Other
Now Reading
Seni, Etika dan Perbandingan Sistem Pemikiran di Galeri Lorong Kekabu
Next
Prev
182 0

Seni, Etika dan Perbandingan Sistem Pemikiran di Galeri Lorong Kekabu

by Anak DagangSeptember 27, 2015

PAMERAN seni pastinya mempunyai objektiviti yang tersendiri. Idea di sebaliknya bergantung kepada tujuan objektif kurator. Di sinilah galeri Lorong Kekabu muncul, dengan masa yang tepat (mengikut kenyataan pameran) dan wujud untuk menyatakan mesej yang nampaknya serius dan tidak remeh.

Lorong Kekabu, galeri baru yang memberi citra pendekatan seni yang menekankan persoalan identiti di Malaysia

Lorong Kekabu adalah galeri yang baru dibuka. Terletak di kawasan Damansara Heights, rumah berwarna putih yang dilindungi pokok-pokok tinggi memberikan suasana tenang. Berbeza dengan ruang galeri yang konvensional, tempat ini juga menyediakan kafe kepada para pengunjung. Galeri Lorong Kekabu diselenggarakan oleh kolektif (rantaian sekumpulan teman-teman seniman/seniwati) iaitu 12.1 Gallery, Malaysian Artist Intention Experiment (MAIX), Kecil by Kedai, dan para seniman visual, Anwar Suhaimi dan Izat Arif.

Pameran pertama yang diberi nama Otak Jepun ini merupakan pameran yang dilangsungkan khas untuk MAIX (Malaysian Artist Intention Experiment Group) sebagai didikan mengenai ‘pemerhatian-makro’ dan sistem minda.

Kaji selidik mengenai peranan keadaan sekitaran dan identiti budaya yang mampu menyatakan corak adalah berguna bagi anak muda Malaysia untuk memajukan kesedaran akan identiti.

The investigation on the role of environment and cultural identity enable to propagate pattern can be very useful for our young Malaysians to develop the sense of identity.

Jadi pameran ini yang disokong oleh Japan Foundation merupakan sajian kepada satu pendekatan pemikiran. Haluan yang ditempa anak Malaysia untuk turut bertukar pendapat ataupun etika kehidupan dari dua budaya yang berbeza.

Karya Yutaka Inagawa memaparkan kolaj yang merupakan cantuman visual yang ditangkapnya sendiri. Secara tidak langsung hasil kolaj menyajikan dunia imaginasinya yang tersendiri, memberi tanggapan baru terhadap objek-objek harian.

Dari situ juga, sesuai dengan paparan sistem minda itu sendiri para pengamat seni dapat melihat dan membuat perbandingan akan pemikiran seniman yang rumit. Pada masa yang sama juga ia adalah refleksi kepada etika dan identiti rakyat Jepun sendiri.

Oleh itu, secara amnya produk yang terhasil pastinya memaparkan suatu pembezaan yang ketara. Siapa sahaja yang dapat menolak kredibiliti negara Jepun sebagai negara yang berjaya menghasilkan naratif tamadunnya yang asli?

Karya-karya yang dihasilkan oleh seniman Yutaka Inagawa dari Onomichi adalah saksi dan pintu gerbang kepada gaya pemikiran anak kelahiran Jepun. MAIX melihat peluang ini sebagai sesuatu yang berharga kepada mereka.

Beliau dilihat sebagai suatu aset yang berharga bagi anak-anak muda di negara kita untuk terus menyelami, mempelajari dan juga mengadaptasi faktor-faktor positif yang dapat diambil.

Sifat rendah hati orang Jepun secara tidak sedar membina kepercayaan kita terhadap kredibiliti mereka. Diteruskan lagi, produk yang dihasilkan oleh mereka tidak terbina sebagai kenyataan status sosial, tetapi sebagai pendekatan didikan untuk memuaskan keperluan alamiah manusia.

Its humbleness builds one’s trust unconsciously. Furthermore, the products never inspired social status mode but has a very educative approach to satisfy human needs.

Jadi MAIX melaluinya kenyataan pameran mempersoalkan dua isu: wujudkah jurang sistem pemikiran yang besar di antara kita dan mereka? Dan bagaimanakah etika bangsa Jepun mampu memberi makna jelas terhadap identiti mereka?

Dari situ juga turut timbulnya persoalan-persoalan yang lain pula. Adakah kajian metodologi pemikiran itu mampu memberi impak besar tanpa mengambil kira keadaan ekonomi yang menjadi tunjang utama sistem pemikiran yang terhasil?

Juga darihal corak pemikiran, bagaimana ianya bermula? Adakah bermula dari titik subjektiviti individu dan bermula menyelami pemikiran seniman sekadar objek – hanya menyelami aspek teknikal dan kehalusan pekerjaannya sahaja? Atau harus mengambil kira etika dan juga semangat rakyat Jepun itu sendiri, dengan harapannya ia mampu menjana inspirasi positif kepada saya?


Akhir kata dari kami, inisiatif perbandingan budaya melalui medium seni ini merupakan sesuatu yang harus diangkat dan dikembangkan secara meluas. Dengan harapan agar persoalan-persoalan mengenai pendekatan sistem minda yang disajikan ini tidak berhenti begitu sahaja. Sebaliknya ia terus menerus mencetuskan persoalan-persoalan yang lain, seperti mana tujuan murni seni itu sendiri. Mengerakkan sesuatu di dalam hati, dan menukar haluan kehidupan secara signifikan.

Galeri/Kafe Lorong Kekabu terletak di 2 Lorong Kekabu, Damansara Heights, 50490 Kuala Lumpur.

About The Author
Profile photo of Anak Dagang
Anak Dagang
Anak Dagang seorang warga kota Kuala Lumpur yang ingin terus menulis. Anak Dagang is a senior contributor to The Daily Seni.
Comments

    Leave a Response