Other
Now Reading
Akademi Seni TFTN: Membuka Pilihan Karier Buat Anak-Anak Terpinggir
Next
Prev
97 0

Akademi Seni TFTN: Membuka Pilihan Karier Buat Anak-Anak Terpinggir

by Anak DagangJuly 5, 2015

Selang beberapa hari sebelum berlangsungnya teater Kota Kelip-Kelip, yang merupakan inisiatif Akademi Seni TFTN untuk melaksanakan persembahan teater yang dilakonkan oleh anak-anak yang terpilih dari tiga puluh rumah anak yatim, aku berpeluang untuk melawat mereka di rumah homestay di kawasan Kg Penchala sebagai ruang mereka berlatih. Aku dengan minat ingin tahu, bagaimana pendekatan mereka berjaya mengubah keadaan anak-anak yang terpinggir, yang secara benarnya hanya selesa dari segi makan dan minum, tetapi belum tentu dari sudut psikologikal mereka.

Adakah ianya benar-benar mampu menghasilkan perubahan yang bisa dikenal pasti oleh masyarakat, atau tiada bezanya dengan inisiatif yang lain?  Dan dari situ juga persoalan lain mulai timbul, mengapa inisiatif seperti ini masih kurang dilakukan di kalangan orang Melayu? Adakah konsep seperti ini tidak begitu berbaloi ataupun ianya tidak dipupuk oleh orang-orang yang terlibat sendiri dengan industri seni? Atau sudut pandang seperti ini, hanya berdasarkan batasan aku sebagai individu biasa?


ASET ataupun Akademi Seni TFTN terhasil daripada kesedaran pengelola TFTN, suatu pergerakan NGO yang melaksanakan pendidikan tambahan secara percuma kepada anak-anak yatim ataupun golongan yang tidak mampu untuk membayar kos yuran tusyen di kota. Mereka yang telah melaksanakan ini selama dua tahun mulai sedar bahawa ianya merupakan sesuatu yang sukar untuk melonjakkan prestasi mereka dari sudut akademik, oleh sebab itu mereka harus menyediakan jalan alternatif bagi anak-anak kecil.

Langsung terhasillah ASET dengan harapan bahawa seni juga dapat dilihat sebagai jalan lain bagi anak-anak memupuk pengalaman mereka. Menyedari bahawa seni mampu menawarkan pilihan karier yang berbeza dengan apa yang mereka tahu selama ini.

Kota Kelip-Kelip di DPAC. Gambar kiri merupakan gambar barisan pelakon manakala gambar kanan adalah keadaan sewaktu berlangsungnya persembahan tersebut. (Sumber: Laman web Facebook Teach For The Needs).

Zul Fikri Zamir, selaku salah seorang daripada pengasas menyatakan bahawa matlamat mereka adalah pemberikan fokus kepada anak-anak kecil yang dibesarkan di asrama sejak mereka kecil lagi. Pendidikan seni di sekolah, hanya menekankan aspek akademik dan tidak memupuk bakat mereka yang sebenar, malah aktiviti lapang yang ada jarang digunakan untuk mencetuskan elemen kreativiti di kalangan anak-anak kecil.

Beliau sewaktu meluangkan masa bersama aku di gerai mamak yang terletak di Taman Maluri, terus menjelaskan lagi tentang objektif ASET: “Sebagai contoh inisiatif persembahan teater ini, setiap tahun kami akan memilih 10 orang untuk berlatih dan melakukan satu persembahan. Dalam jangka masa lima tahun akan jadi 50 orang yang telah dilatih dan didorong untuk menjayakan seni teater. Mungkin sahaja 30% daripada mereka berjaya memilih seni teater sebagai karier mereka, manakala yang lain mungkin bakal memilih haluan yang dekat dengan seni persembahan, mungkin sebagai kru di belakang tabir sahaja. Kepentingan yang mereka nyatakan adalah rancakkan pilihan-pilihan karier yang diberikan oleh mereka.”

Beliau meneruskan lagi bahawa, “buat masa sekarang kami kumpulkan dan ajarkan dulu anak-anak ini. Jadi mereka mempunyai penyediaan dan pengalaman yang cukup untuk masuk bidang-bidang seni yang disediakan. Inisiatif ini tidak hanya mengutamakan pendedahan semata-mata tapi lebih kepada menambah pengalaman mereka untuk sambung belajar. Mampu untuk mengubah diri mereka dan keluarga dia. Kami ingin menghasilkan kualiti yang bagus dari segi teknik dan kualiti lakonan, bukan atas alasan untuk jadi terkenal sahaja.”

Anak-anak terpinggir dan karier seni sebagai alternatif

Pasti ada yang memikirkan, inisiatif seperti ini kedengaran begitu mudah. Hanya memberi latihan pendidikan seni kepada anak-anak yang terpinggir. Tiada apa yang istimewa mengenainya. Tetapi jika difikirkan secara mendalam, seni secara umumnya masih mempunyai stigma yang kuat di kalangan orang melayu.

Di sini bukannya niat saya untuk katakan seni itu tidak langsung dihargai, tetapi pemahaman kita mengenai seni secara umum dan bagaimana ianya boleh dijadikan sebagai karier. Mentaliti bahawa hanya sains mampu menaikkan taraf kehidupan masyarakatnya tidak benar.

Oleh sebab itu seni tidak diberikan keutamaan sebagai karier yang bagus. Seni sama seperti ilmu-ilmu yang lain, turut memerlukan teknik dan disiplin yang hebat. Ianya juga memerlukan keteguhan dan prinsipal yang kukuh. Seni yang hanya dikaitkan dengan naluri dan perasaan semata-mata adalah suatu stigma yang klise dan membosankan. Seni juga memerlukan keseimbangan yang sama diantara penggunaan akal rasional dan naluri. Ianya juga memerlukan suatu usaha yang kuat untuk menjayakannya sebagai karier.

Anak-anak kecil sewaktu terlibat dengan Bengkel Seni Lukis 2015 di Klang. (Sumber: Laman Facebook ).

“Kebanyakkan daripada mereka benar-benar berbakat dan mereka tidak sedar langsung mengenainya,” kata Zul sewaktu menceritakan pengalamannya mengendalikan program ini.

“Mungkin untuk projek bulan Ogos ini, kami telah berjaya mengumpulkan 100 sehingga 150 karya seni visual yang dihasilkan oleh anak-anak kecil ini. Perlaksanaan seperti ini dilihat sebagai peluang utama bagi mereka, kerana mereka berasal daripada keluarga yang susah. Penekanan terhadap aspek seni jarang diambil perhatian oleh golongan orang Melayu yang miskin. Berbeza dengan kaum-kaum lain, seni sudah menjadi suatu kebiasaan bagi mereka. Jadi kami harus konsisten di dalam memperkenalkan jalan lain bagi anak-anak ini.” tegas Zul lagi.

Usaha tetap usaha, walau sekecil manapun

ASET masih berada di tahap percubaan lagi. Maknanya tiada struktur yang kukuh untuk mengendalikan inisiatif ini. Yang penting bagi mereka adalah pendekatan kasih sayang yang diterapkan.

“Mereka yang tinggal di asrama dari kecil ini sudah mula memikirkan bahawa kehidupan mereka penuh dengan rasa kebosanan dan kekecewaan. Walaupun makanan dan pakaian benar-benar cukup, tetapi secara ketaran mereka jarang diberi kasih sayang. Pilihan hidup ataupun akademik hanya diberi begitu sahaja dan tiada pendekatan yang diberikan kepada mereka, sebagaimana ianya dicurahkan oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka di rumah sendiri.”

Yang turut hadir memberi sokongan sewaktu latihan teater. Atas dari kiri: Jayzuan dari Projek Rabak, Radhi OAG, Jalil Hamid dan Meor Oh Chentaku. (Sumber: Laman Facebook Teach For The Needs).

Dengan program seni ini, mereka diberi peluang untuk merasakan pengalaman yang baru. Program selepas sekolah tidak lagi dilihat sebagai sesuatu yang membosankan, sebaliknya merupakan sesuatu yang aktif. Keinginan untuk berusaha menjayakan sesuatu yang kreatif, bersama-sama orang yang berpengalaman di dalam sesuatu bidang, dan pada masa yang sama menolak kecenderungan yang merasakan bahawa kehidupan yang dilalui mereka adalah sesuatu yang banal.

Seni, walau secara naifnya dilaksanakan oleh mereka, sekali lagi diberi nafas baru kepada anak-anak kecil yang naif dan masih cerah pemikirannya mulai memikirkan bahawa akhirnya mereka diberi peluang untuk mencurahkan perasaan yang terpendam, yang tidak bisa dinyatakan secara zahir, dan senilah yang berjaya menyatakannya. Samada melalui seni visual, persembahan, muzik ataupun sastera.

ASET dan ruang laksananya seni dari masyarakat

“Mungkin juga cabaran kita seterusnya adalah untuk membuktikan kepada masyarakat agar mereka faham bahawa seni itu juga dapat dilihat sebagai perang budaya. Seni bukannya kerja remeh dan hanya dianggap sebagai hiburan. Seni boleh digunakan untuk memberdayakan kaum marginal. Mereka tak nampak seni sebagai alat untuk perang budaya melawan politik yang telah sedia ada. Mesej-mesej politik bisa dimasukkan melalui seni. Jadi objektif seperi itu boleh diselitkan buat masa hadapan.”

Begitulah jawapan kepada persoalan yang dilontarkan oleh aku, persoalan samada adakah seni itu mampu mengubah persepsi masyarakat dan kekuatan seni sebagai aktiviti yang benar-benar aktif.

Tetapi buat masa sekarang, apa yang ditumpukan oleh mereka adalah penyediaan akan karier-karier yang dinyatakan kepada mereka. Pihak mereka tetap akan berusaha untuk memastikan bahawa karier melalui seni ini boleh dilakukan secara serius dan kebolehan anak-anak muda ini untuk menggunakan seni sebagai agen perubahan keadaan sosio-ekonomi mereka sendiri dan juga keluarga mereka.

Dengan pendekatan yang menghasilkan karya jujur (lihat sinopsis Kota Kelip-Kelip) dan pengutamaan terhadap praktikaliti berkerja, mereka berharap bahawa mereka mampu mengubah lanskap industri seni kerana golongan mereka tidak dibuai ilusi keselesaan, sebaliknya berdiri teguh berhadapan dengan realiti yang ada.

About The Author
Profile photo of Anak Dagang
Anak Dagang
Anak Dagang seorang warga kota Kuala Lumpur yang ingin terus menulis. Anak Dagang is a senior contributor to The Daily Seni.
Comments

    Leave a Response