‘Tanah Airku, Tanah Airmu’ diberi nafas baru oleh Amy Search dan pancaragam MCKK
Selepas 5 tahun, sudah tiba masanya lagu “Tanah Airku, Tanah Airmu” kembali – kini dengan kolaborasi antara Amy Search dan LoQue.
Terbitnya fajar di kala tahun bersejarah ini, ketika negara kita sedang asyik menghala ke arah perubahan #MalaysiaBaru, Mat Lela (nama samaran loQue) beraspirasi untuk mengikhtiarkan lagu ini sekali lagi dengan menyampaikan inti pati lagu tersebut dan pesanannya kepada rakyat Malaysia.
Pada tahun 2013, lagu ‘Tanah Airku Tanah Airmu’ menampilkan Permaisuri Ibu Pertiwi Muzik Malaysia, Dato’ Siti Nurhaliza bersama Mat Lela Derhaka.
Istimewanya kali ini, Mat Lela telah diberi mandat untuk menyerikan lagu “Tanah Airku Tanah Airmu Jua” dengan lebih “garang” bersama ‘Yang Berbahagia’ Muzik Rock Amy Search dan barisan Pancaragam Nakhoda Mat Lela Derhaka dari Malay College Kuala Kangsar.
Dengan pertemuan ini, justeru tertubuhlah rancangan Mat Lela yang diberi nama #PancaragamNakhodaMatLelaDerhaka sempena Hari Kemerdekaan ke-61 dan Hari Malaysia.
Mat Lela berkata, “Tanah Airku Tanah Airmu Jua dendangan pancaragam kami lebih testosteron, lebih “jantan”, lagi-lagi dapat berpadu tenaga dengan Yang Berhormat Muzik Rock Tanahair, Amy Search”.
Memetik kata-kata dari YB sendiri, “… projek ni macam kira last minute lah. Tibe-tibe je LoQue datang tanya ‘bang kita nak buat ni ni okay ke? Saya pun free’. Saya cakap belasah je lah jadi apa, yang paling penting dia punya rawness tu ada”.
Mengulas pendapat beliau mengenai erti kemerdekaan, YB Amy menjawab, “Pemikiran kita harus merdeka. Merdeka tu macam kepala kita mesti terbukalah dengan hidup kita tahun 2018. Kalau kita masih di takuk lama, kita belum merdeka. Kita masih belum cukup merdeka. Kita belum tahu menikmati apa itu merdeka”.
Mengenai #PancaragamNakhodaMatLelaDerhaka, rancangan ini disusuri dengan pelbagai kejadian yang simbolik apabila diteliti. Mat Lela, YB Rock Amy Search dan kumpulan pancaragam Malay College Kuala Kangsar (MCKK) berkenan untuk merakam dan memainkan lagu ini di Kampung Baru, Kuala Lumpur, yang dikelilingi dengan hutan batu bata yang mencakar langit tingginya.
Tujuannya adalah sebagai peringatan kepada kita sebagai rakyat Malaysia tercinta untuk tidak melupakan asal usul dan sejarah tanah air ini meskipun kita sentiasa berusaha untuk bergerak maju ke hadapan demi mencapai taraf yang disegani dunia.
Tambahan lagi, bunyi-bunyian dari barisan Pancaragam Nakhoda Mat Lela Derhaka yang mengiri Mat Lela dan YB Amy Search ini juga membawa simbolik kepada kelangsungan usaha anak bangsa kita dalam mengorak langkah.
Mengikut sejarah, pertubuhan MCKK kira-kira pada tahun 1947 dahulu hanyalah untuk golongan elit semata-mata. Namun, berkat semangat nasionalisme anak bangsa kita telah berjaya membuka peluang bagi mereka untuk mendapatkan pelajaran.
Maka, Mat Lela dalam rancangannya mencuba untuk mengingatkan kita selaku rakyat Malaysia bahawa kita mampu mengubah kehidupan kita kepada yang lebih baik apabila teguh bersatu.
Sempena Kemerdekaan ke-61 pada tahun ini Mat Lela menyeru kepada semua rakyat Malaysia… “Merdekakah kita kalau masih malu untuk berbahasa, berbudaya tapi bangga update status dalam English. Apa benda yang merdeka? Merdeka bererti bebas dari hidup kepura-puraan. Pura-pura untuk menjadi Mat Salleh/Arab ataupun sesiapa pun yang bukan diri kita yang sebenar. Selamat Hari Merdeka! Merdekakan mentaliti! Raikan cap mohor anda!”
Lagu ‘Tanah Airku Tanah Airmu’ nyanyian Mat Lela, YB Amy Search diiringi oleh pancaragam Nakhoda Mat Lela Derhaka di YouTube saluran cataloQue dan dengarkan audio rakaman di semua gedung-gedung digital seperti Spotify, Apple Music, dan yang sewaktu dengannya.
Leave a Response