Ulasan Dialog Teater Alternatif – Skala Kecil, Idea Besar (Bahagian Satu)
PADA waktu ini, di kawasan gah seperti Istana Budaya, bakal berlangsung pementasan teater yang mengutamakan sikap ‘entrepreneurship’ sebagai kayu ukur kejayaan individu. Mungkin secara kasarnya teater ini melaksanakan suatu idea keuntungan material, memberi harapan kepada anak-anak desa ataupun ibu-ibu dengan slogan bahawa golongan penduduk desa juga, dengan penuh dedikasi mampu menjangkaui kesusahan hidup yang telah berlangsung selama beberapa generasi, walaupun tidak dinafikan bahawa ‘kesusahan’ itu adalah kesusahan yang dirancang tetapi dikaburi dengan alasan takdir ataupun sikap alamiah yang memundurkan.
Dari awal penubuhan Istana Budaya, pementasan yang berlangsung harus sejajar dengan aspirasi nasional. Dan tentu sahaja, menurut saya siapa sahaja yang dapat menentukan apa itu aspirasi nasional? Sudah tentu bukan saya dan rakyat biasa tetapi pihak penguasa, berpangkat tinggi dan mempunyai ‘suara abang besar’ yang layak menentukan.
Teater di kawasan Istana Budaya yang sentiasa dibimbing dengan ruang besar, berskala ‘agung’ yang turut mempengaruhi para penonton yang hadir di situ, ada kalanya hanya membenarkan suatu idea yang spesifik sahaja. Idea-idea yang dibenarkan pada masa yang sama juga sejajar dengan pilihan penguasa, yang juga pada masa yang sama membenarkan kita berfikir: adakah idea yang melangsungkan penerusan sistem status quo, membenarkan justifikasi sistem yang mendukung pihak penguasa sahaja yang dibenarkan di kawasan besar dan disokong dengan dana yang berjumlah jutaan ringgit ini?
Adakah semangat seperti ini sahaja yang mampu ditampung (dibenarkan) oleh institusi kebudayaan, dan turut dipersetujui oleh golongan-golongan yang menerajui birokrasi pusat kebudayaan di mana tujuan utamanya untuk menarik para pengunjung atas nama hiburan dan pelancongan semata-mata?.
Kewujudan ruang seperti ini (yang tidak hanya terbatas kepada bentuk seni persembahan teater) kadangkala mencetuskan suatu persoalan yang besar – idea apa yang dibenarkan di kawasan-kawasan tersebut? Ruang yang penuh dengan sifat formal ini mewakili idea yang bagaimana? Dan bagaimana pula dengan persepsi kita? Dan apakah pula yang berlangsung secara spontan di kawasan tersebut? Adakah yang berlangsung itu penuh dengan rasa gusar, resah ataupun dengan penuh jayanya merasakan bahawa tempat itu benar-benar mewakili syurga buat para seniman?
Langsung di sinilah timbulnya istilah teater alternatif. Seni alternatif ataupun seni pilihan lain, pastinya wujud dengan kemunculan ruang arus perdana. Secara amnya, alternatif adalah sesuatu hal ataupun idea yang berbeza dengan apa yang diingini oleh majoriti. Ataupun alternatif dalam erti kata, persembahan yang digerakkan oleh faktor-faktor yang berlainan, tidak semestinya digerakkan oleh kemewahan material, publisiti ataupun status pada nama.
Isu bentuk seni yang alternatif pastinya tidak hanya terbatas kepada bentuk teater sahaja, dan pastinya merupakan konsepsi yang turut mempengaruhi semua bentuk seni bahkan sistem pemikiran dalam perlaksanaan gaya hidup juga turut memaknakan erti kata alternatif itu sendiri. Senang cerita, menurut saya alternatif itu adalah suatu tanda tidak setuju kepada apa yang telah ditetapkan secara formal oleh pihak-pihak yang berkuasa ataupun pihak yang mempunyai modal besar.
Kemunculan panggung pentas yang disediakan oleh ruang pendidikan tinggi, seumpamanya panggung eksperimen UM ataupun UKM merupakan landasan bagi anak-anak muda untuk terus berjinak dengan teater, tetapi sudah tentu berlainan dengan apa yang dibenarkan di ruang arus perdana.
Dan sinilah bermulanya panggung teater alternatif yang bersendikan ruang yang kecil. Ia tidak dapat memendamkan idea yang membuak-buak, dan barangkali lebih besar, progresif dan lebih radikal daripada apa yang dibenarkan oleh pihak arus perdana. Tidak dapat dinafikan, hal seperti ini tetap berkait rapat dengan politik (bukan parti politik). Politik yang mampu membentuk kehidupan yang lain daripada apa yang kita alami pada waktu ini.
Pada 31hb Oktober yang lepas, berlangsungnya suatu perbincangan ataupun dialog tentang pergerakan ataupun inti pati mengenai teater alternatif. Antara panel-panel yang terlibat adalah Dinsman, seniman yang pada waktu ini turut terlibat dengan PAKSI, Namron, pengarah dan juga pelakon filem, Fasyali seorang graduan jurusan teater dari Kanada yang pernah mengarah teater Teater Juta-juta dan juga Hamzah Wahab, individu yang bertanggungjawab membuka ruang teater yang berkonsepkan ruang minimal di DBP yang diberi nama Stor Teater DBP.
Di sini saya disajikan dengan pendapat-pendapat dari penggiat teater sendiri, yang pastinya mempunyai sudut pandang yang tersendiri tentang apakah yang dimaksudkan dengan teater alternatif. Bermula dengan definisi teater alternatif itu sendiri, Dinsman memaknakan ia sebagai pementasan yang berlainan dengan idea arus perdana. Mengikut kerangka teater alternatif di UK, yang turut juga memulakan suatu jalan alternatif sebagai tentangan kepada idea arus perdana. Beliau sendiri tidak dibenarkan untuk melakukan pementasan di Istana Budaya atas nama pendirian politik. Beliau dengan jelas menyatakan, Istana Budaya merupakan institusi yang membunuh teater.
Bermula dengan dasar Kementerian Kebudayaan yang ingin menjadikan Istana Budaya sebagai tarikan pelancongan – mulai memperkenalkan teater dengan menggunakan pelakon filem yang terkenal (selebriti) sebagai tarikan utama. Sedangkan, seperti apa yang diingatkan beliau teater itu seharusnya digerakkan oleh kumpulan teater, yang secara kolektif membawa idea-idea besar dan bekerjasama untuk membawa suatu mesej yang benar-benar signifikan. Tetapi seperti apa yang dilihat sekarang, teater arus perdana telah dipenuhi dengan pelakon-pelakon terkenal sahaja. Barangkali kita masih boleh berhujah dengan pendapat seperti ini, memikirkan adakah benarnya inti pati teater arus perdana benar-benar tidak lagi berani (atau tidak pernah) membawa persoalan-persoalan yang besar ataupun tabu.
Dan juga bagaimana pula pendapat-pendapat daripada golongan yang selalu terbabit dengan persembahan Istana Budaya? Adakah mereka juga turut merasakan bahawa dasar Kementerian Kebudayaan benar-benar melemahkan pergerakan teater dan menjadikan teater yang hanya membatasi dirinya sekadar hiburan dan tidak lebih daripada itu? Inilah hal yang tidak dikupas, tidak ada yang mewakili suara Istana Budaya untuk membantah hujah-hujah mengenai persepsi teater arus perdana.
Bersambung ke bahagian dua
Leave a Response