SUARA WANITA
Baru-baru ini saya ada berbual dengan seorang pembikin filem wanita tempatan. Topik perbualan kami pelbagai; dari filem-filem tempatan kegemaran beliau hingga ke sastera dan proses penulisan kreatif. Beliau adalah seorang yang berpendirian, dan sifatnya itu merancakkan perbualan kami.
Bertemankan sundae-sundae McDonalds, kami banyak berbual tentang perkembangan industri filem tempatan, dan di mana letaknya ke-Melaysia-an sesebuah filem itu. Sewaktu kami menyentuh tentang pembikin filem wanita tempatan serta watak-watak wanita dalam filem tempatan, beliau membuat satu pernyataan yang membuat saya merenung sejenak.
Beliau menyatakan yang filem-filem arwah Yasmin Ahmad sudah kurang relevan dengan masyarakat Malaysia secara amnya; walaupun topik-topik yang diketengahkan dalam filem-filemnya berasal dari Malaysia ianya tidak mencerminkan masyarakat Malaysia sepenuhnya. Biarpun rata-rata filemnya bermutu, pembikin filem tersebut tidak merasakan filem-filem arwah benar-benar mewakili Malaysia.
Saya terdiam.
Bukan kerana saya tidak setuju dengan pernyataannya. Malah saya terkejut akan kesetujuan saya dengan pendapatnya setelah beliau menjelaskannya dengan lebih lanjut. Sebagai seorang pembikin filem, beliau berhak menyuarakan pendapatnya. Beliau mempunyai daya pengamatan yang tajam, dan pemerhatian-pemerhatian beliau terhadap filem-filem Yasmin membuatkan saya menilai kembali filem-filem arwah bagi diri saya.
Filem arwah pertama yang saya tonton adalah Sepet. Sebagai seorang anak muda romantik yang masih setahun jagung dalam alam percintaan, filem tersebut menyentuh hati. Pengolahan cerita yang pada ketika itu saya rasakan berbeza dengan filem-filem cinta tempatan yang lain menarik minat saya. Langsung saya menjadi seorang pengikut filem-filem arwah, jika tidak seorang peminatnya.
Seterusnya saya menonton filem-filem Gubra, Mukhsin, Talentime dan Muallaf. Filem-filem tersebut masih segar dalam ingatan. Kisah punca keretakkan perkahwinan yang disampaikan dalam Gubra adalah satu topik yang terkesankan; sebagai seorang lelaki yang berpendirian kecurangan Ariff terhadap Orked adalah sesuatu yang saya benci. Talentime menjadi filem arwah kegemaran usai tontonan; babak Mahesh melutut meminta maaf pada ibunya adalah antara babak filem tempatan yang paling berkesan dalam dekad 2000an, dan Muallaf pula cuba mengetengahkan perbezaan faith dan religion dengan jukstaposisi halus paderi dan imam di sekolah Rohana. Rabun adalah satu-satunya filem arwah yang belum saya tontoni.
Menilai kembali filem-filem arwah saya dapati yang filem-filem beliau sering menonjolkan watak-watak wanita yang lantang, tegas dan mandiri. Ianya jelas sekali.
Isu-isu semasa dalam masyarakat setempat seperti kisah hidup pelacur, kecurangan pasangan, hubungan antara kaum dan identiti Melayu Islam moden menjadi latar untuk kisah-kisah hidup yang lazim seperti cinta, agama dan keremajaan. Yang menariknya adalah penceritaan kesemua kisah-kisah ini didukung watak-watak wanita. Dari watak utama ke watak sampingan, dari naratif ke ulasan sosial, semuanya disampaikan oleh wanita.
Pada amatan awal, semua ini masih relevan pada hemat saya. Isu-isu ini semuanya masih berleluasa; kisah-kisah ini masih lagi fitrah hidup masyarakat. Babak dalam Muallaf di antara watak-watak Rahim Razali dan Ning Baizura dengan penyiasat persendirian mencerminkan sesuatu yang biasa berlaku di kawasan-kawasan urban di Malaysia.
Jadi dari mana datangnya pernyataan pembikin filem tadi, yang filem-filem arwah Yasmin Ahmad tidak mencerminkan masyarakat Malaysia sepenuhnya dan filem-filem arwah tidak benar-benar mewakili Malaysia?
Pada hemat beliau, biarpun filem-filem arwah Yasmin Ahmad mengetengahkan isu-isu tersebut, ianya masih berat pada masyarakat Melayu. Biarpun filem-filem arwah lebih banyak menonjolkan hubungan sesama kaum berbanding filem-filem tempatan atau Melayu yang sezaman dengannya, sudut pandang filem-filem arwah mengambil pihak masyarakat Melayu.
Ini membuatkan saya bertanya – perlukah sesuatu filem itu mewakili segenap lapisan kaum atau kelompok masyarakat untuk menjadikannya sebuah filem yang benar-benar Malaysia?
Pembikin filem itu menjawab tidak. Kerana ianya mustahil.
Sesebuah filem tidak mampu mewakili semua lapisan masyarakat kerana peluang untuk mendalami kisah-kisah dan isu-isu yang diketengahkan tidak cukup, dan ruang untuk mengembangkan dan membentangkan watak perlu dikongsi. Di sini seorang pembikin filem perlu membuat keputusan samada untuk menumpukan perhatian kepada watak dan kisah atau plot dan cerita. Sekiranya pembikin filem itu cuba memuatkan terlalu banyak unsur dalam filemnya, ia akan kehilangan balance dan kesinambungan watak dan cerita akan pincang.
Dan sesebuah filem juga harus mengimbangi seni filem itu dengan keperluan ekonomi. Sebanyak mana dan semahu mana seseorang pembikin filem itu ingin meluahkan dan berkongsi visi seninya, dia juga perlu mengawasi keperluan ekonomi dalam usaha seninya.
Di sini, pembikin filem tadi menyiratkan yang filem-filem arwah Yasmin Ahmad bukan kurang relevan kerana ianya tidak menyampaikan dan menggambarkan hidup masyarakat dengan tepat atau jitu, akan tetapi kerana ianya tidak (mampu) mencari kesinambungan dan keseimbangan dalam filem itu untuk menjadikannya benar-benar Malaysia.
Di mana kisah hidup masyarakat-masyarakat atau kaum-kaum lain? Di mana keperitan hidup masyarakat-masyarakat Cina, India ataupun masyarakat di Borneo? Di mana cerita dan suara mereka? Bukankah mereka juga Malaysia?
Ini tidak semestinya niat asal arwah Yasmin.
Kita perlu pertimbangkan yang niat asal arwah membuat filem-filem tersebut kerana ianya menonjolkan kisah-kisah dan cerita-cerita yang dia terkesankan; yang dekat dengannya. Dan jika itulah keputusannya sebagai seorang pembikin filem, maka ianya perlu dihormati.
Kita hanya akan mampu menceritakan atau menyampaikan sesuatu dengan baik jika ianya dekat dengan kita bukan?
Pembikin filem tadi menambah lagi, buat masa ini ada banyak lagi isu-isu yang lebih relevan dan mustahak, baik dalam masyarakat mahupun dalam industri filem itu sendiri. Dan di sini terletaknya sentimen pembikin filem dan pernyataannya tadi.
Beliau merasakan yang filem-filem arwah Yasmin Ahmad tidak relevan kini bukan kerana ianya sememangnya tidak relevan, tetapi kerana kita hanyalah mengaburi diri sendiri jika kita masih ingin mengangkat filem-filemnya muthakhir ini.
Ianya seolah-olah kita sudah kering; yang kita perlu mengharapkan filem yang sudah hampir lebih sedekad usianya untuk memacu industri dan visi seni filem kita. Sedangkan dunia makin maju, industri filem malah masyarakat sedunia sudah mara ke depan. Peredaran zaman sudah maju sedekad.
Ianya mencerminkan pemikiran, sikap dan keberadaan industri filem kita.
Di situ perbualan kami langsung menyisir topic-topik lain yang kurang berat. Sambil kesedaran di atas perlahan-lahan melarut.
Saya senyum sendirian sambil sang pembikin filem menyambung perbualan kami dengan pilihan filem-filem tempatan kegemarannya. Filem-filem Yasmin Ahmad cuba membuka ruang perbincangan dan bicara tentang isu-isu sosial yang taboo dengan lembut melalui suara dan susuk seorang wanita, seolah-olah mencadangkan yang isu-isu berat ini boleh dibicarakan dengan berkesan dan penuh empathy, sekiranya kita mengubah sudut pandang dan mengolah bicara kita ke nada yang lebih lembut, halus dan sensitif.
Satu metafora yang ada kecantikkannya tersendiri – kelembutan sebagai alat dan senjata untuk halus menembusi kekolotan dan perisai stereotype masyarakat yang keras dan tua, tanpa hilang setitis pun kelantangan, ketegasan dan kemandiriannya.
Leave a Response