Perempuan dalam Imej dan Kata
Di KL Literature Festival yang dianjurkan di APW Bangsar pada 11-13 November tahun lalu, terdapat satu pameran kecil yang memaparkan buku-buku sastera di sepanjang sejarah penerbitan Malaysia. Apa yang menarik perhatian ialah paparan wanita pada ilustrasi kulit depan buku. 50% peratus daripada keseluruhan buku-buku pameran itu dihiasi dengan perempuan sebagai imej yang bermacam warna dan gaya. Namun begitu ia tidak mewakili peratusan penulis wanita pada ketika itu yang cuma sedikit sahaja.
Menjalankan kajian pengamatan tentang paparan citra wanita dalam kesenian adalah satu tugas yang maha luas. Apa yang boleh dilakukan ialah memberi tumpuan pada satu sisi yang unik dan punya kesan yang kuat dalam masyarakat massa. Objek yang sudah sedia tersebar dalam skala besar.
Buku novel.
“Have you any notion how many books are written about women in the course of a year? Have any relation how many are written by men? Are you aware that you are perhaps the most discussed animal in the universe?” Virgina Woolf, 1957 A Room of One’s Own.
Dalam sastera Melayu watak wanita sering menjadi subjek utama dalam penceritaan. Daripada Hikayat Faridah Hanom, Iakah Salmah, Salina, Saga, Tugu, Badai Semalam, Ranjau Sepanjang Jalan dan lain-lain. Awal mulanya kebanyakan daripada cerita-cerita ini ditulis oleh lelaki. Citra wanita dalam penceritaannya adalah sepenuhnya daripada perspektif lelaki. Ada terdapat juga penulis-penulis wanita yang sama bergelut dalam pentas penulisan ini namun kebanyakan daripada mereka tidak terus-menerus dalam pentas penulisan. Hanya sebahagian yang kekal.
Ada kekurangan dalam penulisan lelaki berkenaan wanita. Jeritan batin seorang wanita tidak nyaring; kompleksiti jiwa mereka yang tak dapat dicoretkan. Di sini ada jurang antara gambaran wanita melalui jantina penulis. Selalu yang terpapar adalah stereotaip seorang lelaki terhadap wanita – tugasnya dan emosinya. Pun begitu terdapat kepelbagaian dalam perwatakan wanita dalam setiap tulisan-tulisan ini.
Ilustrasi gambar muka depan Hari Mana Bulan Mana karya Salmi Manja yang dicetak pada tahun 1960 menampilkan wajah wanita yang mengiring melihat jauh ke sudut. Menatapnya dapat dirasakan satu kesugulan yang ternyata berat; seperti ada bermacam perkara yang yang menggangu pemikirannya. Jika diteliti novel ini kita akhirnya sedikit sebanyak sedar akan bebanan wanita ini. Citra wanita tulisan Salmi Manja telus; seolah kita dapat melihat dengan terus dan langsung bagaimana seorang wanita dalam era itu menghadapi segala kepayahan dengan jiwa yang besar nan tak terkalah.
Di sini wanita itu adalah wanita. Peranan kulit buku ini membenarkan isinya.
Seperti kita sedia maklum antara objek yang punya kekuatan dan capaian meluas di kalangan masyarakat Malaysia ialah objek bercetak. Dengan lambakan novel-novel romatik yang memenuhi pasaran, kita dapat lihat satu pola yang sangat jelas dimana perempuan dijadikan subjek utama samada dalam penjualan atau penceritaan.
Ianya bukan sesuatu perkara yang memeranjatkan kerana perempuan sememangnya sudah dijadikan objek yang kuat imejnya – negaif dan positif bergantung pada pemapar- untuk dipaparkan dalam medium seni popular. Jika lihat dimana-mana daripada muka majalah ke papan iklan semuanya mesti punya perempuan sebagai subjek. Namun yang membezakan antara satu dengan yang lain ialah akan bagaimana ia dipaparkan.
Yang mahu diamati disini dalam konteks Malaysia ialah sejauh mana pemaparan perempuan dalam muka hadapan buku berubah dengan masa dan adakah ia sebenarnya merefleksi keadaan semasa, isi kandungan buku atau sekadar alat penjualan penerbit.
Tidak semua kulit buku yang menjadikan wanita sebagai penghias menjalankan tugas ini dengan sebenarnya. Ada yang cuma mahu menjadi sebagai pelaris kepada buku yang sesetengahnya tiada langsung peranan wanita yang jelas dalam perjalanan cerita.
Namun begitu di era awal penerbitan tanah Melayu kita dapat melihat pelbagai representasi imej wanita pada muka depan kulit buku. Daripada yang merokok, kepada yang berselendang kepada yang silhouette bentuk tubuh. Pendek kata ada pelbagai spektrum imej yang menghias kulit buku.
Namun begitu penglibatan penulis perempuan masih kurang walaupun dengan lambakan imej ini.
Dekad 90an sampai sekarang novel popular ternyata diterbitkan dengan jumlah yang banyak. Industri yang bernilai jutaan ringgit ini dimonopoli oleh penulis wanita namun penulisannya tidak merefleksi kepada kebulatan citra wanita. Kebanyakan jalan penceritaannya sama dan selalunya watak wanita yang diketengahkan adalah wanita yang kalah dan mengharapkan perubahan pada watak lelaki untuk nasib hidup dirinya berubah.
Yang menariknya kebanyakan buku popular ini tiada langsung punya imej wanita sebagai penghias buku dan kalau adapun imejnya adalah imej sopan. Tiada variasi kepelbagaian. Lantas ini menimbulkan satu lagi persoalan.
Pernah ada isu dimana persoalan dilontarkan adakah perempuan malaysia mampu menulis bahan sastera usai penobatan Sasterwan Negara Zurinah Hassan. Isunya bukan kemampuan, tapi peluang untuk menulis. Lebih tepat lagi ruang untuk menulis. Kerana untuk menulis sesuatu yang benar-benar punya nilai ruang diperlukan. Ruang material dan psikologikal. Kita mempunya banyak penulis wanita yang hebat namun yang kekal tidak ramai.
Di sini persoalan lain yang perlu diutarakan, kenapa mereka berhenti menulis? Adakah ruang yang mereka miliki sebelum ini sedikit demi sedikit ditutp dan memaksa mereka berhenti untuk menulis?
Tugas wanita semakin berat di era ini kerana mereka perlu melakukan semua perkara. Kalau yang berkeluarga merekalah yang perlu menguruskan hal rumah tangga dan mereka juga harus keluar bekerja membantu si suami mencari nafkah. Beban yang diletakkan oleh masyarakat pada wanita menjadi salah satu faktor – yang tidak ternampak – yang menyempitkan peluang dan ruang mereka untuk mengerahkan segala kudrat dan fikiran untuk menulis berbeza berbanding dengan situasi di pihak lelaki yang punya kebebasan sedikit sebanyak ruang itu.
Semua ini tidak berlaku secara terasing kerana akhirnya apa yang berlaku dalam masyarakat secara umumnya akan menjalar dan meresap kepada ruang-ruang seni ini. Di sini kita perlu satu penilaian yang lebih menyeluruh untuk menyiasat punca norma-norma negatif terhadap wanita dalam masyarakat secara lebih tuntas agar peluang untuk wanita bergiat dalam seni dan penulisan secara khususnya dapat dipertingkatkan.
Leave a Response