Editorial
Now Reading
We write, therefore we are
Next
Prev
59 0

We write, therefore we are

by Adnan QiyasJuly 5, 2017

Henry Miller pernah berkata “Writing is its own reward.”

Jadi mengapa kita menulis – adakah ia demi penulisan? Atau ada keinginan yang membuak untuk meluah dan menyatakan sesuatu? Persoalan-persoalan ini mungkin tampak dangkal namun ia adalah soalan-soalan dasar yang relevan untuk seseorang penulis. Ia tak semestinya perlu dijawab, akan tetapi bertanyakannya akan menggerakkan roda-roda muhasabah yang wajib untuk menjana kehalusan pemikiran dan penulisan.

Siang tadi aku terlibat dalam satu perbincangan untuk satu projek kem bahasa anjuran sebuah Jabatan Pendidikan negeri. Pengarah jabatan tersebut telah memperkenalkan dirinya sebagai Cikgu, nama timangan yang amat kena dengan perwatakkannya; tegap dan tegas. Beliau memulakan kerjayanya sebagai seorang guru sekolah, sebelum berkecimpung dalam gelanggang keusahawanan dan pendidikan yang lebih besar dan luas demi memperbaiki taraf hidup belia-belia negerinya.

Dalam perbincangan itu aku menjelaskan kepada Cikgu tentang pendekatan kem bahasa kami – kami cuba membuat satu ruang selamat yakni safe space untuk peserta-peserta kem berbual-bicara sebelum mengajak mereka menulis. Dari situ kami boleh menilai kepetahan, kefasihan dan penguasaan bahasa mereka dengan lebih jelas dan berkesan. Seterusnya kami boleh membantu mereka mengenalpasti kelemahan-kelemahan bahasa mereka sebelum membantu mereka memperbaiki kelemahan-kelemahan ini.

“We need them to write if we want to know how weak they are. So first we get them to talk. Then they will write. Because they will only write the things they talk about.” jelas aku. Wajah Cikgu berubah.

Cikgu adalah seorang yang tampak tegas. Namun ketegasan itu menyembunyikan keghairahannya terhadap pendidikan dan penulisan. Kongsi beliau, “Writing was my first love. Not my wife; she was the second or the third. Writing was the first love. And I had to let it go. I sacrificed it for my career and work.” Tersorok dalam nada kesal dan selorohnya itu adalah satu keyakinan akan kesaktian dan kekuatan menulis yang amat tebal. Pernyataan aku tentang menulis itu telah mengimbau kenangan silamnya.

Sepanjang hari aku merenungi kata-kata Cikgu itu.

Bilakah aku memilih untuk menulis? Bilakah detiknya aku sedar, dan meredhai, hakikat yang aku ini boleh dan ingin menjadi penulis? Jujur aku nyatakan yang aku tak tahu; tak teringatkan.

Yang aku tahu adalah kita menulis fikiran kita. Kita menulis sedar (dan kesedaran) kita.

Dan yang aku sedar adalah menulis itu satu pengalaman yang panjang dan mendalamkan. Tak kira apa yang aku tulis – cerpen, puisi, rencana, prosa – proses penulisan itu sendiri adalah satu pengalaman yang menyerapkan. Ilham dan idea bertemu, dan dengan bertemankan lagu-lagu serta kudapan yang sesuai, mereka menjemput hati dan akal aku untuk berbicara. Bicara ini sukar dikawal; ia sering memakan masa serta tumpuan yang banyak dan memenatkan. Seringkali buah fikiran yang menjadi pembuka bicara ini menghilang usai bicara, menjelma menjadi satu pendapat atau rumusan lain yang kadangkala bertentangan dengan buah fikiran asal. Ia terasakan seperti satu pengembaraan.

Adakah ini yang dimaksudkan oleh Henry Miller? Adakah pengembaraan ini habuan aku – bicara-bicara dalaman itulah yang menjadikan aku?

Meminjam kata-kata Pak Agi – adakah itu aku-ku?

Sebagai seorang yang menulis – biarpun aku sering memperkenalkan diri aku sebagai seorang penulis (ia memudahkan bual-bicara; pekerjaanku), sukar untuk aku menamakan diri aku seorang penulis – aku berpegang pada prinsip “We write what we are.” Kita menulis kita. Kita jarang menulis sesuatu yang asing bagi kita dan sekiranya kita terpaksa menulis sesuatu yang asing, kita akan mendekati keasingan itu kerana penulisan kita mengkehendakkannya. Dan biarpun kita jahil tentang isi penulisan kita, sebagai seorang yang menulis kita perlu mengambil sikap mengkaji dan ingin tahu untuk memenuhi penulisan kita.

Di situ kita berkembang sebagai seorang penulis, dan juga seorang insan.

Dalam penulisan aku, aku sering berselisih dengan penulis-penulis atau kata-kata yang menyatakan kejujuran seorang penulis terletak pada penulisannya – sekiranya ia menulis tentang sesuatu yang bukan sebahagian dari dirinya, maka ia bukan seorang penulis yang benar.

Walaupun aku tidak menolak sentimen itu, aku juga tak mudah menyetujuinya.

Ungkapan falsafah Latin yang diaju oleh Rene Descartes “Cogito ergo sum” atau terjemahan lazim Bahasa Inggerisnya “I think, therefore I am” adalah batu asas aliran falsafah barat. Sekiranya kita melanjutkan renungan kita lagi, kita boleh merumuskan yang kita adalah pembacaan kita (We are what we read).

Kita membaca kerana kita berfikir (dan memikirkan).

Maka, jika penulisan kita menemukan kita dengan sesuatu yang asing dan demi penulisan kita itu kita berfikir dan melebihkan bacaan, bukankah itu satu hasil yang bagus? Bukankah itu satu habuan yang setimpal? Usaha kita dalam cuba memahami dan mendalami gelap keasingan yang perlu kita tulis itu telah mencelikkan kita.

I think, therefore I am. We write what we are. We are what we read.

We read because we think.


Sewaktu kami menutup perbincangan projek, Cikgu berkongsi lagi. Beliau menyambung, “I cannot forget my first love. I cannot let it go. But I accept it. I couldn’t do writing like how I wanted to, but maybe all of you – and all the children and students – are my writings. I don’t know. All I know is that this must be done, and I want us to do it together.”

Sekiranya kita memilih untuk menulis, penulisan tak akan meninggalkan kita. Biarpun kita meninggalkannya.

Barangkali itulah habuan yang dimaksudkan Henry Miller – kesedaran dan makna yang menemui kita dalam penulisan.

We write, therefore we are.

About The Author
Profile photo of Adnan Qiyas
Adnan Qiyas
Comments

    Leave a Response