SENI FOKUS: Syahidatul Munirah dan Sejarah Semenanjung Emas
BAGI orang kebanyakan, apabila dikaitkan dengan penulisan sastera, mereka secara amnya memikirkan sastera itu hanya sekadar susunan perkataan yang berjela-jela menceritakan suatu naratif untuk menenangkan hati pembaca.
Melalui susunan lenggok bahasa yang puitis dan romantis, ada sahaja yang merasakan bahawa ianya hanyalah saluran eskapisme. Sastera dilihat sebagai salah satu haluan bagi pembaca untuk lari daripada belenggu kehidupan.
Tetapi jarang benar yang menganggap bahawa sastera juga mampu memainkan peranan yang lebih besar daripada itu.
Sastera turut memainkan peranan untuk mengukuhkan pembinaan pemikiran bangsa, dan membangkitkan citra individu untuk menjadi lebih kukuh dan memberi sudut pandang yang baru terhadap konsep budi sendiri. Pembaca secara tidak langsung membentuk dirinya untuk menjadi seorang budiman.
Budiman dalam erti kata individu yang mengetahui masalah yang membelenggu dirinya, yakin dengan kekuatan diri sendiri dan dengan harapan bahawa ianya mampu membawa kita ke tingkat yang lebih tinggi, berjaya melonjak ke keadaan yang kurang mundur dan melalui pemerkasaan budaya, manusia menjadi aktif di dalam proses untuk menjangkaui batasannya sebagai manusia.
Sejarah dan keyakinan anak bangsa
Bagi penulis Syahidatul Munirah yang berumur pertengahan 20an, penekanan sejarah dan keutamaan pengajaran yang ada harus diberikan perhatian semula. Kerana sejarah itu harus dinaik tarafkan statusnya, ianya tidak lagi harus dilihat sebagai stor data-data dan fakta mengenai masa lampau, sebaliknya harus dilihat sebagai peristiwa yang mengandungi amaran ataupun nilai-nilai yang tetap dapat diguna pakai.
Peristiwa bakal berulang dan tidak dapat dielakkan. Manusia dan citra alamiahnya merupakan suatu pengulangan yang tidak dapat disangkal. Setiap tamadun pasti runtuh apabila strukturnya tidak lagi kukuh, rapuh dibelenggu rasuah dan pelbagai lagi elemen kejahilan yang dapat menjadikan sesuatu bangsa itu mundur.
Melalui koleksi cerpen pertamanya, “Lela Rentaka”, beliau berjaya memenangi tempat kedua di Sayembara Penulisan ITBM – PENA – BH yang kedua. Koleksi cerpen ini dihasilkan mengikut lensa pemikiran sejarah yang lampau. Menurut beliau, penulisan seperti ini berbeza dengan penulisan cerpen yang lain dimana kajian sejarah dilakukan dan naratif fiksyen ini disuntik dengan teori pensejarahan baru.
Teori yang dikemukan oleh Stephen Greenblatt ini adalah sebuah percubaan rekonstruksi sejarah dan menawarkan idea tentang konsep sejarah terkini. Sama seperti sajak Muhammad Haji Salleh melalui sajaknya “Pulang Si Tenggang” yang melakukan rekonstruksi cerita rakyat “Si Tanggang Derhaka”. Ianya bertujuan untuk menyatakan suatu pandangan yang baru dan memberi nafas segar terhadap tanggapan yang sedia ada.
“Saya membesar di Pulau Pinang, terlalu banyak isu politik yang jelas saya lihat yang banyak menjatuhkan maruah bangsa Melayu itu sendiri,” ujar beliau sewaktu soalan mengenai pendekatan sejarah diajukan. Beliau menyatakan bahawa sejarah yang selama ini dipelajari oleh kita semua mengakibatkan kaum Melayu tidak lagi berasa yakin dengan kekuatan mereka sendiri.
Ilmu sejarah secara amnya tidak mampu mengangkat keyakinan anak muda Malaysia yang mendambakan suatu sokongan mental bagi mereka berdiri teguh dengan nilai tamadun bangsanya yang terdahulu. Maka dari situ tidak terkejutlah jika semakin ramai diantara kita yang menampilkan citra-citra yang bertentangan dengan tradisi mereka sendiri. Dari aspek budaya, bahasa, nada suara dan sebagainya tidak langsung memaparkan kesinambungan yang seharusnya dipelihara.
Nostalgia dan batas-batasnya
Rasanya dari premis itulah saudari Syahidatul Munirah memilih teori pensejarahan baru sebagai sarana utama untuk beliau membina keyakinan yang ada. Tetapi pada masa yang sama juga saya mulai memikirkan persoalan romantisisme yang melampau, seringkali di media kita mendengar ataupun membaca mengenai beberapa pihak penguasa yang menggunakan keagungan masa yang lampau untuk mengukuhkan keberadaan mereka sendiri di pihak yang berkuasa.
Langsung bagaimana pula kita dapat mengelakkan perkara itu daripada berlaku? Bagaimana kita pada masa yang sama mendambakan suatu keyakinan yang benar-benar utuh tanpa jatuh ke lembah romantisisme yang melampau sehingga menjadi fanatik?
Langsung beliau dengan penuh keyakinan memberitahu bahawa kritikan terhadap diri sendiri itu jugalah yang dapat mengelakkan kita daripada terjerumus ke ruang romantisisme yang lampau. Sesiapa sahaja yang telah pun membaca koleksi cerpen beliau, dapat merasakan bahawa setiap kritikan atau sindiran yang ditujukan seimbang diantara golongan pemerintah dan diperintah.
Pengakuan akan kekurangan kedua-dua belah pihak itulah jelas dinyatakan oleh beliau, dan dengan pendekatan yang sederhana, disulami lagi dengan lenggok bahasa yang indah, beliau berjaya menyampaikan suatu mesej yang berat tetapi nyaman benar hasilnya.
Pergelutan naratif penguasa
Persoalan akhir, kenapa menggunakan pendekatan sejarah dan bukannya apa yang berlaku pada waktu ini? Rasanya naratif dominan yang wujud di kala ini mencetuskan rasa tanggungjawab terhadap diri Syahidatul. Ada apa dengan naratif dominan?
Beliau dengan tegas menyatakan belenggu dan punca utama kita semua berada di dalam keadaan mundur adalah disebabkan sejarah yang telah ditetapkan untuk mengekalkan kuasa sesetengah pihak. Proses yang dilaluinya, sewaktu melawat ke negeri Patani untuk mempelajari dengan lebih lanjut mengenai kerajaan Melayu yang terdahulu telah berjaya membuka matanya.
Pergelutan naratif masih wujud dan rakyat biasa selama ini dipaksa begitu sahaja untuk menerima sejarah yang telah berlaku, tanpa kita sedar bahawa naratif sejarah itu juga turut digunakan oleh pihak penguasa untuk mengekalkan pengaruh mereka.
Dan proses seperti ini yang berjaya menguatkan pendirian beliau untuk terus berusaha dengan menulis untuk memaknai erti manusia dan melalui penulisan konsep rekonstruksi sejarah, sedikit sebanyak memberi harapan bahawa seni juga mampu digunakan untuk meningkatkan keyakinan anak-anak muda terhadap kekuatan dalaman diri sendiri, tidak lemah dipengaruhi nilai-nilai luar tanpa usaha kritikan.
Leave a Response