Reviews
Now Reading
Seni kita: Persahabatan dan Setiakawan
113 0

Seni kita: Persahabatan dan Setiakawan

by Adnan QiyasApril 18, 2017

Dua Sabtu lepas kolektif Sisiseni telah menganjurkan Poet vs Wild, sebuah gig yang meraikan persahabatan dan setiakawan, puisi dan juga muzik. Edisi itu merupakan edisi ke-5 Poet vs Wild, dan ia juga meraikan ulang tahun pertamanya. Genap setahun lalu Poet vs Wild dianjurkan pertama kali di Nomad Cafe, Empire Damansara. Sejak itu ianya telah dianjurkan di Minut Init, Damansara Uptown dan kini di Blackbox, Publika.

Poet vs Wild edisi ke-5 ini menampilkan ramai seniman-seniman muda yang aktif dan relevan mutakhir ini. Takahara Suiko dan ensemble-nya Venopian Solitude dan Iqbal M menerajui senarai seniman yang membuat persembahan, beserta Adrea, Ashikin M dan Jamal Raslan serta Lara Hassan & The V. Gig ini telah berjaya menarik lebih kurang 200 pengunjung, dan ramai masih lagi setia menghiburkan diri dengan persembahan Iqbal M hingga lewat malam.

Rata-rata Poet vs Wild edisi ke-5 ini mendapat sokongan baik dan menggalakkan.

Sepanjang gig itu, emcee Azhar Ibrahim cepat berkongsi dengan para hadirin akan keistimewaan Poet vs Wild – semangat setiakawan yang diraikannya. Beliau menjelaskan yang ramai seniman yang tampil membuat persembahan datang dari kalangan rakan-rakan dan sahabat seni penganjur. Dan seniman-seniman ini telah menyokong Poet vs Wild dari hari pertama lagi, dan telah menjemput ramai lagi rakan-rakan pengamal dan pecinta seni mereka untuk turut menyokong malah menyertai Poet vs Wild lagi.

Azhar memetik kisah duet Ashikin M dan Jamal Raslan, di mana Jamal, yang telah hadir untuk setiap edisi Poet vs Wild yang bertempat di KL setakat ini, menjemput Ashikin M – yang bukunya akan terbit tidak lama lagi – untuk membaca karya-karyanya diiringi lagu-lagu gubahan Jamal pada Poet vs Wild edisi ke-4 beberapa bulan lalu. Lanjutan itu Ashikin dan Jamal sering membuat persembahan duet, Jamal mengiringi Ashikin dalam sesi-sesi bacaan puisi dan cerpennya dengan lagu-lagunya.

Ini adalah satu contoh percambahan dan perkembangan seni kontemporari di Kuala Lumpur, yang makin mapan dan mampan. Gerakan-gerakan kolektif yang menggunakan festival-festival kecil seperti ini sudah menjadi ketetapan dalam arena seni kontemporari bukan sahaja di ibu negara malah ibu-ibu kota serata negara, baik di semenanjung mahupun di Borneo.


Seni itu mencapai dan menghubungkan (reaches and connects). Itu sifatnya. Biarpun dalam ianya berbuat atau berlaku sebegitu ia mungkin akan mencabar pendapat, pendirian dan perasaan individu. Itu adalah fitrahnya – ianya satu peluahan (expession). Dan apa yang kita luahkan itu datang dari akal dan fikiran; jiwa dan kalbu. Niatnya untuk dilepaskan; fungsinya berkongsi. Faedahnya kemandirian.

Oleh itu ianya amat menyegarkan apabila Poet vs Wild dengan nyata menzahirkan niatnya untuk meraikan persahabatan dan setiakawan.

Kerana itulah teras seni yang paling dalam.

Masyarakat umum kini – terutama sekali belia – sudah biasa dengan acara-acara seni yang meraikan seni itu sendiri, baik muzik, seni halus, sastera mahupun filem. Jarang sekali semangat setiakawan ataupun komuniti itu diraikan depan-depan. Biasanya ianya tersirat; sudah patut difahami sendiri. Seni itu yang ingin dirai dan dijulang, dan di hebah-sebarkan. Tak semestinya karya itu , seniman itu ataupun komuniti.

Sebagai seorang belia yang dekat dengan seni – baik persekitaran, komuniti mahupun amalan – saya amat menyanjungi usaha Sisiseni. Bukan sahaja kerena menganjurkan Poet vs Wild, tapi kerana meraikan semangat persahabatan dan setiakawan itu sendiri.

Rata-rata kita dapat saksikan yang kesedaran komuniti makin tinggi. Sejak zaman gerakan indie mula berkembang sekitar pertengahan dekad 2000, gerakan-gerakan seni kontemporari mencari tempat masing-masing dalam arena seni kebangsaan melalui kolektif. Banyak contohnya – penerbitan-penerbitan indie, kolektif-kolekti teater, komuniti-komuniti pereka grafik dan seni halus serta kugiran-kugiran indie.

Mereka maju ke depan, baik dengan sokongan badan-badan kerajaan mahupun korporat atau persendirian.

Urbanscapes, Sang Freud Press, FIXI, Revolution Stage, Playground Productions, VGA Fest dan Tempatan Fest di ibu negara. Projek Rabak, AOR Festival, Georgetown Festival dan JOHO di utara dan selatan semenanjung. Rebel Union di Borneo. Semuanya masih tegar lagi sekarang, hampir sedekad kemudian.

Semuanya sudah mampan dan mapan sebagai satu sub-ekosistem yang membantu ekonomi setempat, percambahan budaya dan perkembangan belia di mana-mana saja ianya bertapak. Dan di dalam ruang selamat ini, semua – baik seniman, pecinta, pengamal, penghadam mahupun pemerhati – mampu mengambil tempat masing-masing dan menikmati bukan sahaja seni, malah lebih penting lagi, ukhuwah dan kesepaduan yang terpupuk atas nama seni.

Di mana bumi dipijak, disitu langit dijunjung.

About The Author
Profile photo of Adnan Qiyas
Adnan Qiyas
Comments

    Leave a Response