Film & TV
Now Reading
Ketua Pengarah FINAS Dan Barisan Baru Harapan Industri Filem Negara
Next
Prev
122 0

Ketua Pengarah FINAS Dan Barisan Baru Harapan Industri Filem Negara

by Anak DagangMarch 21, 2015

Forum yang diberi tajuk “Dreaming Big: Can Malaysian Filmmakers Make Their Dream Films In Malaysia?” berlangsung di acara Art for Grabs yang membicarakan tentang hala tuju ataupun cabaran yang sering dihadapi oleh para pembikin filem-filem mandiri dan hubung kaitannya dengan konteks industri filem tempatan.

Antara persoalan-persoalan yang dibincangkan oleh mereka adalah tentang keberadaan filem yang lebih menyentuh isu-isu yang penting, filem yang mampu mengangkat isu-isu yang lebih berat, dan juga pendekatan yang diambil oleh para pembikin filem untuk kekal menghasilkan filem-filem yang berkualiti dan pada masa yang sama berjaya dilihat sebagai filem arus perdana.

Forum ini disertai oleh Nadira Ilana sebagai moderator, dan lima panel iaitu penerbit dan juga pengarah Woo Ming Jin, James Lee daripada Doghouse73 Pictures, Lina Tan pelopor syarikat Red Comms, dan pembikin filem Rewan Ishak.

Pada peringkat permulaan perbincangan tersebut, setiap satu daripada panel yang dijemput mulai menceritakan tentang penggerak utama mereka membikin filem, antara faktor utama adalah minat yang mendalam terhadap kewujudan filem.

Langsung perbualan yang tersebut beralih kepada realiti di dalam industri filem itu sendiri, iaitu sistem pasaran yang menggerakkan industri itu dan bagaimana landasan utama yang menentukan kualiti filem itu turut memainkan peranan yang utama.

Lena Tan turut menyatakan bahawa penukaran landasan untuk filem-filem tempatan itu harus diberikan perhatian sepenuhnya, kerana karya fizikal iaitu jumlah jualan DVD telah mula jatuh menjunam.

Persoalan tentang landasan diteruskan lagi dengan Rewan Ishak, dimana wujudnya jurang generasi yang jelas diantara beliau dan para pembikin filem yang lain.

Beliau menjelaskan dengan tentang kepentingan sosial media yang baru dan bagaimana anak-anak muda tidak lagi mengharapkan media lama yang lebih dominan.

Sebaliknya bergantung kepada landasan internet yang dapat dilihat sebagai ruang utama untuk melonjakkan karya Rewan Ishak sendiri.

Tidak lama selepas itu, James Lee juga turut menyatakan kekecewaannya terhadap waktu promosi yang diberikan. “Selalunya untuk filem-filem tempatan yang telah diberi slot untuk wajib tayang di pawagam, yang diberi hanyalah dua atau tiga minggu untuk mempromosi filem yang ada – disebabkan jangka masa yang sedikit kita tidak dapat berbuat apa-apa pun, secara tidak langsung pihak awam tidak tahu tentang keberadaan filem tersebut dan juga salah satu faktor yang menyebabkan kurangnya hasil jualan karya filem tempatan.”

Kemudian Ketua Pengarah FINAS yang baru, En. Kamil Othman diberi peluang untuk menyatakan pendapatnya tentang industri filem negara, beliau menyatakan harapan beliau terhadap para pembikin filem-filem mandiri.

Menurut Nadira Ilana, Ketua Pengarah FINAS berkata bahawa para pembikin filem-filem mandiri adalah pihak yang bakal menentukan kualiti filem negara pada masa hadapan.

Pihak FINAS buat masa ini sedang menyediakan ruang baru agar para pembikin filem dapat berjumpa dengan pihak yang memberi dana. En. Kamil Othman dengan jelas menyatakan bahawa industri filem memerlukan produser-produser yang baru dan mampu mencari dana yang cukup untuk menyeimbangkan dana daripada pihak FINAS dan kerajaan.

Beliau turut berkata secara optimistik bahawa masa hadapan filem industri nampak cerah dan mengharapkan bahawa pihak awam dan para pembikin filem memberi beliau masa yang secukupnya untuk melakukan secara terbaik.

Beliau meneruskan lagi, “Mungkin dalam masa 6 bulan, keadaan boleh menjadi lagi elok. Dan apa yang penting sekarang adalah ruang yang sesuai bakal disediakan, ianya lebih elok daripada para pembikin filem menggapai-gapai di dalam ruang yang gelap tanpa hala tuju yang betul.”

About The Author
Profile photo of Anak Dagang
Anak Dagang
Anak Dagang seorang warga kota Kuala Lumpur yang ingin terus menulis. Anak Dagang is a senior contributor to The Daily Seni.
Comments

    Leave a Response