Other
Now Reading
Koleksi Cerpen “Lela Rentaka” – Sanggahan Kemunduran Bangsa Lampau
Next
Prev
121 0

Koleksi Cerpen “Lela Rentaka” – Sanggahan Kemunduran Bangsa Lampau

by Anak DagangJuly 19, 2015

*Tulisan ini diniatkan sebagai ulasan buku kepada koleksi cerpen Lela Rentaka oleh Syahidatul Munirah yang telah memenangi tempat kedua untuk Sayembara Penulisan ITBM – PENA – BH 2.

Susah disangkal di kala ini, dimana wujudnya golongan yang menolak keagungan tamadun bangsanya sendiri. Ada yang merasakan bahawa bangsanya terlalu menekankan rasa romantisisme yang melampau, tidak mengenal pasti masalah sendiri dan tidak berlaku jujur. Sehingga hilang arah tujunya lalu berselindung disebalik ilmu, budaya dan gaya laku yang tidak berasal dari tanahnya sendiri.

Simptom yang wujud ini berlegar di kalangan bangsa Melayu sendiri, ada yang malu benar untuk mengaku dirinya Melayu, malah menyimpan dendam yang tidak terhingga kerana dilahirkan ke dalam keadaan bangsa yang begitu terbelakang dari sudut pemikirannya.

Bermula daripada mengenal pasti akan gejala tersebut, maka lahirlah beberapa insan yang berdiri teguh melalui kekuatan dan ilmu mereka bagi menyanggah mentaliti sebegitu rupa. Ada yang menyanggah melalui kekuatan ilmu akademiknya, maka terlahirlah pelbagai jenis karya akademik yang membuktikan bahawa pada suatu masa bangsa Melayu merupakan suatu bangsa yang gah, dan atas sebab-sebab yang boleh diterangkan secara jelas, seperti masalah penjajahan dan penerusan korupsi yang tidak terkawal maka intensiti kemunduran pemikiran itu semakin jelas.

Ianya secara tidak langsung mengakibatkan kehilangan arah tujuan ataupun kehilangan kekuatan yang boleh dianggap sebagai panduan utama bagi anak-anak muda di sini. Walaupun tidak dinafikan bahawa ada juga yang berselindung disebalik kekuatan bangsa, tetapi kerana terlalu cetek ilmu pemikirannya lalu apa yang dipegang dan disanjung hanyalah sentimen dan khayalan mengenai kekuatan bangsa yang tidak kukuh dan tidak membumi.

Ada juga yang menyanggah mitos kemunduran bangsa ini melalui beberapa medium seperti seni tarian, seni teater, seni penulisan, seni kraftangan atau visual, dan juga seni muzik. Mereka percaya bahawa melalui kekuatan seni dan budaya lah yang paling jelas memaparkan kekuatan tradisi bangsa mereka. Setiap tarian, setiap penggerakan tubuh, setiap lenggok ritma dan laungan alunan suara, punya justifikasi yang cukup kukuh untuk membuktikan bahawa tradisi Melayu juga sama bijaksana dan penuh kekuatan falsafah disebaliknya. Ia cukup kukuh untuk berdiri dengan sendirinya.


Disinilah anak Melayu seperti Syahidatul Munirah memainkan peranannya sebagai penulis. Koleksi cerpen “Lela Rentaka” adalah koleksi cerpen yang memperbincangkan masalah-masalah anak-anak Melayu di zaman ini. Ianya mempersoalkan citra kekuatan anak-anak Melayu yang sudah mulai terpesong dari segi pemikirannya. Lagi-lagi dengan kemelut yang berlaku sejak kebelakangan ini, suatu proses untuk mengenal pasti akan masalah bangsa secara umum tidak disebarkan dengan cukup luas. Penyebaran ilmu tempatan terpaksa berhadapan dengan daya tenaga globalisasi yang turut melemaskan wacana mengenai ilmu di rantau ini.

Beliau banyak menggabungkan dua naratif, yang lampau iaitu pada zaman kegelimangan tamadun Melayu seperti Kerajaan Langkasuka, Kesultanan Melaka, dan juga pada waktu ini. Melalui cerpen “Semenanjung Emas”, beliau membawa para pembaca ke zaman lampau, melalui sudut pandang Awang, watak seorang skeptik terhadap kegagahan tamadun sendiri dibawa ke zaman lampau. Disana beliau diberi peluang untuk memerhatikan keadaan sewaktu jatuhnya Kesultanan Melaka diserang Portugis. Dari situ penulis berjaya menyatakan kepandaian watak Panglima Awang, yang mengalahkan tentara Portugis melalui helah dan kekuatan jati dirinya.

Manakala melalui cerpen kedua yang bertajuk “Lela Rentaka”, beliau menggunakan naratif daripada sudut pandang meriam ciptaan bangsa Melayu yang pada waktu ini dikirakan sebagai gah, kuat dan berseni ciptaannya jika ingin dibandingkan dengan meriam yang diciptakan oleh tamadun Portugis.

Diteruskan lagi, cerpen “Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Melayu” memaparkan jurang yang berbeza diantara dua zaman, zaman lampau dan masa hadapan. Masa hadapan dinyatakan sebagai zaman yang penuh dengan kehuru-haraan yang tidak terkawal, bangsa melayu sudah tidak lagi bangga dengan keadaan bangsanya, nama-nama yang dicipta oleh penulis seperti Datuk Heyckal Armand dan juga Datuk Seri Errique Rayyan menurut saya dilihat sebagai sindiran kepada anak-anak Melayu zaman sekarang yang suka benar menamakan anaknya dengan nama-nama orang Barat, sehingga pada masa hadapan tidak mustahil nama yang terhasil dengan bercampur baur sehingga kesinambungan nama daripada zaman lampau tidak lagi dapat dihubungkan.

Tema cerpen itu menekankan aspek kekuatan bangsa Melayu, mereka dipaksa mencari sebab-sebab yang kukuh agar tidak dijajah buat kali kedua oleh kuasa empayar dunia tetapi disebabkan keangkuhan dan sikap sinis yang benar-benar kuat, mereka hilang arah dan negara Malaysiana habis dihancurkan oleh orang luar.

Koleksi cerpen ini dilihat sebagai percubaan untuk menguatkan kembali keyakinan anak-anak Melayu disini. Si penulis cukup sedar akan keadaan yang menimpa bangsanya, dimana keadaan mereka yang tidak jelas dengan hala tuju bangsanya sendiri. Melalui hasil penulisannya beliau menggabungkan elemen romantisisme yang kuat tetapi tidak melampau, melalui pengukuhan dan penggunaan konteks pada waktu zaman lampau dan waktu ini.

Saya merasakan bahawa apa yang dilakukan oleh Syahidatul adalah perkara yang penting, iaitu membawa peranan sebagai pencetus pencerahan akan keadaan yang membelenggu bangsanya sendiri. Beliau sama seperti ahli akademik tempatan yang lain turut berusaha untuk mengembalikan maruah rakyat tempatan melalui medium yang bernas, ilmiah dan berseni tanpa disertakan daya yang reaksioner dan penuh prejudis.

Hasil penulisan beliau berjaya menyentuh aspek yang penting di dalam keadaan psikologikal bangsa Melayu. Manakan tidaknya, mereka yang telah lama membina tamadun disini seringkali diasak dengan sindiran dan kutukan di tempat sendiri. Mereka yang seringkali membandingkan keadaan mereka dengan keadaan dunia global, tidak dapat tidak pasti merasakan bahawa mereka berada di pinggiran dunia.

Lebih-lebih lagi pada zaman yang lampau mereka disanjung dan dipandang tinggi di seluruh dunia. Ketidakyakinan mengenai kekuatan bangsa sendiri, tanpa disokong oleh daya penerokaan ilmu yang kuat dan membumi membuat kebanyakkan daripada bangsa Melayu tidak langsung merasakan berbaloi untuk mengetahui sejarah. Dilema ini yang berjaya disentuh oleh beliau, dan selaku seorang penulis beliau berjaya mengolah kata-kata prosa yang indah untuk mencetuskan sedikit harapan buat para pembaca.

About The Author
Profile photo of Anak Dagang
Anak Dagang
Anak Dagang seorang warga kota Kuala Lumpur yang ingin terus menulis. Anak Dagang is a senior contributor to The Daily Seni.
Comments

    Leave a Response