Kemudian tiba giliran Namron pula untuk menyatakan pendapatnya mengenai definisi teater alternatif. Beliau sewaktu meneruskan pelajaran di Akademi Seni Kebangsaan, melihatnya sebagai tapak eksperimen untuk menjelajah bentuk seni teater. Dan jelas ternyata, yang terserlah dengan kepuasan melakukan pelbagai bentuk seni itu adalah apabila ianya tidak dikawal dan dikongkong oleh lapisan-lapisan birokrasi. Kemudian, mengenai ruang yang terbatas untuk teater alternatif, beliau menyentuh aspek ‘bermain dengan ruang’ dan penekanan mesra dengan para penonton.
PADA waktu ini, di kawasan gah seperti Istana Budaya, bakal berlangsung pementasan teater yang mengutamakan sikap ‘entrepreneurship’ sebagai kayu ukur kejayaan individu. Mungkin secara kasarnya teater ini melaksanakan suatu idea keuntungan material, memberi harapan kepada anak-anak desa ataupun ibu-ibu dengan slogan bahawa golongan penduduk desa juga, dengan penuh dedikasi mampu menjangkaui kesusahan hidup yang telah berlangsung selama beberapa generasi, walaupun tidak dinafikan bahawa ‘kesusahan’ itu adalah kesusahan yang dirancang tetapi dikaburi dengan alasan takdir ataupun sikap alamiah yang memundurkan.