Reviews
Now Reading
ULASAN TEATER: DONGENG URBAN ‘BIT BIT’
Next
Prev
81 0

ULASAN TEATER: DONGENG URBAN ‘BIT BIT’

by Pribade Abdullah BongkokDecember 25, 2015

TERDAPAT tiga corak pementasan teater kanak-kanak: pertama, cerita untuk kanak-kanak yang dimainkan oleh kanak-kanak; kedua, cerita untuk kanak-kanak yang dimainkan oleh dewasa; dan yang ketiga, cerita untuk dewasa yang dimainkan oleh kanak-kanak.

Ada yang berpendapat, bahawa Alice In Wonderland karya agung Lewis Caroll, adalah sebuah kisah untuk pemahaman dewasa. Begitu juga kisah The Cat In The Hat karya Dr. Seuss.

Kedua-dua pengarang ini menggunakan pengembaraan penuh fantasi dan dimaknai dengan simbol-simbol agar agenda sebenar dapat diselindungkan.

Pun begitu, kaedah ini ada gunanya dari segi pemasaran kerana kanak-kanak adalah makhluk yang mudah terpesona dengan fantasi demikian. Penontonan atau pembacaan kanak-kanak sudah tentunya ditemani atau dibimbing oleh ibu bapa. Ibaratnya sambil menyelam minum air, begitulah perihalnya matlamat karya-karya ini.

Tidak dinafikan, menggunakan kanak-kanak sebagai sindiran kepada dewasa sudah menjadi kelaziman kepengarangan naskah kanak-kanak. Di Malaysia juga, terdapat naskah-naskah yang begitu sifatnya.

Paling ketara, naskah Ke Kota tulisan Siti Ida Alias, mengisahkan kanak-kanak yang menjadi mangsa muslihat kotaraya. Tidak ketinggalan, naskah tulisan Jasmi Jamal berjudul Cermin Sapura yang mengisahkan pemimpin yang tidak amanah.

Namun, Cermin Sapura lebih comel kerana dipentaskan dalam bentuk Bangsawan!


Imej ciptaan Hollywood merosakkan tujuan dongeng

Bayangkan, betapa murninya orang dahulukala mengarang cerita dongeng. Dengan menggunakan watak-watak binatang, matlamat dongeng tersebut adalah sebuah pengajaran umum. Pengajaran bahawa sebagai seorang manusia mestilah berpekerti atau berakhlak mulia, kerana hanya itu sahaja jaminan hidup di dunia.

Dongeng Anjing dan Bayang-bayang, Bangau dan Geluk, Burung dan Semut, Musang dan Anggur dan juga Arnab dan Kura-kura – semua ini memberi pengajaran yang murni agar kita sebagai manusia tidak bersikap tamak haloba, tidak mementingkan diri sendiri, sentiasa tolong-menolong, jangan bongkak dan sombong…, dan boleh dikatakan bahawa seluruh dunia menggunakan dongeng yang sama.

Pengajaran ini lebih mudah disuntik ke pemahaman kanak-kanak kerana kanak-kanak ibaratnya sehelai kain putih, kita yang dewasa inilah yang mencorakkannya.

Persoalannya, sejauh manakah keberkesanan dongeng-dongeng purba ini ke atas kanak-kanak hari ini yang sudah terdedah pada permainan video dan animasi 3 dimensi terbitan Hollywood, di mana unsur-unsur ini telah mendewasakan pemikiran mereka?

Bagaimana mahu membuatkan mereka (baca: kanak-kanak) percaya pada pengajaran murni, setelah pemikiran mereka telah bercambah benih citra Walking Dead atau pun Shrek?

Di sini, Shariful Akma Abdullah dan pelajar-pelajarnya di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) telah berjaya mencuba suatu ujikaji yang menarik dalam membentuk sebuah pementasan kanak-kanak generasi hari ini.

Dengan citra Walt Disney: sumpahan Beauty & the Beast dan kejahatan sihir Snow White, digabungkan dengan latar dongeng Perlumbaan Sang Arnab & Sang Kura-kura, dan diberi pengajaran baharu; maka terhasil-lah naskah Bit Bit yang menarik, baik dari segi plot mahu pun unsur sinografi: walaupun ianya ringkas.

Justeru, Bit Bit tidak lagi memberi pengajaran agar kita jangan memandang rendah pada orang lain dan jangan bersikap angkuh. Sebaliknya, Bit Bit telah mengajar kita supaya menerima kekalahan kerana di sebalik kekalahan ada kemenangan, di samping meningkatkan keupayaan diri dalam memerangi kuasa jahat, membantu orang yang dalam kesusahan, semangat kebersamaan, dan pengajaran paling penting – lobak baik untuk kesihatan mata!

Interaksi dengan penonton, dengan melibatkan penonton kanak-kanak dalam menyelesaikan masalah watak Bit Bit amatlah dipuji, kerana itulah fungsi seorang guru – mengajar murid-murid dengan memberi masalah sebenar untuk diselesaikan. Bukan sekadar ‘pot pet pot pet’ sahaja.

Sungguh, walaupun ianya untuk kanak-kanak dan dimainkan oleh dewasa, namun ia amat terkesan di sanubari seorang dewasa. Tahniah, dan nah – Kementerian Pendidikan sila kaji semula kepentingan teater!

About The Author
Profile photo of Pribade Abdullah Bongkok
Pribade Abdullah Bongkok
hamba SENI yang suka sakat suku sakat. Mula jatuh cinta pada pentas sejak budak-budak, sejak mengenali pentas di Dewan Orang Ramai kampungnya, di mana pada bahagian atas tirai agungnya tertulis: 'Pribade'.
Comments

    Leave a Response