Editorial
Now Reading
Tentang Seni Zaman 1950an: Sebuah Pengenalan
139 0

Tentang Seni Zaman 1950an: Sebuah Pengenalan

by The Daily SeniOctober 11, 2015

SECARA AMNYA, pasti ada di antara kita yang mengidamkan suatu kerangka pemahaman mengenai keadaan seni di negara kita dari dahulu lagi. Persoalan mengenai bagaimana impak seni moden itu berlangsung di negara kita, dari peralihan simbol-simbol alam ke penggambaran manusia atau tubuh.

Bagi pihak rakyat, bukti ataupun dokumen seperti ini dilihat sebagai sesuatu yang penting. Kerana apa? Kerana ia merupakan penerangan yang jelas terhadap perubahan dan tanggapan kita terhadap keadaan seni di negara kita. Pemahaman terhadap kesinambungan seni adalah penting agar karya-karya yang terhasil dan bakal dihasilkan tidak lari daripada konteks yang pernah berlaku sebelum ini, kerana sejarah kehidupan yang lampau merupakan faktor terbesar yang membentuk keadaan pemikiran kita pada waktu ini.

Dengan itu kita berasa benar-benar untung kerana disajikan dengan hasil transliterasi yang diusahakan oleh pihak Malaysian Design Archives dan galeri ILHAM. Menerusi seksyen yang terbaru di lawan web tersebut, mereka berjaya melaksanakan projek transliterasi majalah-majalah seni yang lampau, sewaktu artikel-artikel yang ditulis masih dihasilkan dalam tulisan Jawi.

Penukaran ke rumi merupakan suatu peralihan yang penting. Atas nama kesatuan kebangsaan yang melampaui konsep etnik dan agama, peralihan ke rumi adalah usaha untuk menyenangkan pihak-pihak lain yang pada waktu itu masih merasa sukar untuk memahaminya.

Di kala ini, kebanyakan di antara kita masih juga tidak dapat memahami tulisan Jawi. Walau bagaimanapun, hasil transliterasi artikel ini bertujuan untuk berkongsi beberapa artikel yang telah lama ditinggalkan dan dilupakan. Antara artikel-artikel yang dikongsi diambil dari empat majalah pada waktu 1950an iaitu: Majalah Mastika, Majalah Seni, Al-Ikhwan dan juga Majalah Bintang.

Artikel-artikel yang dikongsi di laman web mereka merupakan suatu proses yang berterusan, dengan harapan agar segala dokumen mengenai seni pada waktu dahulu, perbincangan ataupun persoalan yang pernah dicetuskan mampu bergema semula dan keadaan seni bisa menjadi kukuh. Ia juga dapat memainkan peranannya yang besar untuk memberi makna bagi kita semua.

Mengikut kenyataan Simon Soon, yang mewakili pihak galeri ILHAM menyatakan bahawa pada awalnya kebanyakan artikel yang dikongsi merupakan hasil kajian Ahmad Suhaimi melalui publikasinya yang diberi tajuk Sejarah Kesedaran Visual di Malaya (The History of Visuality in Malaya).

Di dalam kajiannya, beliau memberi penekanan utama terhadap kepentingan media cetak yang membentuk kesedaran visual kepada rakyat Melayu, dan secara tidak langsung membuka ruang kepada ilustrasi tubuh manusia, yang sebelum ini merupakan sesuatu yang asing kepada budaya Melayu.

Kami bagi pihak The Daily Seni berharap projek terbaru mereka di bawah seksyen seni visual berjaya memberi gambaran konteks yang jelas kepada sesiapa yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang seni moden dan peralihannya dari seni tradisional. Ini juga merupakan peluang yang bagus bagi anak-anak muda yang dahagakan suatu gambaran terhadap keadaan dan pendapat rakyat kita terhadap seni secara amnya, apa tanggapan dan bagaimana penerimaan mereka terhadap seni abstrak dari barat dan sebagainya.


Artikel-artikel yang telah ditransliterasikan boleh diamati di laman web ini.

About The Author
Profile photo of The Daily Seni
The Daily Seni
The Daily Seni delivers news on local arts and culture, aiming to provide insight into Malaysia's ever-growing creative community as well as provoke thought and discussion.
Comments

    Leave a Response