Reviews
Now Reading
My Story, My Strength: Darihal Kesedaran, Harapan dan Kekuatan
Next
Prev
138 0

My Story, My Strength: Darihal Kesedaran, Harapan dan Kekuatan

by Anak DagangSeptember 7, 2015

Keindahan setiap bentuk seni ditentukan oleh kekuatan minda manusia. Minda kita adalah pengantara diantara objek dan pengamatan yang pada peringkat akhirnya diakui oleh para pencinta seni. Kita bersetuju sesuatu karya itu indah, ataupun sebaliknya. Melalui pengantara ini jugalah kita berani mempersoalkan semua definisi kecantikan itu sendiri, dan ianya tidak statik dan berubah mengikut keperluan keadaan semasa.

Walaupun wujudnya wacana seni yang mengangkat karya ke tahap transendental ataupun keagungan yang menolak objektiviti dunia, kita masih mampu menyatakan sesuatu yang jelas dan berkait rapat dengan kondisi kehidupan kita. Dan menurut saya, karya seni yang mengambil kira faktor ini dapat dikirakan sebagai indah. Ianya indah kerana mencetus perasaan yang berbeza kepada para penggiat seni dan subjek yang memahaminya. Pada masa yang sama naratif mereka berubah kerana pengakuan dari orang sekeliling turut bersetuju akan karya yang terhasil.

Melalui konteks penggunaan medium seni, bagaimana dengan penuh keyakinan kita menyatakan ya kepada pengakhiran keganasan rumah tangga? Adakah setiap karya yang terhasil bisa menjadi saksi ataupun akuan kepada keganasan rumah tangga yang sering berlaku? Adakah keindahan seni itu, dengan keseimbangan dari segi geometrinya, penggunaan warna, teks dan lain-lainnya mampu meningkatkan keberanian seseorang untuk mengatakan tidak kepada penerusan keganasan rumah tangga yang berlaku?


Begitulah persoalan-persoalan yang sering timbul di pemikiran saya apabila memikirkan tentang keampuhan karya-karya seni yang terhasil untuk sesuatu isu. Di dalam kes keganasan rumah tangga, Pusat Kesedaran Wanita (WCC) ataupun Women’s Centre for Change melaksanakan suatu inisiatif yang lain untuk menyebarkan info-info mengenai isu ini.

Sempena sambutan ulang tahun ke 30 NGO ini dibuka, mereka melancarkan projek kreatif yang melibatkan sebelas artis wanita untuk turut berkerjasama dengan mangsa-mangsa keganasan di dalam penyebaran info melalui medium kreatif iaitu seni.

Melalui artikel ini, pihak Daily Seni berusaha untuk menerangkan beberapa tema yang jelas dinyatakan melalui setiap karya. Aktiviti ini melalui dua proses. Pertama, pihak WCC cuba untuk memberi keyakinan kepada mangsa-mangsa yang terlibat untuk berani menceritakan pengalaman mereka, bagaimana mereka dipukul dan didera. Selanjutnya, sebelas pengalaman yang dipilih akan dikongsikan oleh mereka sendiri kepada para seniwati bagi mereka menghasilkan karya. Setiap karya yang terhasil pula akan dilelong untuk mendokong segala kerja yang bakal diteruskan oleh WCC.

Para seniwati yang terlibat pada masa yang sama, turut menyumbang segala tenaga atas nama wanita dan sifat kewanitaan itu sendiri. Identiti mereka dikaburkan, mereka tidak lagi melihat diri mereka sebagai seniwati, sebaliknya sebagai wanita yang sering menjadi mangsa patriarki yang membelenggu dunia kita.

Yang melahirkan kekuatan adalah harapan

Pada peringkat awal, kesedaran adalah sesuatu yang paling sukar untuk dikecapi. Iya, tidak dapat dinafikan bahawa mereka didera sebegitu rupa dan mereka sedar benar mengenai kejadian yang berlaku. Tetapi itu tidak mengambil kira aspek ‘Kesedaran’ yang saya cuba rungkaikan, iaitu kesedaran akan kewujudannya dan naratifnya melalui sudut pandang pemikirannya. Mereka harus mencapai tahap kesedaran itu agar mereka mulai beranikan diri untuk melakukan perubahan dan menjangkaui asas ketakutan yang telah lama mengongkong mereka selama ini. Dan kesedaran ini yang paling sukar untuk dilakukan, kita sendiri masih takut untuk menghadapi realiti dan menggarap kesedaran dengan kukuh, apatah lagi mangsa-mangsa yang telah lama didera yang mengakibatkan kesakitan mental yang parah.

Langsung karya-karya yang terhasil adalah pasca proses kesedaran. Para seniwati muncul pada tahap dimana para mangsa mulai berani membuka suara dan menceritakan pengalaman mereka. Mereka turut menyumbang keyakinan yang mereka perolehi melalui kekuatan medium seni dan menyatakan “Harapan bisa dicipta dan diperkukuhkan. Dan kami bersama WCC menyokong asas kesedaran mangsa. Kami menjadikan ia sebagai senjata dan kekuatan yang dipikul bersama. Agar kehidupan yang lebih indah bisa diteruskan.”

Karya Noor Mahnun yang diberi tajuk Squid

Melalui karya The Greatest Love of All oleh Bibi Chew dan juga Squid oleh Noor Mahnun Mohamed, mereka menekankan aspek pengulangan sebagai simbol kekuatan. Bibi mengukir muka wanita pada beberapa papan kayu dan teks yang ditulis sebagai harapan bapa mangsa kepada anaknya pada satu papan kayu. Manakala Noor Mahnun melukis corak-corak menggunakan pensel, disertai dengan gambaran sotong yang melambangkan pendera yang penakut, dayus dan menggunakan maskuliniti untuk memuaskan dirinya. Kedua-duanya menunjukkan suatu proses yang lama, secara organik dan tertumpu kepada usaha untuk melaksanakannya.

Karya The Greatest Love of All oleh Bibi Chew

Proses pengkaryaan mereka juga dapat dilihat sebagai suatu aktiviti pencabulan ke atas ideal seseorang (digambarkan melalui medium papan kayu dan kertas yang sempurna sewaktu dibeli), dan atas nama ideal itulah pendera berani melakukan apa sahaja; menggunakan pelbagai alasan untuk membenarkan perilakunya.

Karya Yang Melindungi oleh Engku Iman

Karya Yang Melindungi oleh Engku Iman dan juga Softer Sex oleh Annabelle Ng  pula menggunakan kain sebagai simbol. Karya Engku Iman menggunakan kain telekung sebagai kenyataan ironi dimana suami kepada mangsa, yang menderanya merupakan seorang imam dan juga mangsa memperkukuhkan ketabahan beliau melalui agama. Disebalik kain telekung tersebut, lakaran tekstual dan gambar anak-anak kecil merupakan harapan yang menjanakan kekuatan bagi mangsa untuk meneruskan kehidupan dan berupaya untuk mengatakan tidak lagi kepada keganasan.

Karya Annabelle Ng yang diberi tajuk Softer Sex

Annabelle Ng menggunakan langsir sebagai simbol kejahilan manusia mengenai keganasan rumah tangga. Kebanyakkan diantara kita merasakan kes seperti ini merupakan ‘hal peribadi’ dan tidak melihatnya sebagai sesuatu yang harus diperbetulkan dan mangsa harus diselamatkan. Beliau menginginkan kita semua agar mula memberanikan diri, dan langsir yang dihasilkannya adalah simbol kepada keheningan yang harus dihancurkan.

Kegelapan kehidupan sebagai saksi

Karya Minstruel Kuik yang diberi tajuk My Story, My Past

Karya-karya yang lain seperti My Story, My Past oleh Minstruel Kuik dan juga Big Mother oleh Tetriana Ahmed Fauzi pula menggunakan faktor-faktor kesedihan, paranoia dan ketakutan sebagai kenyataan yang harus dipaparkan. Minstruel melakar dua penggambaran yang berlainan, pertama adalah lukisan abstrak yang menyatakan kesedihan, harapan dan renungan manakala lukisan kedua pula menggambarkan raut wajah mangsa yang dipukul, dipenuhi lebam dan darah yang mengalir.

Karya Tetriana pula menggunakan photomanipulation, meletakkan mata sebagai simbol pengawasan yang diberi oleh ibu mertua mangsa. Pengawasan ‘mata’ yang diletakkan pada setiap gambar dapat dilihat sebagai dominasi yang membelenggu mangsa, memaksanya melaksanakan kerja rumah seakan hamba. Kehidupan selepas perkahwinan yang akhirnya menjadi teruk dan penuh dengan kesedihan, bercanggah dengan prospek berumah tangga yang seharusnya dilaksanakan oleh mereka.

Seni sebagai harapan dan terapi

Karya Chuah Shu Rei yang diberi tajuk Mother’s Garden

Karya-karya lain iaitu Bompren oleh Shika, Leaena of Lilith oleh Yoke Tan, The 7 Words oleh Typokaki dan juga Mother’s Garden oleh Chuah Shu Rei juga memaparkan karya yang penuh simbolik. Ianya juga turut memaparkan citra setiap pengalaman mangsa dan mereka membuka haluan kepada mereka untuk menemui jalan kreatif yang tersendiri agar kekuatan untuk melawan segala bentuk ketidakadilan bisa dijana dengan jayanya.

Setiap peristiwa yang mencabuli maruah individu di dunia ini harus diberi ruang secukupnya agar ianya bisa disebarkan sebagai amaran dan harapan agar kesedaran itu bisa kukuh di dalam setiap benak individu. Melalui pameran seni ini juga, pihak WCC menggunakan landasan asas kreativiti itu sendiri sebagai sarana untuk menjana kekuatan dan dari situ, cebisan-cebisan harapan boleh dikumpulkan semula dan membentuk suatu naratif yang lebih kukuh.

Naratif segar yang berteraskan harapan ini mampu dilihat sebagai cahaya untuk para mangsa keganasan seksual. WCC berjaya menggunakan kaedah lain untuk menyebarkan info mengenai penyalahgunaan kuasa. Walaupun secara realitinya kesinambungan sistem patriarki masih ada dan terus wujud, dimana dominasi sudah sinonim dengan kondisi untuk ‘mengawal’ pasangan mereka, usaha seperti ini adalah saksi kepada perlawanan wacana kepada sistem yang sedia ada. Dan para seniwati yang terlibat gigih menyatakan simbol yang dijana mereka sendiri agar ianya menyumbang kepada perlawanan wacana terhadap dominasi sebagai kaedah utama di dalam kehidupan kita.

About The Author
Profile photo of Anak Dagang
Anak Dagang
Anak Dagang seorang warga kota Kuala Lumpur yang ingin terus menulis. Anak Dagang is a senior contributor to The Daily Seni.
Comments

    Leave a Response