Pitahati Mempersembahkan Piring Hitam Terbaru Buat Para Pendengar Hati
Kumpulan Pitahati sudah sekian lama tak ke tengah – bertapa di dalam gua lah tu, barangkali, ataupun mengatur langkah seterusnya di markas utama setelah sibuk menjelajah seluruh Malaysia.
Kemusykilan nyata bukan paranoia, kerana geng lima berambut gondrong dan berjiwa besar itu kini kembali dengan cakera piring hitam album kedua, siap dengan jelajah lagi satu bagi menemui kalian perindu.
Album kedua Pitahati, berjudul Selamat Datang Ke Panggung Suara, dirancang untuk tiba selepas tempoh Hari Raya, boleh jadi sekitar akhir bulan Ogos sempena hari kemerdekaan tahun ini.
Kuintet yang diterajui Ilham (vokal/gitar/papan kunci), adiknya Yasin (drums/perkusi/vokal), Masrin (bass/vokal), Hidayat (gitar) dan Zahar (gitar/vokal) ini benar tidak sabar untuk berkongsi bahan mereka yang tersegar dari studio ini.
Sekarang yang ingin dikongsi terlebih dahulu adalah muzik itu sendiri, di mana Pitahati membuka pra-pesan piring hitam ataupun rakaman vinyl mereka kepada khalayak. Setelah mendengar, rakaman penuh kedua ini merupakan kenyataan sebenar-benarnya jiwa setiap anggota melalui instrumen masing-masing.
Antara judul lagu yang setakat ini membuatkan kita tertunggu-tunggu juga termasuklah “Dari Minda Saorang Sutradara”, “Kemudi”, “Hafiz Sufian”, “Nak?”, “Mandolin Ah Lek”, “Seloka Pak Toyu”, “Balada Aku Engkau”, “Nostalgia Psikotropika” dan “Eternitas”.
Tema akustik atau “lagu kapok layan tepi tembok” dari filem Terbaik Dari Langit yang menjadi siulan merata-rata sepanjang tempoh 12 bulan yang lepas, “Sahabat”, juga antara senarai nukilan baru yang bakal diterima segar oleh para Pendengar Hati, yakni nama samaran buat peminat-peminat kumpulan Pitahati.
“Nova” – sebuah instrumental yang berkongsi tajuknya dengan nama pasaran antarabangsa filem TDL – menjadi salah satu interlud di sini. Selamat Datang Ke Panggung Suara yang kebanyakan isinya merupakan karya instrumental dan “kolaj” ‘senikata dan detik-detik muzikal’ sama ada akan kurang difahami oleh penggemar lagu “Sahabat” mahupun bakal diterima sebagai kenyataan diri Pitahati sebenar sebagai sebuah entiti muzik. Tiada di antara, dan ini membuktikan pendirian artistik kugiran muda ini.
Kata orang depan dan penulis lirik utama kumpulan, Ilham, beliau merasakan album yang dirakam secara langsung ataupun live ini lebih dinamik, iaitu dari segi susunan lagu, kelembutan dan intensiti, serta “warna” bunyi yang dibawa.
(Bagi yang masih kurang faham, bermakna kesemua anggota bermain pada masa yang sama dan persembahan itulah yang dirakam dan diadun, bukannya bergilir-gilir ataupun satu persatu memasuki studio dan merakam trek masing-masing.)
“Aku rasa (kami) juga bereksperimen dengan menggabungkan elemen klasikal Melayu dengan klasikal Eropah,” fikir Ilham. “Banyak (bahan) juga diinspirasikan dari filem Terbaik Dari Langit.”
“Penulisan senikata pula banyak terinspirasi dari babak-babak filem itu, dan juga (tulisan) penyajak Hafiz, dan juga kehidupan bohemian zaman 50an,” sambungnya lagi.
Tahun 2015 seolah-olah akan menyaksikan satu tempoh pengembalian sejati muzik rock tanahair, dengan Pitahati antara daya yang kuat di tengah-tengah pengembalian ini, di samping kumpulan lain yang juga bakal mengeluarkan karya mereka. Apapun, kita amati dan raikan sahaja nanti.
* Pra-pesan piring hitam Pitahati, album kedua Selamat Datang Ke Panggung Suara di .
Kudos for the write up! Well written. I actually shot the cover photo (The band members sitting on the beach) of this particular article that you wrote. I was wondering if I could humbly request that you can give credit to me for that photo anyway you can. I would very much appreciate that. You can contact me or the band members for validation. My phone number is 0174740089. Thank you very much