Seni Fokus: Pegangan Seni Khalid Salleh
Berkesempatan dapat bekerja dengan susuk tubuh ini, merupakan anugerah atau peluang atau jalan atau rezeki yang tak mungkin tertolakkan. Pendekatan teater yang ada padanya tidak diajarkan di mana-mana akademi / universiti kecuali Universiti Malaysia Sabah (kiranya bertuah-lah pelajar Universiti Malaysia Sabah yang pernah diberi ajar oleh beliau). Malah, mendengar namanya sahaja seakan menggigil kepala lutut apalagi mahu berhadapan dan bekerja dengannya. Wajahnya serius, se-serius tulisan pojoknya di Berita Harian.
“Hidup ini memang permainan … tapi jangan main-main,” ujarnya serius seraya tersenyum sambil menghembuskan kepulan nikmat Dji Sam Soe. Itu-lah ungkapan yang diberikan setelah beberapa hari bekerja dengannya.
Diperkenalkan oleh Azman Hassan, dapat bekerja dengannya walaupun sebagai krew untuk produksi Kena Main baru-baru ini di Istana Budaya adalah aturan takdir yang cantik. Sebelumnya, saya berkira-kira untuk membikin filem pendek berjudul Khalid & Stanilavski, kisah berkisar pelakon yang menggunakan kaedah Stanilavski (kononnya) dan pendekatan Khalid Salleh yang lebih berpijak pada bumi yang nyata. Namun, filem pendek ini tidak dapat diteruskan atas faktor kewangan yang tidak cukup dan lakon layar yang tidak masak.
Khalid Salleh, atau lebih mesra disapa sebagai Wak.
Setelah mendengar ceritanya berkenaan pementasan monolog Jual Ubat jelajah Indonesia, saya tertarik dengan kisah di mana di salah satu bandar yang dijelajahinya, pentas teater hanya bersebelahan dengan masjid. Sebaik saja selesai menunaikan solat Isyak, para jemaah berserta Imam masuk pula ke panggung untuk menonton persembahan teater. Nah, fenomena demikian memang tidak berlaku di Malaysia!
“Seni dan agama itu saling berkait rapat, saling bergembelingan. Indonesia menempuhi sejarah seni yang panjang – sejak sebelum zaman Wali Songo, iaitu pada zaman Deponegoro dan kerajaan Mataram. Mereka sudah dididik bahawa kesenian itu mesti diasosiasikan dengan agama. Kenapa? Kerana seni itu rahsia Tuhan. Kesenian merupakan wadah yang digunakan sebagai kaedah pencarian di sebalik keciptaan manusia dan alam semesta,” katanya apabila diminta pendapat mengenai fenomena yang wujud di Indonesia iaitu panggung di sebelah masjid.
“Tidak tahu di mana silapnya, kenapa kesenian di sini dipandang serong oleh autoriti agama (Islam). Suatu ketika dahulu, ia tidak seperti hari ini. Ustaz-ustaz terdahulu tidak bertumpu pada soal hukum-hakam halal-haram semata. Malah para ulamak terdahulu bertanggungjawab mencipta kesenian dan budaya yang bersesuaian dengan iklim Nusantara. Tetapi sayangnya ulamak sekarang tidak mengerti apakah sebenarnya yang dikatakan seni,” jelasnya lagi.
“Sebagai contoh, azan itu juga seni – alunan yang berlagu. Rukun sembahyang yang ada tiga belas itu juga seni. Seni yang mengajar disiplin. Apakah maksud sebenar semiotik mengangkat takbir, ruku’ dan sujud? Adakah perihal ini diajarkan oleh ustaz sekarang? Ustaz hari ini tiada kefahaman atau kesedaran seni mengenai solat. Mereka tidak tahu bahawa seni itu mengajar kepekaan yang halus terhadap persekitaran, rasa tanggungjawab terhadap kehidupan – keluhuran budi.”
Sambungnya lagi, “Perkataan agama berasal dari bahasa Sanskrit – agam, membawa maksud pegangan. Agama itu ibaratnya seperti palang besi tempat kita bergantung. Jika tidak mengenali palang besi itu – ya, besinya jenis besi apa, berapa kepaduannya, selamat atau tidak untuk kita bergayut atau duduk di atasnya – bagaimana kita hendak berpegang? Hanya dengan kesedaran yang halus, yang seni sahaja kita boleh yakin selamat akan suatu pegangan atau agama.”
“Setiap individu berhak dan memiliki pegangannya masing-masing. Pegangan individu A tidak sama dengan pegangan individu B. Hukum-hakam, halal-haram juga terlaksana ke atas individu. Jika individu A makan empat pinggan nasi dan akibatnya dia sesak nafas, maka layaklah dirinya menjatuhkan hukuman haram ke atas dirinya makan nasi sebanyak empat pinggan. Tetapi individu B tidak ada masalah menghabiskan nasi sebanyak empat pinggan, maka halal-lah ke atas dirinya.”
“Halal-haram itu bukanlah taboo tetapi maksudnya baik atau tidak untuk diamalkan oleh individu itu. Tetapi apabila sesuatu masalah itu melibatkan kelompok atau komuniti, maka sesebuah hukum akan digubal bagi mengatasi masalah tersebut. Hukum bukan-lah digunakan untuk menghukum orang lain. Ini yang dimaksudkan dalam baris ayat terakhir surah Kafiruun – lakum diinukum, waliyadiin – peganganku adalah peganganku, peganganmu adalah peganganmu. Diri sendiri yang tentukan sama ada kafir atau tidak.”
Berkenaan al Quran, Wak menjawab, “Iqra’ itu maksudnya baca. Quran itu pula maksudnya bacaan. Bukan hanya sekadar membaca ayat-ayat yang terkandung di dalam kitab itu – ini yang disalahmengertikan oleh kebanyakan ustaz. Alam semesta ini juga Quran. Sebagai contoh, di dalam kitab itu tertulis ‘… perhatikan-lah kamu akan burung-burung yang berterbangan …’ maka apa yang kita buat dari bacaan tersebut? Adakah kita melihat kosong sahaja burung-burung yang berterbangan? Kenapa tidak kita perhatikan bagaimana burung itu secara saintifik lalu terciptanya kapal terbang yang memberi manfaat kepada kehidupan manusia itu sendiri.”
Nama Khalid Salleh itu sendiri seperti sinonim dengan Nusantara. Apabila ditanya berkenaan kesenian kita di sini sibuk mengagungkan falsafah barat, maka Wak menjawab, “Ptolemy pernah memetakan semenanjung Tanah Melayu ini sebagai Semenanjung Emas. Kenapa Ptolemy menggelarkan semenanjung ini sebagai ‘emas’? Apakah di sini terdapat logam emas yang tertanam di perut buminya? Logam emas itu pula adalah logam yang melambangkan kemewahan dan kekayaan. Ini memberi erti bahawa seluruh Nusantara ini atau Kepulauan Melayu atau Malay Archipelago mempunyai rahsia besar.
“Warga Nusantara kaya dengan ‘rasa’ kerana mereka akrab dengan alam. Jika tidak didedahkan akan kesedaran ke-nusantara-an, maka kesenian kita (teater terutamanya) hanya acuan dari buku-buku berorientasikan barat. Lucunya di sini, pelakon kita berbicara mengenai Stanilavski seolah-olah pernah duduk minum kopi bersama. Begitu juga perihalnya ustaz-ustaz yang sibuk hendak meng-Arab-kan Melayu, sedangkan mereka tidak sedar bahawa Tanah Arab dan Kepulauan Melayu sangat jauh bezanya!”
Kesenian dan agama di Malaysia, terdapatkah jalan penyelesaian?
“Tiada jalan penyelesaian melainkan dibunuh saja autoriti agama yang angkuh!”
Leave a Response