Pentingnya Definisi ‘Asas’ Dalam Seni
Barangkali untuk anak muda biasa yang ingin mula berjinak ataupun mengeluarkan pendapat mengenai seni, harus sedikit sebanyak mengenal pasti batas-batas yang dihadapi. Batasan yang, boleh jadi timbul menghalang arus kreativiti dalam bentuk pengalaman, ilmu yang telah diserap, sampailah ke selok-belok mengenai industri seni yang telah wujud di sini sejak 1930-an.
Tetapi – tidak dapat dinafikan bahawa pengalaman, walau sedikit manapun, tetap mempunyai kepentingannya sendiri. Kepentingan dari segi nilai pertembungan subjektiviti seseorang individu yang boleh dikirakan sebagai amatur dan muda, dan juga kompleksiti industri seni bersertakan individu-individu yang mempunyai pengaruh besar untuk menentukan halatuju kualiti yang sedia ada.
Pertembungan yang berlaku ini mampu mencetuskan perspektif yang baru, ataupun sudut pandang yang terpinggir dari apa yang telah ada, dengan harapan agar ianya sedikit sebanyak turut dapat memberi sumbangan dari segi idea ataupun pendapat picisan.
Tulisan ini terlahir disebabkan kebingungan sewaktu menghadiri Art Economy Conference di J.W Marriot di Kuala Lumpur kebelakangan ini. Persidangan ini wujud untuk membincangkan kepentingan industri seni dan bagaimana ia mampu melonjakkan nama negara dan mampu menjadi kayu ukur utama untuk menentukan kualiti ekonomi negara. Maka pelbagai diskusi dikelolakan oleh pihak penganjur bagi membincangkan masalah ataupun jalan-jalan yang patut dijangkaui oleh para pemain industri.
Saya tidak berjaya menghadiri persidangan ini pada hari yang kedua, maka artikel ini hanya akan menyentuh sedikit sahaja isu dan bukannya secara menyeluruh memberi tanggapan terhadap impak persidangan yang ada.
Persidangan yang dihadiri oleh orang besar daripada kerajaan itu awal-awal sudah berjaya memberikan nafas yang lemah. Setelah habisnya sesi perasmian, aura orang besar ataupun aura orang yang berkuasa telah hilang – hilang meninggalkan diskusi penting yang harus diketahuinya dengan hanya orang industri sahaja yang tinggal.
Sedangkan masalah-masalah yang wujud sebahagian besar bergantung kepada bebalisme penguasa birokrat juga, lebih-lebih lagi apabila sesuatu industri seni itu mengambil langkah besar untuk memikirkan halatujunya di kalangan spesialis dan pemikir sahaja, tanpa ada peluang untuk orang awam bersuara dan turut serta memikirkan halatuju yang sama.
(Mungkin kerana tiket yang dijual begitu mahal – dan persidangan yang berhawa dingin di hotel tidak berubah, sama sahaja seperti ceramah ataupun kuliah di universiti yang membuat para hadirin tidur dengan lena). Kerana sebenarnya acara seni, jika ditakdirkan untuk duduk dibawah payung retorik pemimpin, secara am akan hilang kemantapannya.
Halatuju industri yang meminggirkan orang awam tidak langsung pernah berubah selagi adanya para penguasa yang merasakan bahawa majoriti rakyat hanya layak dibimbing mengenai sesuatu isu, dan tidak lebih daripada itu.
Berbalik ke petak pertama, dengan membina nilai baru
Ada yang mengatakan bahawa titik pencarian Seni yang baru telah beralih kepada rantau Asia, dan dengan penuh optimistik mereka menyatakan harapan mereka bahawa ini adalah masanya untuk seluruh rantau mengukuhkan sistem kebudayaan bagi membina keutuhan yang bakal menampung karya-karya yang ada dan yang baru untuk dikenali di seluruh dunia.
Boleh juga dikatakan persoalan mengenai definisi asas seni untuk dijadikan sebagai wacana utama itu tidak langsung dilihat sebagai sumber ekonomi ataupun sumber lonjakan nama negara. Adakah benar persoalan sebegini tidak perlu dipersoalkan? Adakah benar ekonomi negara tidak lagi mampu ditingkatkan jika titik pertumbuhan itu dikembalikan kepada petak pertama?
Apakah yang dimaksudkan dengan petak pertama? Secara peribadi ianya adalah proses untuk mengenalpasti semula definisi asas seni dan membentuk suatu perlaksanaan pelaburan untuk mengukuhkan persoalan asas. Adakah ianya dapat dilihat sebagai sesuatu yang menjana untung, seperti apa yang diinginkan oleh manusia di kala ini?
Perlaksanaan untuk menyebarkan persoalan asas seni ini, sedikit sebanyak mampu memberikan suatu ruang yang baru untuk sesiapa sahaja menentukan definisi seni mereka sendiri. Suatu definisi itu, walaupun berbeza tingkat pemahaman dan kompleksiti – berjaya merancakkan lagi wacana seni yang ada.
Dengan itu, sumber ataupun kekuatan industri seni itu sendiri telahpun kukuh di landasan asas, sebelum melanjutkan proses yang ada kepada sesuatu yang lebih kehadapan – seperti proses mengumpul data-data dan karya, dan juga melakukan semula kategorisasi seni.
Sekali lagi harus diingatkan proses perlaksanaan ini tidak lagi ditentukan oleh spesialis, pengumpul karya, pelukis ataupun pemikir sahaja. Sebaliknya membuka ruang kepada orang awam untuk menyumbang sama terhadap wacana seni yang ada.
Seni sebagai seni itu sendiri, adalah sesuatu yang boleh dihasilkan oleh semua individu. Boleh terbit dari mana-manapun, tidak mengira tempat, latar belakang atau kriteria-kriteria fikiran manusia yang lain. Seni sebagai sesuatu nilai yang tidak tetap dan mempunyai dinamikanya sendiri, sentiasa sahaja mampu mengubah lanskap pemikiran tentang apa itu seni, walaupun sedikit sebanyak wacana yang telah ada tetap ada hubung kaitannya dengan wacana di seluruh dunia.
Tetapi perlaksanaan ini adalah peluang kepada orang awam untuk mengambil kembali definisi kompleks ini. Tanpa suatu usaha untuk berbalik ke petak pertama, keadaan rakyat yang tidak mampu untuk membincangkan persoalan asas yang utama akan terjerumus kepada kelajuan ataupun intensiti wacana global itu sendiri – yang mungkin menyesakkan ataupun mampu juga terbabas tanpa punya jalan penyelesaian.
Ianya membimbing rakyat untuk berfikir tentang budayanya dan kepentingan seni melalui kerangka pemikiran yang baru – yang punya hubung kaitan dengan keadaan sekelilingnya sendiri, yang terasing daripada teori yang telah ditetapkan melalui institusi.
Rekayasa Kebudayaan yang dipersembahkan hari itu berjaya menyatakan secara terperinci tentang hierarki dan sistem yang ada di dalam industri seni, dan bagaimana hubung kaitan pengantara, pencipta, para audien, dan pembuat keputusan itu saling berkait dan setiap bidang memainkan peranan yang besar di dalam menentukan kualiti industri.
Tetapi ianya terhalang jika secara amnya, pihak-pihak yang membuat keputusan, yang dikaitkan dengan pihak yang mempunyai kuasa masih lagi tidak mampu untuk memikirkan kepentingan seni itu sendiri, dan bagaimana definisi asas seni itu lebih besar nilainya – bukan hanya sekadar nilai pasaran, tetapi nilai yang memberi makna kepada kehidupan yang ada.
Seni mampu menyentuh hati para pengamat dan sedikit sebanyak mampu memberi peluang memperbaiki hidup mereka, secara mental dan fizikal. Pihak yang membuat keputusan adalah pihak yang merasakan bahawa seni itu hanya sekadar apa yang mengindahkan penglihatan, sekadar perhiasan dan tidak lebih daripada itu. Maka apa yang tinggal bagi industri seni hanyalah harapan kepada pihak dari luar untuk melonjakkan kualiti seni di sini, agar dapat membukakan mata para pihak yang lain.
Pihak yang berkuasa seringkali dilihat sebagai pemimpin dan salah satu cebisan kepada elemen-elemen utama yang mendukung industri seni yang ada. Dan hubung kaitan diantara pihak berkuasa dan audien mempunyai pengaruh yang lebih besar untuk menentukan definisi seni.
Jika kedua-dua kategori ini tidak diberi peluang untuk menentukan semula secara asas, maka kebolehan untuk menjangkaui definisi industri seni secara bebas tidak akan berlaku. Lebih teruk lagi, ianya akan mengasingkan seni (yang pada masa yang sama sudah punya kategorinya yang sendiri – seni tinggi dan rendah) dengan rakyat negara seluruhnya.
Seni hanya akan berputar dan mundar mandir di ruang yang sama, tanpa punya potensi untuk berevolusi.
Sudahkah kita mengenal pasti mengenai batas kita dari segi jangka masa merdeka, dan bagaimana konsep seni itu tidak diberi peluang untuk disuntik dengan definisi kita sendiri, utuh dengan kesedaran mengenai keadaan sosio-budayanya sendiri? Sudah wujudkah suatu proses rungkaian semula yang memberi nafas baru, ataupun ‘bimbingan’ agar yang ‘asas’ itu dijadikan sebagai wacana utama?
Perbincangan mengenai peranan pendidikan di tingkat universiti tidak banyak kepentingannya jika tidak wujudnya dialog diantara anak-anak muda dan rakyat awam. Tiada gunanya meneruskan sistem pembelajaran yang kukuh tanpa mengambil kira pandangan mereka mengenai apa yang bakal dipelajari mereka. Tiada gunanya menyediakan anak-anak muda yang tidak mampu berfikir dan hanya menjalankan peranan anak seni yang akur dengan industri yang telah sedia ada.
Realiti tentang seni itu sendiri harus dimulakan dari bawah, permaknaan harus diberikan nafas baru oleh orang ramai melalui dialog dua hala, melalui penggunaan bahasa yang tidak berbunga dan mudah dicerna.
Cara ini lebih mudah agar seni itu sendiri secara konkrit tidak dikekang potensinya untuk mengubah sesuatu keadaan atau sistem serta persepsi dan realitinya yang sedia ada. Supaya ia terlaksana menjadi sarana utama untuk membentuk individu yang benar-benar aktif dan teguh untuk mengubah realiti objektif mereka ke keadaan yang lebih elok. Retorik daripada pendidik ataupun pemimpin juga tidak akan bermakna jika aspirasi yang dinyatakan tidak sama dengan yang lain.
Sekali lagi diingatkan, seni bukan sahaja dilihat sebagai aset pelaburan. Seni memainkan peranan yang lebih besar daripada itu, ianya kayu ukur sesuatu tamadun. Secara peribadi, ekonomi mengenai industri seni tidak mengena tempatnya jika apa yang secara asas itu tidak langsung dibincangkan.
Leave a Response