Reviews
Now Reading
Tradisi Seni Cetak Yang Membela Golongan Tertindas
Next
Prev
175 0

Tradisi Seni Cetak Yang Membela Golongan Tertindas

by Anak DagangMay 24, 2015

Tahun ini jika tidak salah saya hanya ada dua sahaja pameran seni yang mengetengahkan karya-karya printmaking ataupun seni cetak. Sebelum ini di HOM Art Trans dan kali ini di Xin Art Space yang terletak di Setiawangsa. Pameran seni ini diadakan sempena Hari Pekerja pada 1hb Mei yang lepas – hari yang meraikan tenaga-tenaga pekerja (kolar putih dan juga kolar biru).

Justeru ada dua persoalan yang tercetus sewaktu saya melawat pameran ini – apakah hubung kaitan subjek yang dipersembahkan melalui medium utama yang ditekankan, iaitu seni cetak?

Jika saya ingin berbicara mengenai pameran ini, haruskah saya mengasingkan kedua-duanya, ataupun jika saya ingin berusaha untuk menemukan titik hubung diantara medium dan subjeknya, pada bahagian manakah yang harus saya tekankan? Mungkin ada hubung kaitan yang saya rasa mampu memberi makna yang signifikan ataupun elok sahaja subjek dan medium itu dipisahkan – agar ianya sendiri tidak dibataskan.

Dari tahun 1940an seni cetak kebanyakkan digunakan untuk menggambarkan kesusahan dan keperitan para pekerja. Tema ini bermula dari German dan semangat mengenai kesedaran pekerja turut diterima dan diguna pakai di Malaya dan Singapura.

Langsung tradisi penggunaan seni cetak ini digunakan untuk menyebarkan kesedaran ataupun ilmu mengenai keadaan yang membelenggu mereka. Seni cetak juga bisa diguna sebagai medium propaganda dan alat bagi pihak berkuasa untuk menyebarkan dakwah mereka sendiri.

Seni cetak juga mempunyai kelebihan dimana ianya bisa dicetak semula kerana terdapat plat originalnya. Tetapi setelah beberapa dekad berlalu, seni cetak masih jarang dipergunakan. Kalau ada pun, ianya lebih diadaptasi ataupun digabung bersama medium-medium yang lain.

Arca progresif untuk bidang seni cetak tempatan

Apakah masalahnya? Menurut saudara Long Thien Shih, antara tokoh cetakan negara, seni cetak memerlukan disiplin yang tinggi, dan penggunaan tubuh badan yang dioptimisasikan sepenuhnya. Langsung menurut beliau jarang benar pelajar di negara kita yang terus menggunakannya. Rugi rasanya apabila konklusinya adalah kemalasan – itu sahaja. Sedangkan dengan fasiliti yang disediakan, masih jarang para pengkarya terutama anak muda yang melihatnya sebagai salah satu medium utama.

Masih banyak diantara mereka yang hanya bersandar kepada medium lukisan dan catan. Mungkin sahaja masalah mengenai seni cetak ini adalah ilmu ataupun dokumentasi mengenai medium seni cetak itu sendiri. Saudara Long Thien Shih berkata bahawa dokumentasi mengenai tradisi dan sejarah seni cetak dinegara kita tidak ada, bahkan tidak ada usaha untuk mengumpul dan menulis mengenainya. Secara tidak langsung ianya menyebabkan kurangnya penghargaan mengenai medium tersebut dan diabaikan oleh generasi yang lebih muda.

Jadi sempena tradisi seni cetak ini dan juga sempena Hari Pekerja – Xin Art Space mengadakan pameran seni yang bertajuk Peasants and Proletariats – A Print Art Exhibition Tribute to Workers. Menarik bagi pameran ini apabila ianya berjaya menggabungkan tenaga anak muda dan pengkarya seni cetak veteran seperti mendiang Datuk Chuah Thean Teng dan juga Lai Loong Sung.

Melalui karya-karya mereka (yang dihasilkan pada tahun 1930an sehingga 1970an) para audien dapat melihat bagaimana karya-karya lama mereka berjaya menunjukkan kesusahan kehidupan golongan pekerja buruh melalui tekstur seni cetak mereka, warna monotone dan butiran yang jelas terlihat seperti otot-otot dan bentuk tubuh badan para pekerja.

Sebagai contoh, karya The Drunkards yang dihasilkan oleh Lai Loong Sung pada 1976 benar-benar kasar dan berjaya menunjukkan riuh rendah gerombolan pemabuk dengan raut wajah hampa yang tua dan penat. Barangkali memabukkan diri itu sudah menjadi candu dan sarana eskapisme buat mereka dan ianya berjaya dinyatakan melalui karya beliau.

Barangkali bagi mereka subjek golongan pekerja adalah subjek yang harus dibela dan menggunakan medium seni cetak tersebut sebagai sarana utama untuk menyedarkan ataupun akur secara solidariti mengenai realiti yang dihadapi zaman mereka pada waktu itu.

Interpretasi generasi langsung: Membawa tradisi kraf pulang ke arah pengkaryaan

Kemudian kita beralih kepada generasi yang lebih muda ataupun generasi selepas mereka yang menangkap esensi kota dan kawasan desa yang lebih rencam dari segi subjek pilihan mereka.

Ada yang menekankan tenaga anak muda sebagai kuasa untuk mengubah dunia (“Anak Bakar” karya Rat Heist), penghargaan pekerja bomba yang menyelamatkan harta dan nyawa (On Duty karya Fuad Pathail @ Madzi), kisah para nelayan (“Laut Adalah Kehidupan” karya Rizo Leong dari Pangrok Sulap) dan juga hiruk-pikuk realiti di kota (The Teh Tarik Master karya Adeputra Masri).

Kesemua artis yang terlibat menghasilkan karya yang berbeza dan menyerlahkan sudut pandang yang unik dan tersendiri. Melalui setiap momen yang ditangkap oleh mereka, postur subjek dan latar belakang yang diadun berjaya menunjukkan suatu elemen universal – keringat para pekerja atau subjek yang dilukis mereka. Seni cetak berjaya dihidupkan semula oleh artis-artis muda.

Barangkali diteruskan atas nilai proses disebalik karya tersebut dan bagaimana tradisi seperti itu wajar diterapkan kepada generasi seterusnya. Dan tentunya apa yang diharapkan oleh mereka adalah tradisi ini bisa dihidupkan semula dan diberi definisi dan nafas yang lebih segar. Penghargaan mengenai medium lama ini harus ditekankan kerana kepentingannya di dalam sejarah negara kita sendiri – dan bagaimana medium ini turut memainkan peranan yang penting bagi menyebarkan kesedaran secara luas mengenai keadaan golongan pekerja yang ditindas sejak dari dulu.

*Tulisan ini diniatkan sebagai reviu kepada pameran seni Peasants and Proletariats – A Print Art Exhibition Tribute to Workers yang berlangsung di Galeri Xin Art Space sehingga 15 Jun.

About The Author
Profile photo of Anak Dagang
Anak Dagang
Anak Dagang seorang warga kota Kuala Lumpur yang ingin terus menulis. Anak Dagang is a senior contributor to The Daily Seni.
Comments

    Leave a Response