Editorial
Now Reading
SENI FOKUS: Romen Sani, Romen Seni
Next
Prev
213 0

SENI FOKUS: Romen Sani, Romen Seni

by Pribade Abdullah BongkokApril 3, 2015

SS – kependekan nama (atau jenama bak kata ‘artis’ sekarang), sekali imbas mungkin boleh ditafsirkan sebagai ‘askar tegar’ Nazi – Schutzstaffel. Dua kali imbas, boleh juga ditafsirkan sebagai ‘syok sendiri’. Itu jika ditafsirkan hasil dari imbasan dan seperti yang sedia maklum, tafsiran hasil dari imbasan tidak pernah tepat melainkan kita meneliti, mengaji dan mengenali apa dan siapa sebenarnya yang dimaksudkan dengan SS. Nah, kita akan temui SS sebagai kependekan jenama Sani Sudin.

Sani Sudin, namanya seperti tidak boleh lekang dengan kumpulan Kopratasa yang turut dianggotai oleh Usop dan Siso. Lagu Masihkah Kau Ingat karangan sepenuhnya Sani Sudin, ibarat seperti bom yang sehingga ke hari ini masih meletup-letup, bahkan tajuk Masihkah Kau Ingat menjadi tajuk slot di Klasik FM. Sebut saja Kopratasa, apa yang terlintas ialah lagu ini. Malah, di pusat hiburan keluarga (karaoke): lagu ini antara di dalam senarai lagu pilihan popular.

Lagunya tidak serumit lagu-lagu karangan Beethoven atau Mozart atau Bach atau Melly Goeslow atau Ahmad Dhani atau Ajai. Mudah cakap, lagu Masihkah Kau Ingat hanya menggunakan chord ‘bodoh’ (chord asas) dan lagu ini dengan mudah boleh diaplikasikan ke ensemble kompang, untuk dimainkan di kenduri kahwin. Inilah lagu marhaen, yang berjaya menyentuh jiwa setiap peringkat kelas-kelas manusia. Lagu ini tidak seperti sesetengah simfoni, yang pada mulanya dimainkan di filharmonik, tetapi akhirnya menjadi lagu latar di tandas-tandas hotel lima bintang. Ah, lagu ini memang ‘berpuaka’ walaupun simple!

Sepertimana lagu tersebut – bersifat marhaen, begitulah juga peribadi Sani Sudin. Sebarang jenis topi: beret ataupun snow hat – tidak pernah tidak kelihatan di atas kepalanya. Baju kemeja dan seluar khaki (tidak lupa beg sandang) – imej seniman jalanan yang diciptanya sejak (atau mungkin sebelum) Kopratasa menerjah arus perdana pada pertengahan 80-an. Imej ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi peminat-peminatnya yang konon mahu jadi seniman – seniman dalam pengertian sebenar-benar seniman. Sehingga ke hari ini, imej ini masih dikekalkan dan sudah pun menjadi trademark atau signature Sani Sudin. Inilah yang membuatkan jenama Sani Sudin lebih berprestij.

Apabila sudah mendekati dan mengenalinya, kita mungkin sedikit kurang senang dengan perangainya yang keloloh, kasar, cakap lepas dan tidak serius. Tetapi, itulah dia! Kita tidak boleh melabel sesiapa sahaja dengan hanya memandang pada imej dan perangai, selagi kita belum melihat warna sebenarnya atau melangkah sebanyak seratus (minimum) langkah di dalam rumahnya. Sani Sudin walaupun begitu, dia sebenarnya seorang yang serius. Serius dalam menjalani ibadahnya, yakni dalam mengerjakan seni-keseniannya. Berkarya dengan jujur dan tulus dari jiwanya.

Sebab itulah lagu Masihkah Kau Ingat melekat di jiwa setiap pendengarnya!

“Kau nak jadi penyanyi, kau mesti ‘beromen’ dulu dengan suara kau – baru boleh kau jadi penyanyi. Bila kau dah ‘beromen’, baru kau kenal apa, siapa dan di mana suara kau. Selagi kau tak kenal suara kau, macam mana kau nak menyanyi?” kata Sani Sudin, di mana muzik memang sudah menjadi genetik keluarganya.

Romen yang dimaksudkan di sini, bukanlah bermaksud perlakuan lucah. Romen di sini membawa maksud hubungan mesra atau hubungan intim antara dua unsur, yakni unsur nyata dan kasat mata. Dengan bahasa yang lebih mudah, romen di sini membawa maksud mengenal diri – jasmani dan rohani.

“Setiap individu manusia akan mengalami zaman celaru. Dalam zaman celaru ini, kita mula mencari halatuju dan sepanjang perjalanan, kita akan jumpa sesuatu. Kecelaruan setiap individu itu pula tidak sama. Perjalanan kita tidak sama walaupun destinasinya sama. Sesuatu yang ditemukan dalam pencarian itu pula tidak semestinya bidang seni. Ia bergantung pada apa saja bidang yang diceburi atau perjalanan yang sudah ditetapkan oleh-Nya. Sesuatu itulah Aku,” katanya yang ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena Peta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang berlangsung dari 24 April hingga 3 Mei 2015.

“Aku memilih teater bukan sekadar mahu belajar lakonan. Jauh sekali mahu mengejar kemahsyuran atau mahu meninggi diri. Dalam teater aku belajar macam-macam. Paling penting aku belajar keperibadian hidup dan memanusiakan manusia. Seni itu motivasi aku untuk menempuh kehidupan. Main teater mesti kena seronok dan yakin. Tidak semestinya aku tak didedahkan dengan asas teater. Asas kena tahu. Bila dah tahu, baru boleh langgar – langgar yang murni. Macam mana kita nak tahu itu betul jika kita tak buat silap?” katanya lagi yang berguru dengan ramai tokoh-tokoh kesenian antaranya Dinsman.

“Memerhati dan mendengar, itu juga sebenarnya membaca. Kuliah ada di mana-mana, bergantung pada kelompok. Setiap production yang aku buat, itulah universiti aku – tak kiralah production teater atau filem. Di situ aku akan belajar pelbagai kerenah manusia di mana akhirnya aku menilai diri aku sendiri. Degree pemikiran kita masing-masing berbeza. Aku bukan academician dan aku akan sentiasa jadikan diri aku ini sebagai student – sentiasa belajar dalam apa saja yang aku buat. Aku sentiasa rasakan diri aku ini bodoh. Sebab apa? Sebab akhirnya aku amati bahawa sebenarnya hidup kita ini memang tak pernah siap! Dalam lakonan contohnya, aku kaji watak-perwatakan. Akhirnya watak-perwatakan itu apa? Tuhan! Rahsia seni ada dalam diri. Kita yang kena cari dan temukan.

“Apa pun, guru sebenar dalam hidup kita ini ialah ibu bapa kita. Tak pernah ada ibu bapa yang mahu anak mereka jadi tidak elok. Semua ibu bapa mahu anaknya jadi baik. Pengalaman susah ibu bapa kita pasti seboleh-bolehnya tidak mahu diturunkan kepada anak-anaknya. Jadi, ibu bapa kita akan potong lalang, bikin jalan untuk kita. Namun, pilihan atas diri kita sendiri mahu ikut atau tidak. Aku, sebagai seorang bapa – aku tidak pernah tetapkan anak-anak mesti jadi apa. Cukup aku potong lalang, bikin jalan (sediakan asas pedoman).”

Sani Sudin bukan sahaja dikenali sebagai penyanyi dan pelakon, malah beliau juga seorang penulis, penyair dan pelukis. Bila ditanya, bagaimana beliau mengatasi masalah seniman yang ada ketikanya ‘pedih’ (masalah kewangan), beliau menjawab:

“Itu balik pada apa yang aku belajar dalam teater – sedar ruang, sedar waktu – aku redho kalau dah tertulis ada ketikanya ‘pedih’. Dah ini jalan yang aku pilih, seni-kesenian yang ada pada aku ini siapa yang anugerahkan? Orang lain nak kata aku ni macam-macam – lantak kau oranglah!”

About The Author
Profile photo of Pribade Abdullah Bongkok
Pribade Abdullah Bongkok
hamba SENI yang suka sakat suku sakat. Mula jatuh cinta pada pentas sejak budak-budak, sejak mengenali pentas di Dewan Orang Ramai kampungnya, di mana pada bahagian atas tirai agungnya tertulis: 'Pribade'.
Comments

    Leave a Response