Editorial
Now Reading
Pohon Tradisi
125 0

Pohon Tradisi

by The Daily SeniOctober 23, 2014

Dalam wayang kulit kita, selalunya, sebelum tok dalang memulakan dan mengakhirkan pementasan, suatu figura berbentuk seperti daun sirih, cukup berkerawang dan memintal ke satu paksi memusat pada pucuk tertinggi. Figura itu dipanggil pohon budi.

Sekarang, memang, pohon budi itu mempunyai dasar pengaruh nenek-moyang kita yang muncul sebelum Islam, kemungkinan Hindu-Buddha (hal ini dapat dikaitkan dengan pohon bodhi tempat Siddhartha mencapai pencerahan), kemungkinan jalinan dewa-kayangan yang jarang-jarang kita kenal lagi, malah mungkin lebih jauh daripada itu. Dan, tidak perlulah pula diperkatakan tentang maksud yang mendalam, tentang bagaimana pohon budi itu harus simetri (seperti mana ying dan yang dalam alunan yang terikat) yang berkaitan dengan malam dan siang, baik dan jahat, dosa dan pahala, tetapi persoalan yang lebih menarik untuk diteliti, adalah bagaimana, unsur lama dan abadi ini telah diterima masuk oleh cendekiawan dan autoriti Islam zaman itu sebagai sesuatu yang boleh disampaikan kepada khalayak (walaupun jika kita mempelajari sejarah, kita menyedari rakyat, yang mungkin memasuki Islam secara sepenuhnya setelah rajanya masuk Islam, masih belum benar-benar menampilkan makna dirinya yang sepenuhnya Islam, bukan seperti sekarang. Isu bela anjing dalam istana kesultanan Melayu Melaka itu adalah suatu contoh). Kenapa sarjana Islam ini tidak sahaja menghentikan “khurafat” bekas nenek-moyang ini, jikalah ia membawa kekeliruan dalam khalayak awam nanti terhadap Islam. Hal ini adalah kerana, kekeliruan itu tidak perlu apabila dalam tradisinya pun memberi kesatuan maksud yang merangkumi budaya tradisinya.

Istilah seperti “sembahyang”, “pahala”, dan “neraka” merupakan antara perkataan Sanskrit asal (bahasa Melayu kuno kita ada berkenaan penulisan Pali dan Pallava) yang telah diasimilasikan ke dalam bahasa Melayu (jawi). Asimilasi ini turut terjadi dalam beberapa bentuk budaya dan kesenian, seperti dahulunya wajah naga atau rajawali atau singa naga pada pangkal perahu berubah motif kerawang bunga yang berbentuk seakan-akan naga atau rajawali atau singa naga. Begitu jugalah dengan mantera yang digunakan dalam ubat-ubatan dan doa, dan tentulah paparan pohon budi dalam wayang kulit.

Kenapakah pohon budi ini masih diangkat dan dipertahankan? Ini adalah kerana, pohon budi ini juga melambangkan maksud “ilmu”. Dalam Islam, ilmu adalah yang utamanya, dibekalkan untuk dicedok oleh para khalayak daripada kolah atau mata air yang melimpahkan, yakni di sini, institusi (zaman itu, pondok atau pesantren), tuan guru agama, atau wali Allah (Habib Noh, misalnya). Ilmu adalah segala-galanya dalam Islam. Ilmu yang benar adalah hal yang lebih diberi keutamaan. Syeikh Hamza Yusof menyatakan, kepentingan ilmu ini mencakupi maksud besar kerana Imam Al-Ghazali pun, mujtahid ilmu Islam zaman itu yang masih relevan sekarang pun membuka kitab Ihya Ulumuddin, kitab yang melakukan kesimpulan baharu terhadap sumber asal Islam dengan bab “ilmu”. Hamza Yusof berkata, tradisi keilmuan kita selalunya ialah mengingati (at-Tazakkur) semula. Kita tidak boleh mengingati sesuatu yang kita tidak tahu. Maka, hakikat perjalanan keilmuan kita yang sebenarnya ialah untuk mengenal Tuhan. Dengan mengenal, ingatan akan berlaku. Begitulah maksud sebenar yang ilmu yang akhirnya berkait dengan pohon budi tadi, mengingat awal dan akhir, pembukaan dan penutup pentas, hanya Tuhan sahaja yang kekal dan dapat membukanya (mencipta alam) dan menutupnya (memusnahkan alam).

Sudah memahami (atau mengingati) hal ini, eloklah kita meneliti pula tradisi ilmu kita. Seperti yang jelas diperkatakan, ilmu kita sudah kita bayangkan sebagai pohon, dan pohon ini, satu-satunya mempunyai lafaz Tauhid yang jelas dan sudah berakar. Jika kita teliti pun, dalam perbincangan dan perdebatan ilmu yang berlaku dalam dunia Islam, secara rumusan, asasnya tidak akan diubah, hanya kemusykilan-kemusykilan yang berlaku, selalunya isu-isu berhadapan zaman yang dipersoalkan. Ini mewajarkan pohon ilmu itu masih tertanam terus di dalam tanah, yang berpucuk dan tumbuh daripada batang yang satu dengan akarnya kukuh mengikat tanah ialah ilmu-ilmu lain ini yang tertunas daripada pokok yang satu ini.

Oleh sebab itu, dalam meneliti sastera tradisional kita, tidak terlarinya daripada satu ikatan kukuh itu (walaupun terdapat bahan teks yang diasimilasikan daripada teks lama, seperti Caya Langkara, bunga za’faran yang dicari dalam hikayat itu sememangnya bunga teratai yang berkait dengan fahaman Hindu-Buddha awal), yang muncul dalam pelbagai kebijaksanaan dan penyampaian, daripada teks ilmu, hikayat, pensejarahan, kepada hal-hal lisan bagi orang awam.

Semua ini berubah dengan ilmu kemodenan Barat.

Saya tidak menyatakan ia salah untuk meneliti dan menganuti ilmu Barat, tetapi eloklah difahami dahulu dan bagaimana tradisinya.

Ilmu Barat, selalunya berbentuk pohon-pohon yang tersendiri. Mungkin kadangkala berlaku potongan tunas lalu dibawa ke tanah baharu, mungkin pemotongan batangnya lalu ditumbuhkan ke tanah baharu. Tetapi selalunya, pohon-pohon ini berdiri sendiri. Dalam tradisi Barat, suatu teori gagasan yang dicipta akan mendapat bantahan, dalam bantahan inilah akan menimbulkan gagasan baharu yang secara mahunya, langsung lari daripada bayangan gagasan lama. Romantisme lain, kemudian strukturalisme, kemudian, pascastrukturalisme, kemudian kita menemui surrrealisme, impressionisme, ekspresionisme, sosialisme, pascamodenisme, dan pelbagai. Dalam itu juga, kita jumpai feminisme (yang menolak patriarki), kemudian bidang-bidang tertentu (seperti di Barat, terdapat keilmuan Madonna mengikut “pegangan” selebriti itu), termasuklah kritikan gay dan lesbian. Hakikatnya, ilmu-ilmu menarik ini, semuanya terdiri atas pohonnya tersendiri, menyerupai tradisi dan hakikat nilai Barat humanisme yang mewajarkan keunggulan individualisme. Setiapnya mempunyai dasar dan asas pengalamannya yang tersendiri, begitu juga dengan pembaharuan-pembaharuan yang dijalankan dalam sastera untuk mewajarkan gagasan-gagasan ini.

Jadi, dalam tangan kitalah, wajar atau tidak, kita mengambil pisau, lalu memotong sedikit ranting pangkal sebuah pokok lalu mencantum-cantumkan pokok lain untuk membina “gagasan” kita yang tersendiri (contohnya, seperti yang Kassim Ahmad lakukan dengan Sosialisme Islamnya). Hanya sekarang, kita perlu menyedari sesuatu: Adakah kita masih ingat tentang tradisi pohon kita?

Ditulis oleh Fadli Al-Akiti

About The Author
Profile photo of The Daily Seni
The Daily Seni
The Daily Seni delivers news on local arts and culture, aiming to provide insight into Malaysia's ever-growing creative community as well as provoke thought and discussion.
Comments

    Leave a Response