Now Reading
MALAYSIA DALAM SENI TANAHAIR
Next
Prev
529 0

MALAYSIA DALAM SENI TANAHAIR

by Adnan QiyasFebruary 17, 2017

Malaysia kah seni kita?

Apakah soalan ini perlu? Adakah ianya masih relevan dalam alaf baru yang menjanjikan pendedahan global mutakhir melalui media sosial dan internet; dalam zaman yang sosio-ekonominya dibentuk arus globalisasi?

Jika kita ambil kontroversi FFM28 tahun lepas, ianya bukan setakat relevan. Ianya realiti kita. Isu identiti Malaysia dalam karya seni masih membawa muyskil dan kekeliruan. Patriotisme dan kedaulatan Bahasa Malaysia (Melayu?) dipersoalkan. Jika kita buat perbandingan kasar dengan perkembangan sosio-budaya dunia, persoalan identiti (dalam seni) dan hak milik seni masih relevan – gerakan Black Lives Matter dan boikot Oscar 2016 dengan #OscarsSoWhite adalah antara contoh-contoh umum yang menyokong realiti kita diatas.

Maka soalan ini perlu ditanya. Dan dijawab.

Setidak-tidaknya dicuba. Apatah lagi bila seni tanahair kini berada dalam satu titik persilangan. Kita lihat percambahan penggiat-penggiat seni yang mandiri (independent atau indie) merentas semua genre seni secara umumnya, dari seni visual ke seni persembahan hinggalah ke seni reka. Rata-rata penggiat-penggiat makin muda; pendedahan dan capaian mereka langsung merentas sempadan. Gerakan-gerakan kolektif menjadi mangkin, dan yang paling menarik adalah mereka meninggalkan sikap generasi-generasi Baby Boomer dan Gen-X yang mengutamakan kestabilan kerjaya dan kewangan.

Di mana Malaysia dalam seni tanahair kita?


Adakah tempat sesebuah karya terhasil menjadikannya satu contoh seni tanahair?

Sifat tempatan yang dimiliki sesebuah karya boleh menjadikannya seni tempatan. Sekiranya ini diambil mutlak, maka kita boleh menganggap yang semua karya seni yang lahir dalam sempadan Malaysia adalah seni tanahair.

Namun anggapan ini pincang.

Bolehkah kita menganggap sesuatu karya yang lahir dalam sempadan kita, biarpun ianya bukan tentang Malaysia (situasi politik mutakhir Amerika contohnya) sebagai sebuah karya seni tanahair? Bagaimana pula jika pengkarya tersebut bukan berasal dari Malaysia?

Semua persoalan ini berasas, biarpun ianya mungkin kurang sesuai.

Karya-karya yang tergolong dalam karya seni tanahair dipunyai. Ianya milik Malaysia; kepunyaan rakyatnya. Di sini istilah hak milik mengundang debat – ianya sebuah istilah yang possessive dan kurang disenangi. Namun dari sudut pandang identiti – kebangsaan dan individu – istilah ini tidak dapat dielakkan. Identiti kebangsaan dan individu perlu ditampil dan diwakilkan dengan baik dan berkesan; seni itu satu perluahan (expression) dan setiap perluahan itu mewakilkan (represents). Baik detik, individu, bangsa ataupun idea – seni itu mewakilkan. Jadi jika ada yang terkesan dengan rupa atau rasa sesebuah karya itu, ataupun dengan persoalan hak milik sesebuah karya itu maka ianya tidak boleh dipersalahkan.

Seni itu sedang menjalankan salah satu tugasnnya.

Kita ambil seniman seni halus (fine arts) Datuk Chuah Thean Teng. Seorang pelukis kelahiran Fujian, China pada 1914 beliau telah menetap dan bermastautin di Penang sejak 1936. Beliau mendapat pendidikan awal seni di Xiamen Art College dan telah berhijrah ke Tanah Melayu pada 1932 untuk bekerja di sebuah kilang sarung. Pekerjaan ini telah mendedahkannya kepada batik Melayu dan beliau mula mempelopori teknik batik dalam seni lukisan dan seni halus setelah kilang sarungnya ditutup. Setelah karya-karya seni halus beliau “Two of a kind” dan “Tell you a secret” dipilih UNICEF untuk siri kad ucapan mereka; beliau juga dijemput sebagai panel seniman untuk Pameran Commonwealth Artists of Fame di England pada tahun 1977.

Datuk Chuah Thean Teng adalah perintis teknik batik dalam karya-karya seni lukisan dan seni halus di rantau ini. Beliau telah dianugerahi bintang A.M.N atas sumbangan beliau dalam bidang seni tanahair. Karya-karya beliau menjadi fokus dalam pameran Love Me in My Batik pada 2016 yang bertempat di Ilham Gallery.

Biarpun beliau bukan kelahiran Malaysia, namun Malaysia dalam seninya amat jelas dan mengesankan. Jadi milik siapa seninya – milik sang pengkarya kah atau milik Malaysia dan rakyatnya?

Jika diamati dan dihayati karya-karyanya, tidak sukar untuk kita mengatakan yang karyanya milik kita semua – termasuk beliau sendiri. Malah, tidak mustahil jika beliau merasakan yang jiwa beliau sudah terpahat di Malaysia dan identiti beliau sudah berlabuh disini.

Kita tidak keberatan mangangkat karya dan seninya sebagai kayu pengukur seni tanahair; sebagai salah satu penanda identiti kita. Tidak timbul persoalan kerakyatannya dalam penerimaan kita terhadap karya dan seninya secara umum.

Kita menerima sudut pandang yang asalnya dari luar kerana kita turut bersama mengenal diri sambil menemankan beliau menjelajah Malaysia dan dirinya. Nilai-nilai Malaysia telah ditampilkan dan diwakilkan dengan jitu dan berkesan disini; baik melalui teknik batik yang telah dipelopori mahupun subjek dan tema dalam karya-kara seninya.

Satu lagi contoh yang boleh kita ambil sebagai perbandingan adalah artis-artis hip hop Too Phat dan Altimet.

Altimet

Kedua-dua artis ini telah menerajui genre muzik hip hop tempatan sejak awal 2000an dengan karya-karya muzik yang menunjukkan kecekapan berkarya dalam genre muzik hip hop. Kebolehan dan kematangan karya-karya mereka, baik dari segi muzik, lirik, penyampaian rap serta gaya budaya hip hop yang ditampilkan menjadikan mereka artis hangat yang sering kedengaran di radio-radio, TV-TV dan festival serta konsert.

Too Phat lazimnya berkarya dalam Bahasa Inggeris, dengan lagu-lagu single Bahasa Melayu mereka kadangkala menjadi siulan anak-anak muda dalam dekad 2000an. Mereka pernah berduet bersama artis-artis lagenda dalam industry muzik hip hop antarabangsa dan juga tanahair seperti Warren G dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini. Mereka telah membuka jalan untuk hip hop menjadi salah satu genre muzik yang telah kini diterima umum. Altimet pula sering berkarya dalam Bahasa Melayu, dan karya-karya beliau telah menjadi rujukan dan ikutan ramai artis-artis muda yang baru sejak dekad 2010an ini. Altimet amat relevan biarpun usianya yang dewasa berbanding dengan generasi muda kini; karya-karya beliau sering bercerita tentang kemandirian, agama, nilai-nilai murni serta kepayahan hidup.

Jika diamati karya-karya Too Phat dan Altimet, biarpun tempat-tempat yang digambarkan dalam lirik-lirik nyanyian mereka adalah tempatan (lazimnya kawasan urban), namun penyampaian, imej dan mesej tidak membawa rupa Malaysia yang lazim. Sebaliknya mereka kelihatan moden dan bergaya, serta mempunyai tarikan antarabangsa. Berbanding dengan karya-karya Chuah Thean Teng yang amat jelas dan ketara rupa Malaysia-nya, karya-karya malah pembawakkan diri Too Phat dan Altimet tidak menampilkan ke-Malaysia-an yang serupa jika dilihat secara langsung.

Namun disini, mereka masih diterima sebagai karyawan dan penggiat seni Malaysia; karya-karya mereka mencerminkan gaya hidup urban dan moden yang masih Malaysia. Malah, boleh diusulkan disini yang sebagaimana Chuah Thean Teng mampu menjiwai dan menguasai seni batik sebelum mengaplikasikan teknik itu ke dalam seni lukisan dan seni halus untuk menjadikannya seni beliau sendiri, Too Phat dan Altimet mampu menguasai seni hip hop dan rap itu sebelum menjadikannya seni muzik mereka sendiri.

Disini apa yang tidak boleh kita lepas pandang adalah martabat dan nilai kedua-dua seni di atas – batik dan hip hop – tidak hilang, dan identiti ketiga-tiga seniman terwakil.


Dalam psikologi, pembentukkan identiti mengandungi self-concept, di mana ianya menjelaskan bagaimana seseorang individu mengenal dirinya melalui rangsangan dan maklumbalas sekeliling, sebelum beliau mengenalpasti nilai-nilai yang ingin beliau pegang dan menetapkan nilai-nilai tersebut sebagai penzahiran keberadaannya.

Self-concept ini merangkumi jenis-jenis identiti yang dikongsi semua insan – identiti budaya, profesional, etnik dan bangsa serta agama. Kita menetapkan identiti kita dengan mengambil kira kesemua jenis-jenis identiti ini; kita adalah hasil dari penyepaduan dan ramuan unsur-unsur dan nilai-nilai dari setiap satu jenis identiti ini yang telah kita pilih.

Ola Bola

Apabila Dasar Kebudayaan Kebangsaan ditulis, ianya meletakkan Melayu dan Islam sebagai 2 dari 3 teras utama untuk mentakrifkan seni tanahair.

Memadaikah teras-teras ini memandangkan peredaran zaman tidak diambil kira dan pendedahan media terhadap budaya-budaya dan seni-seni dari seluruh dunia telah berlaku?

Dari mata jatuh ke hati.

Jika diambil semangat peribahasa ini (serta diasing tanggapan romantisnya yang lazim dan umum), kita boleh membacanya sebagai “dari luar meresap ke dalam, dari deria meresap ke jiwa”. Semuanya bermula dengan deria – visual, vokal dan verbal, sentuh, rasa dan bau.

Berbicara tentang ini tidak sukar untuk merasakan yang ianya mudah saja terjerumus ke dalam debat rupa (format/bentuk) vs rasa? Namun bukankah seni itu memberi rupa kepada rasa? Bukankah seni itu turut menyampaikan rasa melalui rupa?

Jadi bagaimana kita mencari Malaysia dalam seni kita – dari rupa? Atau rasa?

Tidak hairan filem adalah satu industri besar, memandangkan ianya meggabung dan menyepadukan banyak format seni dan medium deria yang popular. Sepet, Layar Lara, Ola Bola, Puteri Gunung Ledang dan Terbaik Dari Langit untuk kita di zaman ini. Tiga Abdul, Keluarga 69, Bujang Lapuk, Gelora dan Ahmad Albab untuk zaman yang terdahulu.

Di mana Malaysia dalam semua karya-karya ini?


Rencana ini adalah salah satu rencana dalam siri wacana Naratif Seni “Malaysian Art” yang akan didukung Daily Seni sepanjang 2017. Untuk sukuan pertama tahun ini, sidang editor Daily Seni akan mengupas persoalan “What makes art in Malaysia Malaysian?” secara umum. Ini adalah rencana pertama dalam Naratif Seni “Malaysian Art” untuk sukuan pertama 2017.

About The Author
Profile photo of Adnan Qiyas
Adnan Qiyas
Comments

    Leave a Response