Reviews
Now Reading
Pameran Seni: ‘The Space Between’ – Paparan Hikmah Para Pengkarya
Next
Prev
95 0

Pameran Seni: ‘The Space Between’ – Paparan Hikmah Para Pengkarya

by Anak DagangMay 26, 2015

Karya seni itu jika tidak berteraskan konteks kehidupan para audien, hanya akan terapung di dalam ruang keindahan dan berawang-awangan di ruang yang sama. Perdebatan mengenai seni untuk seni ataupun seni untuk masyarakat itu masih dibincangkan. Persoalan sejauh mana seni itu turut memainkan peranan di dalam mengubah persepsi masyarakat – samada melalui pendekatan mengingatkan para audien ataupun secara tersirat menyatakan apa yang jelas tempang berlaku di dalam masyarakat kita.

Rasanya seperti apa yang saya inginkan, mengharapkan bahawa sedikit sebanyak karya seni itu mampu mengubati luka dan meleraikan rasa dilema di dalam diri saya. Tetapi terus terang saya nyatakan, ianya merupakan suatu objektif yang masih belum terlaksana. Dilema kewujudan itu barangkali tidak dapat dilaksanakan dan mungkin sahaja karya seni itu yang diwujudkan hanya mampu sekadar menyatakan sesuatu daripada sudut pandang karya.

Dan proses pengamatan setiap karya itulah yang diharapkan mampu mengubah sesuatu di dalam diri para audien, walaupun penghargaan sesuatu karya masih sesuatu yang sukar; lebih-lebih lagi di kalangan golongan majoriti penduduk Malaysia.

Dikurasikan oleh Anurendra Jegadeva dan Rahel Joseph, pameran seni “The Space Between” memaparkan karya-karya lapan belas artis tempatan dan bagaimana setiap diantara mereka berkembang melalui tindak balas mereka dengan keadaan sekeliling mereka termasuklah perubahan kondisi sosio-politik, budaya dan juga hubung kaitan dengan agama dan bangsa. Setiap di antara mereka mempersembahkan dua karya yang mempunyai hubung kaitan dengan konteks tempatan.

Liew Kung Yu melalui karyanya “Bandar Sri Tiang Kolam Cadangan Untuk Negaraku (proposals for My Country) Series” memaparkan salah satu ciri-ciri utama yang jelas terlihat pada rumah-rumah teres di negara kita. Samada ianya adalah sindrom, simbol ataupun hanya dilihat sekadar perhiasan semata-mata. Penggunaan kolum yunani yang hampir digunakan di rumah-tumah teres tempatan barangkali mencetuskan satu persoalan – kenapa tiang yunani banyak benar digunakan oleh orang Malaysia.

Adakah ianya melambangkan simbol kemakmuran? Dan jika benar kenapa? Kenapa kolum yunani itu tersebar luas – seakan dukungan struktur rumah hanya akan terlihat kukuh dan gah apabila ianya menggunakan kolum yunani sahaja? Penerimaan kolum yunani di dalam struktur bangunan tempatan masih belum diberikan justifikasi yang kukuh.

Mungkin ada sahaja daripada kita yang mulai memikirkan kepentingan kewujudan simbol kolum tersebut dan bagaimana secara tersirat melambangkan kondisi kerangka pemikiran kita terhadap penggunaan kolum yunani secara estetik. Adakah ianya dilihat sebagai peninggalan estetika kolonial yang diterima pakai oleh rakyat tempatan secara meluas?

Karya The Black Board Series ‘Malaysia Great Wall’ yang dihasilkan oleh Ahmad Shukri Mohamed menekankan aspek tekstur yang dihasilkan oleh perkataan rukun negara. Tekstur adalah elemen utama dan berjaya menarik para audien untuk turut merasakan penekanan dan perhatian yang diberikan oleh beliau sendiri.

Karya seakan papan tanda hitam sekolah yang besar itu turut disertakan kapur pelbagai warna untuk menulis, barangkali memberi jaminan bahawa kepelbagaian dan peluang kepada para warganya untuk turut menjadi aktif, memberi nilai dan nafas baru yang segar kepada nilai yang ada pada rukun negara yang telah ditetapkan beberapa dekad yang lalu.

Yee I-Lann pula menerusi dua karyanya: “Tabled” merupakan cetakan sosok-sosok manusia di atas susunan pinggan dan “The Writer’s Series” adalah paparan penulis negara yang menyumbang sedikit sebanyak kepada wacana mengenai politik dan budaya negara.

Karyanya untuk kali ini dilihat sebagai penghormatan kepada para penghuni negara, kepada mereka yang secara tidak sedar turut membentuk identiti dan citra kepada Malaysia dan juga kepada para penulis yang menurut beliau bertungkus lumus aktif memberi nilai dan perspektif yang baru kepada negara. Kedua-dua karya menekankan kepentingan individu dan sumbangan mereka menurut pandangan pengkarya sendiri.

Pameran seni ini merupakan suatu usaha kurator untuk menyatakan usaha para pengkarya dan bagaimana setiap diantara mereka mengendalikan kondisi yang mengongkong ataupun membentuk naratif kehidupan mereka. Dan sepertimana juga artis-artis yang lain, selain pengelolaan keindahan itu sendiri; yang turut dihasilkan sekali adalah nilai-nilai ataupun hikmah yang ingin disampaikan oleh mereka. Seni adalah salah satu landasan untuk menyatakan kebenaran yang sedikit sebanyak melalui apa yang dingertikan oleh para pengkarya – melalui bentuk estetik.

*Tulisan ini diniatkan sebagai reviu kepada pameran seni “The Space Between” di Weiling Contemporary.

*Pameran seni “The Space Between” masih berlangsung di Weiling Contemporary sehingga bulan June 2015.

About The Author
Profile photo of Anak Dagang
Anak Dagang
Anak Dagang seorang warga kota Kuala Lumpur yang ingin terus menulis. Anak Dagang is a senior contributor to The Daily Seni.
Comments

    Leave a Response