mana satu pegangan pementasan ini.

Unsur-unsur konseptuil seperti jambang dan warna rambut, lebih menampakkan imej Bangladesh dari imej Scottish, hanya kerana azali kulit dan hidung. (Lebih keliru, jika benar ia berlatarkan moden, kenapa tidak menggunakan pistol atau pisau – kan itu lebih menarik?)

Hah, juga disarankan, wujudkanlah kelas Pertarungan Untuk Pentas. Kita ada koreografer-nya, kenapa tidak diangkat? Tidakkah malu jika mengaku peminat ‘Jedi’ tetapi lawan pedang macam budak-budak? Apa pun, tahniah kepada semua pelajar produksi Macbeth (terutama pemain peranan Porter – kerana dia benar-benar seronok bermain), dan selamat berjaya kepada produksi Hamlet.

Hamlet ialah produksi Penilaian Tahun Akhir Fakulti Teater, yang disutradarai oleh Fasyali Fadzly, akan berlangsung pada 15 Januari, 2016; jam 8.30 malam dan 16 Januari, 2016; jam 3.00 petang. Bertempat di Blackbox ASWARA. Tiket hanya RM10 sahaja.

Produksi ini juga bersempena Mengingati 400 Tahun Legasi Shakespeare.


Foto oleh: Raditarman Mohd.

About The Author
Profile photo of Pribade Abdullah Bongkok
Pribade Abdullah Bongkok
hamba SENI yang suka sakat suku sakat. Mula jatuh cinta pada pentas sejak budak-budak, sejak mengenali pentas di Dewan Orang Ramai kampungnya, di mana pada bahagian atas tirai agungnya tertulis: 'Pribade'.
Comments

    Leave a Response