Editorial
Now Reading
MENGAPA KITA BERPUISI?
409 0

MENGAPA KITA BERPUISI?

by Adnan QiyasMarch 24, 2017

Apa itu puisi? Adakah ia seni atau sastera?

Ini mungkin soalan yang dangkal. Takrifan seni luas dan dalam. Sekiranya kita mengejar erti seni melalui takrifannya kita mungkin akan menyimpang dari niat asal seni itu sendiri; menjadi pseudo-intelektualis yang hilang dalam mainan falsafahnya sendiri.

Namun soalan itu masih perlu dijawab.

Jika puisi itu seni, maka ia akan berpaut pada adab-adab seni, yakni suatu bentuk peluahan (expression). Jika ianya sastera, maka ia akan terikat dengan aturan-aturan linguistik, yakni suatu bentuk penulisan. Memandangkan medium utama puisi adalah kata-kata, maka jawapan kepada soalan itu akan jatuh pada bahasa – apa yang (ingin) diperkatakan lawan gubahan dan penggunaan kata.

Adakah puisi itu seni (peluahan) dahulu dan sastera (penulisan) kemudian ataupun sebaliknya?


Selasa lalu, bersamaan dengan 21hb Mac adalah Hari Puisi Sedunia. Rata-rata puisi secara amnya dirai. Media sosial dan internet menjanjikan sebaran puitis yang paling luas dalam sejarah; sifatnya memastikan yang sesiapa sahaja mampu dan boleh memenuhi tanggungjawab sastera dan kebudayaannya masing-masing tanpa kawalan, suntingan mahupun prejudis.

Pengisytiharan Hari Puisi Sedunia berlaku pada tahun 1999 oleh UNESCO (Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu), dalam Persidangan Umumnya di Paris. Tujuan pengisytiharannya adalah untuk menggalakkan pembacaan, penulisan, penerbitan dan pendidikan puisi serata dunia.

Hari Puisi Sedunia 2017

Dalam deklarasinya itu, UNESCO menyatakan yang Hari Puisi Sedunia diniatkan untuk mengiktiraf dan memacu gerakan-gerakan puisi atau puitis kebangsaan, serantau dan antarabangsa. Tahun ini Hari Puisi Sedunia meraikan tiga penulis besar – Nikoloz Baratashvili, Molla Panah Vagif and Sayyid Imad ad-Din. Biarpun sudah lama meninggalkan kita, mereka ini berjaya mengungkap isi hati dan harapan bangsa mereka; masing-masing dirai sebagai khazanah bangsa hingga ke hari ini.

Dalam pesanannya tahun ini, Direktor-Jeneral UNESCO Irina Bokova menyatakan yang puisi adalah jendela kepada kepelbagaian manusiawi yang indah. Beliau meminjam kata-kata Pablo Neruda “puisi melambangkan keamanan” – ianyamenerobos waktu, ruang dan budaya untuk menyentuh jiwa.

Di sini usaha masyarakat antarabangsa merayakan puisi tidak tersadungkan retorik-retorik takrifan seni dan sastera. Yang diangkat adalah kesan dan kepentingan puisi kepada masyarakat; yang diiktiraf dan dimartabatkan adalah sumbangannya.

Bukan sifatnya.


Pada 24hb Disember 2013, Sasterawan Negara Dr. Anwar Ridhwan membidas rapper-rapper di Malaysia melalui rencananya yang bertajuk “Rap pasar rosakkan Bahasa Melayu” yang diterbitkan dalam akhbar Berita Harian. Beliau menulis “Penerapan bahasa pasar akan menyerlahkan penulis liriknya kepada dua situasi berikut. Pertama, kecenderungannya melayan ‘selera rendah’, ertinya tidak mahu memilih bahasa yang lebih baik. Kedua, mungkin ia tiada upaya berbahasa Melayu tinggi, ertinya tiada kebolehan memilih diksi yang berkesan.”

Sasterawan Negara ke-10, Dr. Anwar Ridhwan

Di sini SN Dr. Anwar Ridhwan mengkritik rapper-rapper Malaysia menggunakan bahasa pasar dalam lagu-lagu rap Bahasa Melayu mereka. Pada hemat beliau, penulis lirik atau artis mempunyai peranan yang penting sebagai pengkarya untuk memelihara (dan memulihara) martabat bahasa kebangsaan dalam karya-karya mereka. Rata-rata masyarakat mudah menyimpulkan yang rencana beliau dituju halus kepada rapper Joe Flizzow, yang popular dengan lagu hitnya ‘Havoc’ ketika itu. Lirik-lirik Joe Flizzow mengguna-pakai bahasa pasar dan slanga; cara perbualan harian masyarakat.

Joe Flizzow menjelaskan yang keputusannya untuk menggunakan bahasa sebegitu didorong sudut pandang seni – rap-rap Bahasa Melayu sebelum itu berbunyi terlalu formal; mendatar. Ianya tidak mencerminkan masyarakat semasa, dan ianya tidak berupaya menganjak paradigma masyarakat terhadap bahasa. Memandangkan Hip Hop hanyalah satu genre muzik (dan subkultur kecil di Malaysia), ia lazimnya tidak lebih dari satu medium hiburan.

Berkongsi rasa ralat dan bingungnya ketika itu, Joe Flizzow berkata, “Saya dalam bidang komunikasi, bukan bahasa. Saya bukan guru bahasa. Saya mahu sampaikan mesej dengan cara saya, dengan cara yang masyarakat boleh faham.” Tambah beliau lagi, “(Saya) rasa kelakar bila seseorang yang tidak pernah mengeluarkan satu pun lagu rap, tiba-tiba mahu berbicara (tentang rap).”

Kemusykilan Joe Flizzow bertempat. Bidasan SN Dr. Anwar Ridhwan keras; judgemental. Namun yang hilang di sini bukanlah aura keasyikkan lagu ‘Havoc’ Joe Flizzow itu akan tetapi kesahihan isi bidasan Dr. Anwar Ridhwan itu sendiri.

Bahasa.

Dalam mengulas kegagalan Joe Flizzow untuk melaksanakan tugasnya sebagai pengkarya seni yang berhemah dan bertanggungjawab, SN Dr. Anwar Ridhwan turut gagal menunjukkan teladan yang diharapkan oleh seorang sasterawan negara dengan ulasan beliau yang keras itu. Dalam usaha beliau untuk membetulkan contoh kepincangan penggunaan bahasa dalam masyarakat, beliau tidak menonjolkan kemahiran dan kehalusan berbahasa untuk menyedarkan Joe Flizzow akan kesilapannya.

Bidasan SN Dr. Anwar Ridhwan yang berbaur ad hominem mematikan hujahnya (yang baik dan bertempat) sendiri.

Yang ketara pada saya di sini adalah kejauhan antara kedua-dua pihak; jauhnya SN Dr. Anwar Ridhwan dari karya dan seni Joe Flizzow, dan jauhnya Joe Flizzow dari sudut pandang dan kefahaman SN Dr. Anwar Ridhwan. Satu pihak mengambil kedudukan sastera dan penulisan, di mana satu lagi pihak mendiami ruang seni dan peluahan.

Irina Bokova dalam pesanan Hari Puisi Sedunia 2017-nya ada menyebut yang puisi adalah “mata air bicara dan telaga persefahaman.” Contoh perselisihan kecil di atas adalah antara bukti-bukti semasa yang puisi di Malaysia masih berada di takuk lama. Kedua-dua pihak boleh memilih untuk berbicara dan mendekati namun yang berlaku sebaliknya.

Fungsi puisi (dan seni) di sini telah hilang ditelan naratif. Bagi Joe, ‘Havoc’ hanya sekadar hiburan, dokumentasi gaya hidup semasa. Barangkali bagi SN Dr. Anwar Ridhwan, Joe sepatutnya melahirkan satu kerya yang lebih bermakna.


Rap adalah akronim untuk “Rhythm And Poetry”. Terjemahan langsung Bahasa Melayu-nya adalah ‘Ritma Atas Puisi’. Rap terlahir dari evolusi seni emceeing yang merupakan salah satu dari empat teras utama budaya Hip Hop. Sewaktu emcee-emcee Hip Hop mula mengembangkan seni emceeing mereka, mereka secara tidak langsung terpengaruh dengan gaya pertuturan Gil Scott-Heron, seorang artis jazz-blues yang tidak menyanyi malah sebaliknya bertutur ketika kugiran-nya sedang bermain muzik. Gaya percakapan dan pertuturan Gil seolah-olah seorang yang berpantun dan bersyair secara langsung, sambil terikutkan rentak dan irama lagu-lagunya.

Puisi dalam Bahasa Melayu pula merangkumi semua bentuk penulisan yang perlu mengikut peraturan-peraturan dalam pembentukkan rangkap, baris, kata-kata dan irama. Syair, gurindam, pantun adalah puisi.

Begitu juga dengan sajak. Sajak adalah bentuk penulisan puisi yang tidak mengikut norma-norma puisi di atas – tidak mempunyai imbangan bunyi yang tetap, tidak semestinya mengemukakan pertentangan bunyi atau rima akhir di hujung-hujung baris, rangkapnya tidak tetap bilangan baris ayatnya namun tetap ada harmoni dan kesinambungan yang baik antara isi dengan bahasa.

Jelas di sini yang rap juga puisi.

Ini menjadikan lagu ‘Havoc’ Joe Flizzow (dan lagu-lagu rapnya yang lain) sebuah karya seni. Dan pada masa yang sama karya sastera. Nilai estetika, linguistik dan poetic-nya boleh diperdebatkan – ianya barangkali tidak akan menyentuh jiwa insan marhaen untuk lebih mencintai diri, bangsa mahupun bahasa namun itu tidak memansuhkan-nya sebagai sebuah bentuk penulisan yang sahih.

Bahasa pasar atau Bahasa Melayu?

Jadi di sini saya bertanya kembali – adakah puisi itu seni (peluahan) dahulu dan sastera (penulisan) kemudian atau sebaliknya? Jika sebaliknya, mengapa rata-rata bahasawan atau sasterawan atau penulis-penulis tidak berpuisi dengan lebih prolifik? Bukankah puisi ini satu bentuk penulisan yang paling mudah dan dekat dengan masyarakat, terutama sekali sajak?

Mengapa terwujudnya sajak?

Penerbitan indie serta persembahan puisi yang makin rancak mutakhir ini mencadangkan sebaliknya. Yang proaktif menulis dan berkongsi rata-rata penulis muda. Yang tidak konvensional mahupun klasikal gaya mereka. Selera puisi yang makin membesar bukan sahaja mencerminkan sikap masyarakat umum terhadap wacana puitis, malah ia juga mencadangkan yang gaya bahasa memainkan peranan penting dalam menarik minat mereka untuk mendekati sastera dan seni.

Masih ada yang mahu membaca. Dan menulis. Setelah membaca makalah puisi-puisi indie ini. Buat masa ini, bukankah ini yang diharapkan – golongan belia ingin kembali membaca dan menulis?

Di sini kita perlu ingatkan diri untuk bertanya – apa yang kita mahukan? Mengapa kita berpuisi? Mana lebih penting, peluahan atau penulisan? Atau perlu ada kesinambungan dan kesimbangan?

Yang pasti, sifat puisi itu bukanlah segala-galanya. Tanpa fungsi, puisi takkan hidup.

About The Author
Profile photo of Adnan Qiyas
Adnan Qiyas
Comments

    Leave a Response