SENI FOKUS: Sentuhan Taj (Baca: ‘Touch’) Mahal Mazlan Noor Along
SEORANG ‘Mat Saleh’ yang bekerja sebagai pereka dan gemar melancong ke serata dunia telah pergi ke Pulau Tioman, setelah membaca mengenai pulau ini di majalah Going Places, terbitan Malaysian Airlines.
Di Tioman, dia berkenalan pula dengan seorang lelaki tempatan yang berasal dari Kuala Lumpur, juga seorang pereka yang sedang menjalani kursus. Mereka berbual mesra berkenaan topik kesenian, kewujudan alam dan ketuhanan. Pada sangkaan lelaki tempatan, ‘Mat Saleh’ ini tentunya seorang Katolik yang ‘alim kerana dia lebih gemar bercerita perihal kewujudan alam dan ketuhanan.
Oleh kerana ‘Mat Saleh’ ini hampir setiap pelusuk dunia dijelajahinya, lelaki tempatan sempat bertanya, di manakah tempat paling menarik di dunia ini yang pernah dilawatinya. Maka jawab ‘Mat Saleh’, “Taj Mahal”.
Kenapa Taj Mahal? “Kau mesti sentuh dindingnya… dengarkan angin yang mendatang… lihat pergerakannya…,” kata ‘Mat Saleh’ seakan berpuisi.
* * *
Taj Mahal yang mahal
SEJAK kemangkatan Mumtaz Mahal, Maharaja Moghul Shah Jahan berusaha mencari di segenap jajahan takluknya seorang pelukis yang mampu merealisasikan cita-citanya yakni sebuah makam atau tugu yang akan dikenang orang dari generasi ke generasi sebagai sebuah tugu cinta yang mahsyur, ulung, eksklusif dan takkan ada tugu sebegitu lagi untuk keduanya.
Maka Shah Jahan pun jatuh berkenan dengan seorang pelukis yang berasal dari Parsi bernama Ustaz Ahmad Lauhari. Menerima tugasan dari seorang Maharaja tentunya membuatkan Ahmad Lauhari gundah-gulana, tidak nyenyak tidur dan tidak berselera untuk sebarang santapan. Hari-harinya dihabiskan dengan berfikir akan tugasannya.
Dia sedar, ini bukan-lah satu tugasan yang boleh dianggap remeh seperti kebanyakan arkitek di Malaysia yang merekabentuk bangunan-bangunan projek kerajaan. Dia mesti sangat teliti dan berhati-hati memilih tukang kerana tidak mahu terjadi seperti kebanyakan kontraktor di Malaysia – bangunan baru rasmi sebulan tapi siling dah runtuh. Dia juga tahu bahawa dia akan berkorban nyawa demi cita-cinta seorang Maharaja.
Kerisauan dan kebimbangannya itu dibawa bersama dalam pengabdian dirinya kepada Tuhan pada setiap siang dan malam. Akhirnya Tuhan memberi ilham kepada Ahmad Lauhari untuk merekabentuk bangunan yang kita panggil Taj Mahal ini.
* * *
Angin petang di Agra
SELAIN dari ukiran-ukiran pada dinding batu marmar putih yang sejuk, gerbang-gerbang yang tersergam indah, menara-menara yang berdiri setia, kolam di taman yang tenang dan tentunya kubah yang menjadi ikon seluruh dunia ini; terdapat satu lagi keistimewaan yang melayakkan Taj Mahal dianggap sebagai permata senibina Islam.
Menurut ‘Mat Saleh’ tadi, angin pada waktu petang di Agra, lebih-lebih lagi di kawasan Taj Mahal sangat berlainan di tempat lain. Anginnya seperti membawa suara. Apabila angin itu mencecah masuk pintu gerbang dan menuju ke dewan utama lalu melanggar dinding-dinding sehingga melantunkan suara dengung yang bergema laksana sekumpulan sami di Shagri-La sedang berzikir.
Suara suci ini-lah yang mengikat cinta ‘Mat Saleh’ tadi dengan Taj Mahal. Bukan pada ukiran dan geometri senibinanya.
“Pada petang terakhir, aku ke dewan utama lagi, untuk mendengar suara suci buat kali terakhir sebelum berangkat pulang pada esok hari,” cerita ‘Mat Saleh’ kepada lelaki tempatan. “Angin petang kali ini amat berbeza dengan petang-petang sebelumnya. Angin petang kali ini sedikit kuat dan membuatkan aku merasa seram kerana saat angin itu melanggar dinding-dinding Taj Mahal, dengungannya sangat kuat dan bergema sehingga ke puncak kubah.
“Aku cuba kuatkan semangat dan amati suaranya betul-betul. Alangkah tidak aku sangka, aku mendengar suara yang halus menyentuhi hati dan sangat jelas sebutannya – SUBHANALLAH… ALLAHU AKBAR… Kerana ketakutan, aku berlari keluar dan bertanya pada seorang warga tempatan, apakah dia juga mendengar apa yang aku dengar? Jawabnya, ya dia dengar dan itu fenomena biasa di sini! Sejak mendengar suara suci itu, aku tekad bahawa tiada tuhan selain Allah.”
* * *
Percikan inspirasi
KISAH Taj Mahal oleh kenalan ‘Mat Saleh’ di Pulau Tioman itu sangat memberi kesan pada Mazlan Noor atau lebih manja dipanggil “Along“, yang secara tidak langsung telah membuka pemikiran serta sudut pandangannya terhadap seni ke satu daerah atau dimensi lain. Seni halus bukan sahaja meniru keindahan atau disiratkan dengan falsafah-falsafah. Bahkan, seni halus melampaui itu semua.
Prinsip-prinsip seni halus seperti titik, garisan, bentuk, rupa, tona, rona, perspektif, imbangan, pergerakan dan penegasan – bukanlah untuk sajian pancaindera semata. Karya Ahmad Lauhari bertajuk Taj Mahal itu nyata lebih halus dari rekaan Michaelangelo atau Leornado da Vinci. Karyanya tidak hanya mencubit akal untuk berfikir bahkan menyentuh rasa sanubari insan – tempat di mana teori dan kaedah sudah tidak lagi wujud.
Secara logika akal – teori dan kaedah, bagaimana Ahmad Lauhari boleh terfikir dan menghasilkan suara dari angin yang melanggar dinding-dinding, melainkan dengan pengetahuan meteorologi, geologi, fizik, biologi dan sebagainya: kesimpulannya Ahmad Lauhari sangat mengerti akan mengenal diri atau hakikat insan.
Atas kesedaran insani yang sama telah mendorong Along untuk menghasilkan karya-karyanya dalam siri Dzikir Pohon, siri Dzikir Angin & Pelangi dan kini dalam kerja menyiapkan siri Dzikir Ka’abah.
* * *
Kembara
SEWAKTU menatap lukisannya buat kali pertama berjudul Titik-Titik Munajat (gambar), saya secara peribadi telah terbit pertanyaan di dalam hati – apakah yang dimaksudkan dengan bulatan dan lingkaran yang dicoret pada kanvasnya?
Adakah sama seperti yang telah diajarkan oleh guru saya berkenaan lakonan, yakni seorang pemeran umpama sebiji bola (globe) dengan lapan pancaran rasa – bergolek ke mana sahaja, rasa yang disampaikan kepada penonton tetap sama.
Begitu juga berkenaan ruang permainan – gelanggang yang berbentuk bulatan dengan sembilan bahagian (tetapi pemikir Barat letakkan ia sebagai pentas proscenium dengan sembilan pecahan kotak ruang); kerana bulat, globe atau sfera itu melambangkan kesempurnaan yang tiada dakwa-dakwi lagi.
Persoalan mengenai bulat telah ditulis dengan penuh teliti oleh Pak Sako dalam novel Anak Mat Lela Gila.
Jujur, saya tidak boleh mengalihkan pandangan ke arah lain sewaktu mengamati lukisan itu – seperti saya sudah dipukau oleh warna dan kerawang-kerawang halus di dalam lingkaran. Apakah saya juga berada di dalam lingkaran kembara yang sama?
“Along cuba untuk berzikir dalam titik dan lingkaran, yang kemudiannya membawa Along ke alam pengembaraan rohani (spiritual journey). Lingkaran, bulatan – itu semua sinonim dengan kewujudan dan kejadian alam, ciptaan Tuhan Maha Esa,” jelas Mazlan Noor yang merupakan salah seorang dari artis Anak Alam, pimpinan Usman Awang dan A. Latiff Mohidin.
Sambungnya lagi, “Setiap individu adalah pencari, pengembara. Baik dia seorang Muslim, Kristian, Hindu atau Buddha – kita adalah pencari. Jadi Along cuba membawa pencari-pencari ini mengembara dalam lukisan, sama ada secara jasmani: melihat alam; dan rohani: melihat diri – mengembara, mencari rahsia Tuhan. Kembara yang difahami oleh semua orang tanpa mengira apa saja kepercayaan dan pegangan.”
Atas dasar kefahaman itu, salah satu lukisan Along telah dibeli oleh Hong Leong Bank (pembelinya bukan Melayu dan beragama Katolik). Lukisan itu disimpan di dalam bilik khas di mana hanya lukisan-lukisan tertentu sahaja yang boleh berada di situ.
Apabila Along bertanya kepada pembeli itu, kenapa dia mengangkat lukisan Along begitu istimewa? Katanya, dia dapat merasakan perjalanan yang sama apabila menatap lukisan tersebut.
Leave a Response